Seni & Sukan 04 Oct, 2020

Santai Minda! Wayang pacak reda stres pelajar sekolah Melaka

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

PIHAK pengurusan sekolah wajar mengambil inisiatif untuk mengisi masa pelajar yang tinggal di asrama dengan program bermanfaat kerana mereka tidak dibenarkan balik ke rumah seperti lazimnya berikutan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Covid-19 yang masih berkuat kuasa. : KitaReporters

Hubungan silaturahim antara pelajar SSN SMKSK khusus yang  tinggal di asrama semakin erat pada malam Program Santai Minda.


Lagi cerita-cerita berkaitan wayang:

https://kitareporters.com/search?search=wayang


Langkah itu wajar untuk dilaksanakan mengikut kemampuan sekolah terbabit bagi mengelak timbulnya isu berasa bosan dan stres dalam kalangan pelajar yang mungkin menghadapi tekanan tidak dapat mengunjungi keluarga pada cuti hujung minggu.

Menyedari situasi itu, Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota (SMKSK), Melaka menganjurkan Program Santai Minda untuk pelajar mereka khusus yang menetap di asrama di dewan terbuka sekolah itu pada malam Sabtu 26 September 2020 lalu.

Program itu dianjurkan Unit Hal Ehwal Murid dengan kerjasama Kelab Malaysiaku SMKSK dan Jabatan Penerangan Daerah Melaka Tengah serta dirasmikan oleh pegawainya, Mohd Noor Samion.

Gerai jualan turut menjadi tumpuan pelajar untuk mendapatkan keperluan khusus makanan. 


Pelbagai aktiviti disusun sepanjang  program itu seperti jamuan yang disediakan oleh pelajar serta guru, menjawab soalan kuiz, gerai jualan, sesi ramah mesra antara pelajar dan guru di samping pertunjukan wayang pacak.

Setiausaha kerja program itu, Cikgu Zanahariah Jaafar, berkata pengisian aktiviti dalam program berkenaan disambut baik oleh pelajar kerana dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara mereka khusus yang menetap di asrama di samping dengan guru serta warga SSN SMKSK.

Acara menjawab soalan kuiz menarik perhatian pelajar untuk menguji minda.


Menurut Cikgu Zanahariah, program itu juga membantu dalam meredakan tekanan emosi pelajar yang terpaksa berkurung di asrama kerana Covid-19 selain menonjolkan sikap keprihatinan guru yang bertindak sebagai pengganti ibu bapa mereka.

“Dalam situasi lain program itu mendedahkan kepada pelajar bahawa semua guru yang bukan sahaja di SMKSK sentiasa mengambil berat masalah pelajar mereka dalam menghadapi pelbagai masalah demi kecemerlangan pada masa depan,” katanya.

Jamuan makan yang disediakan oleh pelajar dan guru mengeratkan hubungan antara mereka.


Cikgu Zanahariah berkata, pertunjukan wayang pacak yang menayangkan filem Layar Bestari sememangnya ditunggu-tunggu semua pelajar bagi merasai suasana pada zaman 70-an yang bermulanya era media hiburan masyarakat pada masa itu.

Pertunjukan  wayang pacak yang mendapat kerjasama dari Pejabat Penerangan daerah itu memukaukan setiap pelajar kerana mereka dapat melihat bagaimana salah satu usaha yang dilakukan kerajaan dahulu bagi meningkatkan hubungan muhibah pelbagai kaum di negara ini.

Wayang pacak membawa pelajar dan warga SSN SMKSK menyelami zaman 70-an.


“Program itu juga secara tidak langsung menyemaikan nilai murni dalam kalangan pelajar kerana sesuatu masalah itu perlu ditangani bersama dan hubungan baik dengan warga sekolah perlu dipraktikan setiap masa,” kata Cikgu Zanahariah. - KitaReporters

13
0
0
0
0
You will be interested