MELIHAT penampilan Neera Azizi, 22, di kaca televisyen, pasti kita meluat kerana beliau sering melakonkan watak penggoda seperti mana lakonannya dalam drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe yang disiarkan pada pukul 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat di TV3. Sebagai Sha dalam drama arahan Heykal Hanifah itu, karakter tersebut tidak pernah berputus asa untuk memiliki Faizul lakonan Izzue Islam kerana lelaki tersebut adalah cinta pertamanya. : KitaReporters
Neera Azizi seronok melakonkan watak antagonis kerana karakter tersebut mencabar dirinya.
Jelas Neera, beliau tidak canggung melakonkan watak sedemikian kerana sejak terlibat dalam dunia lakonan pada 2016, sudah beberapa kali karakter sebegitu diberikan kepadanya.
“Ini bukan kali pertama Neera melakonkan watak pengacau rumah tangga orang, ada dua tiga kali juga sebelum drama ini.
"Kali ini beza sikit, sebab watak Sha itu orang Indonesia.
“Neera tak kisah bawa watak antagonis kerana ia sebahagian daripada tanggungjawab sebagai pelakon.
"Kalau orang tengok dan benci dengan watak yang Neera bawa itu, tandanya lakonan Neera memberi kesan,” katanya yang mula dikenali ramai kerana watak Doktor Anisa dalam drama Sayangku Kapten Mukhriz.
Jelas Neera, bertutur dalam bahasa Indonesia tidak menjadi masalah kerana sejak dulu hingga kini, beliau gemar menonton drama dari seberang.
Malah katanya, kalau menonton Netflix pun drama pilihannya adalah dari Indonesia.
Katanya, disebabkan sudah terbiasa dengan lenggok pertuturan bahasa Indonesia kerana minatnya menonton sinetron, jadi bukan masalah untuk beliau membawa watak Sha.
Melakonkan watak Sha, gadis dari Indonesia yang mencintai Faizul, lakonan Izzue Islam.
Sementara itu, bercerita tentang rutin kehidupannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Neera, setiap hari beliau akan masak.
“Sepanjang PKP, kerja Neera memasak saja. Rasanya habis PKP ni dah boleh jadi cef. Hari-hari text ibu tanya resipi untuk memasak.
"Petang pula Neera akan buat home workout. Rutin Neera, memasak, home workout dan malam tengok Netflix.
“Buat workout tu untuk elak gemuk sebab masa PKP asyik makan saja.
"Neera kena maintain berat badan sebab ada dua drama yang tertangguh, takut nanti lari konti. Hari tu kurus tiba-tiba gemuk pula,” katanya.
Neera yang
sebelum ini pernah menghasilkan single, Rasa Hati pada 2018 berkata, buat masa
sekarang, beliau mahu menumpukan perhatian kepada lakonan sahaja.
Beliau yang
pernah bekerja dengan syarikat Malindo berkata, pengalaman melakukan dua
pekerjaan dalam satu tempoh iaitu sebagai pramugari dan pelakon amat
memenatkan.
Buat masa sekarang, Neera mahu tumpukan perhatian pada lakonan sahaja.
“Dulu buat dua job pada satu masa, sekarang Neera nak fokus pada satu saja iaitu lakonan.
"Memang cepat letih bila buat dua tiga kerja dalam satu masa. Neera pernah tak tidur sebab habis penggambaran pukul 12 tengah malam dan 3 pagi dah kena berada di pejabat sebab nak kena fly. Bila tak tidur badan cepat letih.
“Neera baru saja resign dari Malindo dan sekarang nak fokus berlakon saja.
"Alhamdulillah banyak tawaran untuk lakonan dan inilah peluang untuk Neera cipta nama sebagai pelakon dulu.
“Bila dah betul-betul dapat gelaran pelakon dan orang kenal Neera barulah buat benda lain pula.
"Pengalaman lalu mengajar Neera agar lebih berhati-hati dan tumpu pada
satu bidang dahulu,” katanya. - KitaReporters