PELANTUN lagu popular ‘Bayang’, Khai Bahar kini sudah membayangkan impiannya untuk mengadakan konsert berskala besar bakal menjadi realiti apabila syarikat Nova Music akan menganjurkan 'Konsert Nafas Cinta Khai Bahar' pada 12 Februari 2022 ini.
Terdahulu, konsert sulung pemilik nama sebenar, Muhammad Khairul Baharuddin, 27, yang sepatutnya dijadualkan di pentas berprestij Istana Budaya, Mac 2020 lalu terpaksa dibatalkan ekoran penularan wabak COVID-19 di mana sebarang konsert atau aktiviti persembahan dilarang sama sekali sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Khai Bahar
“Memang rasa sedih tetapi saya percaya setiap apa yang terjadi itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Alhamdulillah, saya mendapat tawaran daripada pihak Nova Music yang mahu menganjurkan konsert saya.
"Kata orang, besar tapak tangan nyiru saya tadahkan, pelawaan itu saya anggap rezeki buat saya,” kenang Khai Bahar sambil melahirkan perasaan terujanya apabila pihak Nova Music memilih dirinya untuk menjayakan konsert.
Kini kekecewaan penyanyi yang mendapat gelaran ‘King of Smule’ (Raja Smule) terubat apabila Konsert Nafas Cinta Khai Bahar akan diadakan di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama, pada 12 Februari 2022.
“Perancangan Allah SWT itu lebih baik. Saya menganggap belum ada rezeki untuk buat konsert apabila ia terpaksa dibatalkan atas faktor tertentu biarpun ketika itu sudah banyak persiapan dilakukan. Apa pun saya memandang ia dari sudut positif,” ujar Khai yang baru-baru ini lagunya “Nafas Cinta’ bersama Aina Abdul berjaya ke pentas akhir AJL36 malah menerima Anugerah Penyanyi Pilihan Noir.
Jadi, sudah tentu pemenang tiga kali kategori ‘Penyanyi Lelaki Popular’ pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ini turut menjemput rakan duetnya, Naib Johan AJL35, Aina Abdul sebagai penyanyi jemputan bersama ‘Ratu Soundtrack’, Adira Suhaimi (gambar bawah).
Bercakap lanjut, Khai berharap konsert sulungnya diyakini boleh mengubat kesedihan peminat mahu pun dirinya biarpun lokasi persembahan tidak dapat memuatkan jumlah yang ramai tetapi sekurang-kurangnya impian dan hasratnya untuk menjayakan persembahan berskala besar tercapai.
“Tipulah jika dalam kerjaya seseorang penyanyi dia tidak mengimpikan sesuatu yang besar dalam karier seni. Begitu juga saya yang mana mengadakan konsert ini satu daripada cita-cita yang belum tercapai. Jadi, doakan semoga segala perancangan menuju konsert ini dipermudahkan Allah SWT,” ujar Khai mendoakan.
Menariknya, 'Konsert Nafas Cinta Khai Bahar' ini kelak akan diadakan melalui dua platform iaitu secara hybrid fizikal dan vitual live (maya secara langsung) bagi memberi laluan lebih ramai peminatnya dari seluruh Malaysia dan rantau Asia berkongsi menyaksikannya.
Sementara itu, menjawab pertanyaan kenapa memilih Khai Bahar dan adakah disebabkan pembatalan konsert Khai terdahulu, penerbit dan penganjur konsert, Rosmin Hashim berkata, pemilihan Khai Bahar berlaku secara kebetulan.
“Itu bukan punca kami buat konsert ini. Tak terfikir pun perkara itu, cuma, kami berasakan sudah sampai waktunya kami menganjurkan konsert berskala besar.
"Lagi pula aktiviti persembahan pentas dan konsert kini sudah pun dibenarkan berlangsung dan orang ramai pun dahagakan hiburan persembahan secara langsung,” tambah Rosmin sambil berpendapat Khai Bahar dirasakan penyanyi pilihan yang tepat memandangkan beliau mempunyai kekuatan peminat luar biasa selain banyak menjalin kerjasama dengan syarikat rakaman Nova Music dan Seventeen Eleven Music.
Tiket tontonan konsert secara fizikal yang dijual dengan harga RM189.90 sudah boleh dibeli di Onetix dengan melayari https://onetix.com.my manakala tiket tontonan konsert secara virtual yang dijual dengan harga RM69.90 (31/12/21 – 13/01/22), RM79.90 (14/01/22 – 27/01/22) dan RM89.90 (28/01/22 – 11/02/22) boleh diperoleh dengan melayari laman web https://www.cloudtheatre.com.my - KitaReporters