Seni & Sukan 03 Feb, 2022

Demimu Malaysia! Jeffrey, Aruwin meluncur di Olimpik Musim Sejuk! Aruwin atlet termuda layak!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

 

JEFFREY Webb bertanding dalam acara slalom meluncur salji Alpine. - Kredit foto: MOM


ARUWIN Salehhuddin bertanding dalam acara slalom agam dan slalom meluncur salji Alpine. - Kredit foto MOM


SUKAN Olimpik Musim Sejuk Beijing Ke-24, 2022 bakal menyingkap tirai pukul 8 malam, Jumaat, 4 Februari 2022 di Stadium Nasional, Beijing, China atau turut digelar Stadium 'Sarang Burung'.

Buat julung-julung kalinya, kontinjen Malaysia akan menyaksikan penampilan atlet wanita yang juga mencipta sejarah sebagai yang termuda pernah layak menyertai Olimpik Musim Sejuk

Gerangan gadis manis itu ialah Aruwin Salehhuddin, 17, dalam sukan meluncur salji Alpine bagi acara slalom agam dan slalom

Menemaninya ialah Jeffrey Webb juga dalam sukan dan acara meluncur salji Alpine slalom

Jeffrey, 23, turut memegang rekod sebagai atlet pertama Malaysia yang layak dua kali berturut-turut ke Olimpik Musim Sejuk selepas PyeongChang 2018 selain menganggotai kontinjen negara dalam Sukan Asia Musim Sejuk Sapporo 2017. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik

KONTINJEN Malaysia pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 mengibarkan Jalur Gemilang mini. - Kredit foto: MOM 


MOIRA Tan (kanan) menerima Jalur Gemilang daripada Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (kiri) sambil disaksikan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing pada majlis penyerahan rasminya di Kuala Lumpur pada 19 Januari 2022. - Kredit foto: MOM


Mereka berdua akan mendukung peranan sebagai pembawa Jalur Gemilang apabila kontinjen negara tampil pada giliran kelima dalam perarakan sempena pembukaan rasmi Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.  

Kontinjen Malaysia diketuai Moira Tan yang juga Penolong Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) manakala pengurus pasukan ialah Salehhuddin Ayob yang juga bapa Aruwin

Menariknya, Salehhuddin turut pernah beraksi pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 (Musim Panas) dalam sukan kenu acara slalom K-1 dengan menduduki tempat ke-43. 

Isterinya, Siti Tunggal turut bertandang ke Beijing dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

Kedua-dua peluncur salji Alpine negara ini dilatih oleh Bezjak Mladen dan Ryan Shorter.


JEFFREY Webb (atas) dan senarai pencapaiannya dalam penyertaan siri pertandingan sejak 2006 (bawah). - Kredit foto: MOM 



Jeffrey mula menceburi sukan meluncur salji itu seawal usia lima tahun dan menyertai pasukan Mission Ridge Amerika Syarikat, tiga tahun kemudian pada 2006 sehingga kerap beraksi pada beberapa perlumbaan Persekutuan Meluncur Salji Antarabangsa (FIS).

Aruwin pula sudah berjinak-jinak pada usia dua tahun dan menyertai kelab lumba luncur ini ketika berusia lima tahun. Dia menyertai Akademi Lumba Luncur Antarabangsa pada 2015 dan terjun ke sukan itu sepenuhnya, setahun kemudian. 


ARUWIN Salehhuddin (atas) dan senarai pencapaiannya dalam siri pertandingan sejak 2020. - Kredit foto: MOM



Ini merupakan penampilan kedua Malaysia dalam Olimpik Musim Sejuk selepas PyeongChang 2018 menyaksikan kemunculan dua atletnya masing-masing dalam luncur ais berbunga dan meluncur salji Alpine (lelaki).

Menerusi Program Telefon Atlet Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Samsung, Jeffrey dan Aruwin mendapat penajaan telefon pintar Samsung Galaxy Z Flip 3 5G di Perkampungan Olimpik Yanqing, seperti mana atlet-atlet yang beraksi pada temasya empat tahun sekali ini pada 2 Februari 2022. 


JEFFREY dan Aruwin mendapat penajaan telefon pintar Samsung Galaxy Z Flip 3 5G di Perkampungan Olimpik Yanqing. - Kredit foto: MOM 


Aruwin dikatakan mempunyai prospek lebih cerah dalam memburu podium biarpun masih sukar menandingi nama-nama besar dan jauh berpengalaman sukan meluncur salji Alpine ini.

Dia pernah menduduki tempat kelapan dengan memungut 85.12 mata dalam slalom Perlumbaan Remaja Kebangsaan FIS di Sappada, Itali pada 22 hingga 23 Januari 2022 atau ketiga dalam kategori remaja perempuan bawah 18 tahun.

Aksinya akan bermula pada 7 Februari 2022 dalam acara slalom agam dan slalom pada dua hari berikutnya sementara Jeffrey bagi slalom tanggal 16 Februari 2022. - KitaReporters


ARUWIN (kanan) menduduki tempat ketiga slalom Perlumbaan Remaja Kebangsaan FIS di Sappada, Itali pada 23 Januari 2022 dalam kategori remaja perempuan bawah 18 tahun. - Kredit foto: MOM

11
15
0
11
0
You will be interested