Seni & Sukan 26 Oct, 2020

Anugerah untuk kelab peminat! ABPBH 33 cipta sejarah digital

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Sudah 32 tahun Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) mewarnai industri hiburan tempatan sejak mula diperkenalkan pada tahun 1987. Ketika itu, ia dikenali sebagai Anugerah Penyanyi dan Pelakon Popular (APPP) BH. Terkini, memasuki edisi ke-33, ABPBH bakal mencipta sejarah apabila disiarkan secara langsung dan secara digital gara-gara berdepan pandemik COVID-19. : KitaReporters


#Throwback,  ABPBH32 tahun lalu menyaksikan Mira Filzah diumumkan Bintang Paling Popular selain

membolot tiga kategori lain. Foto Kredit NSTP.

Sudah pasti ABPBH merupakan program anugerah berprestij yang pertama di Malaysia yang akan bersiaran secara langsung menerusi laman aplikasi TikTok pada hari Jumaat, 13 November 2020 ini.

Apabila dianjurkan dalam norma baharu, edisi ke-33 kali ini turut buat pertama kalinya memperkenalkan kategori khas untuk menghargai kelab peminat yang sering memberikan sokongan padu pada ABPBH setiap tahun.

“Pihak BH, selaku penganjur ABPBH pada tahun ini membuat penambahbaikan dalam kategori yang dipertandingkan sebagai penghargaan kepada kelab peminat yang sentiasa setia menyokong industri seni tanah air, sekali gus memainkan peranan yang penting dalam memartabatkan penganjuran ABPBH untuk kekal relevan selama lebih tiga dekad,” ujar Pengarang Berita Hiburan BH merangkap Pengarah Jawatankuasa Penganjur ABPBH 33, Shamshul Azree Samsir kepada media.

Menurut Shamsul, bagi memeriahkan lagi penganjuran dalam norma baharu tahun ini, ABPBH 33, sebanyak 24 kelab peminat atau fan club (FC) yang sebahagian besarnya mewakili artis bertanding dalam pelbagai kategori serta aktif menjayakan kempen ABPBH sejak beberapa tahun lalu, diberi peluang mengambil bahagian menerusi laman aplikasi TikTok.

“Video kelab peminat yang meraih undian tertinggi akan dinobatkan pemenang Anugerah FC #FANstatik Popular,” tambah Shamsul.



Bercerita lanjut, kata Shamsul,  melalui kerjasama yang dijalinkan dengan TikTok, peminat boleh berkongsi video TikTok paling kreatif menggunakan lagu Xiaomi, ‘Xiaomi For Me’ yang dinyanyikan oleh artis Yonnyboii dan Shalma Eliana bersama gaya tarian yang ditetapkan dengan hashtag #ABPBHKITA2020. 

Tarikh penyertaan dan undian sudah boleh dilakukan dalam laman aplikasi TikTok sehingga 8 November 2020, waima video paling kreatif dengan tontonan paling tinggi berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik dari Xiaomi.

“Sesuai dengan norma baharu pada masa ini, kami bekerjasama dengan TikTok untuk memberi ruang dan peluang kepada kelab-kelab peminat menunjukkan kreativiti masing-masing dan meneruskan sokongan mereka terhadap artis-artis kesayangan mereka dengan menggunakan laman sosial video TikTok,” ulang Shamsul.

Tambahnya, bertepatan dengan tema #ABPBHKITA2020, BH sentiasa memastikan segala aktiviti dan promosi penganjuran ABPBH pada tahun ini selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kami bersedia mematuhi arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tambah Shamsul.

Mempertandingkan 13 kategori utama dan lima kategori ‘online’, pemilihan artis popular masih lagi terbuka sehingga 8 November 2020 ini menerusi laman www.abpbh.com.my. 

Pencalonan terbuka kepada personaliti, selebriti, pelakon dan penyanyi yang terbabit secara aktif dan konsisten dalam bidang masing-masing untuk tempoh produk diterbitkan iaitu Januari 2019 hingga Disember 2019.

Antara 13 kategori utama yang dipertandingkan adalah Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular.


Elly Mazlein menerima empat kategori pencalonan pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33.


Turut dipertandingkan adalah lima kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Lagu Paling Boom, Artis Kontroversi Popular dan FC FANtastik Popular.

Korang rasa siapa bakal meraih Anugerah Bintang Paling Popular yang disandang oleh pelakon Mira Filzah pada ABPBH ke-32 yang lalu? 

Mungkinkah beliau akan terus kekal dengan gelaran itu atau milik bintang lain? Jawapan dan kuasa memilih artis kesayangan masing-masing daripada 20 calon dalam setiap kategori berada  di tangan anda! 

Jadi mulakan mengundi sebelum tarikh akhir 8 November 2020. - KitaReporters

0
2
0
0
0
You will be interested