Seni & Sukan 02 Oct, 2020

Tahniah Mutiara United! Sedekad asah taring Harimau Kumbang!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

TIGA pencapaian bersejarah sejak awal 2020 di tengah-tengah negara dibelenggu pandemik maut Covid-19, bakal menjadikan sambutan ulang tahun ke-10 Kelab Bola Sepak Mutiara United (MUFA) di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 22 November 2020 ini lebih meriah dan gemilang. : KitaReporters

YUSRI Abd. Hamid (dua dari kanan) selaku Pengarah Akademi MUFA menerima Inisiatif Prihatin Sukan 2020 daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan,  Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. - Kredit foto Yusri.


Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:

https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak


MUFA yang diterajui Presidennya, Abdul Nasser Md. Madina dan Pengarah Akademinya, Yusri Abd. Hamid, mengorak langkah kanan dengan kejayaan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) pada Januari 2020 untuk melahirkan Akademi Bola Sepak MUFA-USM

Kegigihan MUFA itu kemudian berjaya menarik perhatian Kementerian Belia dan Sukan sebulan kemudian untuk membawa pihak kementerian bekerjasama dalam program MUFA dalam membangunkan sukan bola sepak di Pulau Pinang khususnya peringkat akar umbi dan wanita. 

Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) juga menukar cara fikir malah mewujudkan kreativiti kepada MUFA untuk terus bergerak secara konsisten dalam pembangunan bola sepak dengan memanfaatkan kaedah latihan bola sepak dalam talian melalui platform Google Classroom di rumah para pelatih.


TONGGAK kejayaan MUFA dalam membangunkan bola sepak akar umbi sejak 2010. - Kredit foto MUFA.


 “Kementerian Belia dan Sukan seterusnya telah menawarkan Inisiatif Prihatin Sukan 2020 (IPS20) sebanyak RM10,000 bagi persatuan dan kelab sukan yang terjejas dek Covid-19 kepada MUFA selepas kertas cadangan ‘Pendigitalan Sistem Pengurusan MUFA’ mendapat kelulusan. 

“Lebih membanggakan ialah MUFA merupakan satu-satunya badan penggiat sukan Pulau Pinang antara 50 persatuan dan kelab sukan dari seluruh negara yang mendapat kelulusan awal IPS20 itu. Pendigitalan ini meliputi Keahlian, Perakaunan, Kesetiausahaan dan Sistem Arkib,” kata Yusri.

YUSRI Abd. Hamid (kanan) menerima akreditasi Keahlian Tahap Perak Piagam SupaRimau daripada Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam (tengah). - Kredit foto Yusri. 


Tanggal 28 Ogos 2020 katanya, satu lagi pencapaian hebat diukir MUFA apabila dianugerahkan Keahlian Tahap Perak (Ahli Perak) Piagam SupaRimau oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu yang kedua tertinggi kepada akademi-akademi bola sepak di seluruh negara.   

“Sebagai sebuah akademi bola sepak yang bergerak secara persendirian, MUFA amat berbangga menerima akreditasi ini yang telah dinilai FAM secara teliti dalam beberapa kriteria yang ditetapkan. 

“Keahlian Tahap Perak Piagam SupaRimau FAM ini meletakkan MUFA sebaris dengan akademi-akademi bola sepak yang ditadbir terus oleh kebanyakan persatuan bola sepak negeri,” katanya. 

Piagam SupaRimau FAM dibezakan melalui tiga tahap keahlian iaitu Gangsa (asas) yang menekankan asas yang kuat untuk pertumbuhan masa depan, manakala Perak (maju), mementingkan kelestarian dan pembangunan dan Emas (penanda aras) memfokuskan pertumbuhan dan pengekalan bilangan pemain dan program.


Setakat ini hanya dua akademi bola sepak yang dianugerahkan Keahlian Tahap Emas Piagam SupaRimau FAM iaitu Akademi Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sekolah Bola Sepak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)

“Dengan kejayaan-kejayaan dan perkembangan positif ini, sambutan ulang tahun ke-10 MUFA bakal lebih bermakna selepas sedekad diasaskan ketika skuad utama Pulau Pinang mengalami prestasi merudum dalam saingan Liga Super. 

“Akibatnya ketika itu ramai yang menjadi kurang berminat dengan bola sepak Pulau Pinang lagi, namun MUFA muncul sebagai satu platform baharu yang membawa falsafah bola sepak akar umbi yang sebenar. 

“Wawasan besar MUFA ialah menggilap bakat-bakat baharu seawal umur enam tahun untuk diasah menjadi pemain bola sepak yang boleh dibanggakan pada masa hadapan,” katanya. 

AMIRUL Irfan Mohd. Sabri (jersi kuning), bakat didikan B12 MUFA yang kini menyertai skuad Piala Belia (B19) Kedah 2020.


MUFA ketika ini mempunyai lebih 100 pemain kanak-kanak dan remaja termasuk perempuan yang berdaftar dan berusia dari enam hingga 16 tahun yang dipecahkan kepada kumpulan umur bawah lapan, 10, 12, 14 dan 16 selain sebuah skuad seniornya beraksi dalam Liga Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang. 

“Tiga venue latihan kami ialah di Sekolah Kebangsaan Seri Permai, Padang Awam Bayan Baru dan Padang USM, Gelugor. Walaupun secara persendirian, MUFA cuba menjadi pemangkin kembali minat orang ramai terutama ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil kepada bola sepak melalui program latihan dan penganjuran kejohanan-kejohanan bola sepak.

"Antara bakat-bakat didikan MUFA dari skuad Bawah 12 tahunnya yang kini semakin mencipta nama dalam arena bola sepak Malaysia ialah Amirul Irfan yang kini menyertai skuad Piala Belia (Bawah-19) Kedah 2020 dan Mohammad Al Imran Ishak, penjaga gol skuad Liga Perdana Pulau Pinang.

“MUFA juga aktif bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) dalam menganjurkan kursus-kursus kejurulatihan FAM. Pelatih-pelatih MUFA juga dilatih oleh jurulatih-jurulatih yang bertauliah,” kata Yusri. 

MUFA katanya sejak penubuhannya, hanya berharap kepada tenaga sukarela serta sumbangan kewangan daripada pihak-pihak tertentu secara ‘ad-hoc’, namun masanya sudah tiba untuk menjadi lebih sistematik dan profesional dengan memiliki kemudahan latihan, logistik dan tenaga kerja yang tetap. 

“Selain itu kami masih memerlukan pelbagai bantuan yang bersesuaian daripada semua pihak yang berminat membantu bagi melahirkan ramai bakat baharu bola sepak Pulau Pinang dan negara. Untuk keterangan lanjut, boleh berhubung dengan Yusri (012-467 2552) atau Naser (012-473 7670),” katanya. - KitaReporters

MOHAMMAD Al Imran Ishak (jersi kuning) pernah bersama Bawah-12 MUFA dan kini sebagai penjaga gol skuad Liga Perdana Pulau Pinang. - Kredit foto: Penang FA

15
2
1
1
0
You will be interested