Seni & Sukan 10 Dec, 2020

Jersi baharu Harimau Malaya! Sumbangsih buat Agong dan TMJ!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV).

Share this

JERSI baharu Harimau Malaya yang dilancarkan 4 Disember 2020 menjadi sumbangsih istimewa buat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kuala Lumpur pada 9 Disember 2020. Laman Facebook rasmi FAM turut menyiarkan gambar baginda menerima bingkisan jersi itu yang bernombor 14 di belakang yang turut tertera nama Abdullah di atasnya. : KitaReporters


AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) menerima sumbangsih jersi baharu Harimau Malaya (kandang/home) daripada Hamidin Mohd. Amin.  - Kredit foto FAM. 


Lagi kisah-kisah berkaitan jersi:

https://kitareporters.com/search?search=jersi


Jersi utama pasukan negara yang berwarna kuning dan kedua, hitam berjalur hitam dihadiahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang menghadap Seri Paduka bagi menyembah maklum perkembangan terkini bola sepak negara kepada baginda. 

“Sebagai tanda menjunjung kasih FAM kepada Seri Paduka, Presiden FAM menyampaikan pemberian jersi baharu skuad Harimau Malaya,” lapor laman berkenaan pada 9 Disember 2020. 

Al-Sultan Abdullah yang juga mantan Presiden FAM dari 2014 hingga 2017, dikatakan menjadi penyokong setia kelab gergasi England, Arsenal yang pernah memiliki penyerang dari Perancis, Thierry Henry, juga berjersi nombor 14. 


JERSI kuning berlengan hitam skuad negara tertera nama Abdullah dan nombor 14, kegemaran Seri Paduka. - Kredit foto FAM.


Lapor laman itu, “Presiden FAM memaklumkan Seri Paduka berhubung aktiviti bola sepak negara kelolaan FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang berlandaskan tatacara pelaksanaan piawai (SOP) di tengah-tengah penularan pandemik Covid-19 selain perjalanan Liga Malaysia musim 2021.

“Turut dinyatakan, proses penswastaan kelab dan pasukan Liga Malaysia serta pemisahan persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC) selain persediaan skuad negara menyambung baki pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G pada Mac 2021 dan Piala AFF, Disember 2021.

“Lain-lain termasuk perkembangan ibu pejabat baharu FAM dan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Putrajaya yang diilhamkan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Ahmad Shah yang juga mantan Presiden FAM dari 1984 hingga 2014,” lapor laman itu.



JERSI kedua Harimau Malaya berwarna hitam dan berjalur silang kuning turut dihadiahkan Presiden FAM kepada Yang di-Pertuan Agong. - Kredit foto FAM.


NTC di Presint 5, Putrajaya dirancang dengan kemudahan moden termasuk tiga padang berciri-ciri antarabangsa yang kini dalam perbincangan fasa akhir bersama Kementerian Belia dan Sukan sebelum kerja-kerja awal pembinaannya dijangka dimulakan awal tahun depan.

Rundingan untuk membina ibu pejabat baharu FAM di Presint 5 juga sedang dimuktamadkan sebelum bakal dibina mulai penghujung 2021.

“Presiden FAM juga memohon perkenan pandangan Seri Paduka mengenai tanah FAM di Bentong, Pahang yang seluas 12.14 hektar." 

Dua hari sebelumnya, 7 Disember 2020, Hamidin menghadiahkan jersi pasukan negara ini kepada seorang lagi mantan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) FC. 

Sumbangan itu sebagai tanda penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor itu atas sokongan berterusannya kepada bola sepak negara sehingga hari ini. - KitaReporters


TUNKU Ismail TUNKU Ismail Sultan Ibrahim (kiri) menerima sumbangsih jersi utama pasukan negara pada 7 Disember 2020. - Kredit foto FAM.


ANGKA 02 pada belakang jersi away Harimau Malaya berwarna hitam, menjadi pilihan Tunku Ismail. - Kredit foto FAM.

0
0
0
0
0
You will be interested