SEKARANG ini mudah sangat nak menjadi penyanyi, seolah-olah tak ada ‘kayu ukur’ untuk menentukan individu itu layak digelar artis atau tidak. Buat cover version mana-mana lagu dalam media sosial, tiba-tiba mengisytiharkan diri sebagai penyanyi. : KitaReporters
Nursyafiq Naser, daripada seorang influencer kini bergelar penyanyi.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan influencer:
https://kitareporters.com/search?search=influencer
Berbeza dengan dulu, sebelum era media sosial, menyertai pelbagai pertandingan nyanyian adalah cara untuk mengukur kebolehan diri. Mungkin sebab itulah kenapa penyanyi lama masih bertahan sehingga kini kerana mempertaruhkan bakat nyanyian, bukannya untuk mengejar glamor.
Salah seorang pendatang baharu yang bakatnya dicungkil daripada media sosial ialah Nursyafiq Naser, 26. Itupun, beliau lebih banyak menonjolkan bakatnya sebagai influencer (pempengaruh) media sosial yang sering membuat video parodi sejak dua tahun lalu.
Bakat Syafiq terserlah selepas menyertai program Vokal Mania.
Bagaimana pula boleh menjadi penyanyi? Berbakat ke dia atau harap pada keletah parodinya saja.
Jangan risau, biarpun Syafiq lebih dikenali sebagai influencer tapi beliau ada bakat menyanyi, bukan sekadar dalam media sosial tapi dalam pertandingan nyanyian iaitu Vokal Mania.
Bakat nyanyiannya juga semakin menyerlah apabila menyertai pertandingan Vokal Mania bersama rookie yang lain sebelum ini. Meskipun tidak berjaya ke peringkat akhir, itu sudah memberikan pengalaman baharu buat dirinya.
Berkat usaha gigihnya, akhirnya anak jati Parit, Perak itu mendapat kepercayaan Indigital Music untuk bernaung di bawah syarikat mereka dan tampil dengan single pertama berjudul Lenggang.
Lenggang dilancarkan
secara rasmi pada 13 Januari 2021 lalu dan pastinya lagu ciptaan Amzar Sabri,
Muaffirah dan Dayne itu begitu dekat dengan perwatakan dirinya yang happy go
lucky.
“Ini juga
menjadi pengalaman pertama saya masuk ke studio rakaman. Bukan mudah sebenarnya
nak menyiapkan lagu ini tetapi saya beruntung kerana Amzar banyak membantu
terutamanya mencari kesesuaian lenggok dan feel.
“Lagu ini pula mempunyai pelbagai karektor dan saya perlu mendalami satu persatu terlebih dahulu. Syukurlah semuanya berjalan dengan lancar dan saya tak berhadapan dengan masalah besar,” katanya terus terang.
Lagu Lenggang dijadikan runut bunyi untuk drama The Maid.
Syafiq, boleh dikatakan beruntung kerana single pertamanya itu juga dijadikan runut bunyi untuk drama 10 episod, The Maid yang bersiaran di saluran Astro Ria, setiap Rabu, pukul 9.30 malam.
Lagu
berentak pop dan catchy yang menggabungkan pelbagai elemen itu merupakan secara
tak langsung memperkenalkan nama Syafiq setiap kali drama lakonan Norman Hakim
itu bersiaran.
“Ini merupakan single pertama dan tak sangka diberikan ia peluang menjadi runut bunyi untuk drama popular. Sebagai orang baharu dalam industri, saya bersyukur dengan peluang yang ada dan menganggap ini permulaan yang baik.
“Walaupun Lenggan baru sahaja dilancarkan tetapi maklum balas yang diterima begitu baik. Saya menghargai setiap komen dan kritikan dan harap lagu ini akan diterima dengan baik oleh semua,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.
Tiap kali drama ini bersiaran, secara tak langsung lagu Lenggang dendangan Syafiq turut mendapat publisiti.
Meskipun
negara masih berdepan dengan pandemik Covid 19, Syafiq sempat menyiapkan video
muzik Lenggang penghujung Disember 2020 lalu.
Menariknya,
video muzik tersebut menuntut dirinya untuk sama-sama menari dan membawakan
pelbagai karektor termasuklah watak bapa bermisai tebal.
“Saya memang
takut bila dapat tahu kena menari. Dengan tak ada latihan, saya beranikan diri
sahaja. Mujurlah penari yang terlibat banyak memberikan tunjuk ajar. Kalau tak
haru-biru juga.
“Dari pagi membawa ke malam, barulah selesai proses rakaman. Ini memang cabaran baharu buat saya. Apa yang penting hasilnya disukai ramai, itu sudah cukup menggembirakan saya,” katanya terus terang.
Syafiq cukup terkenal dengan telatah parodinya yang sering membuat orang ramai ketawa.
Meskipun
sudah mengembangkan bakatnya sebagai penyanyi, Syafiq akan tetap meneruskan aktivitinya
sebagai influencer. Berkongsi tentang isi kandungan video yang sering dimuat
naik dalam laman sosial, kata Syafiq, beliau akan melakukan parodi berdasarkan isu
semasa.
“Mesti ramai
yang perasan, saya suka tiru Sajat sebab orang ramai suka tengok dia. Selalunya
sebelum membuat rakaman, saya akan buat kajian dulu tentang sesuatu isu supaya
waktu penggambaran berjalan lancar,” kata Syafiq yang meminati penyanyi Datuk
Seri Siti Nurhaliza, Anuar Zain dan Hazami.
Lenggang
sudah pun berada di saluran YouTube Indigital Music sejak 13 Januari lalu. Lagu
ini juga boleh distrim dalam semua platform digital. - KitaReporters