Seni & Sukan 07 Oct, 2021

Video| Gara-gara COVID-19, Dunya nampak Kuala Lumpuh! Lahir ke dunia hasil gabungan Akim, Stacy!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Band Dunya (dari kiri) Tuah Johari, Sharul Kamal dan Odit.


Pandemik COVID-19 yang melanda negara dua tahun lalu ternyata tidak mematahkan semangat pasangan bintang kelahiran program nyanyian realiti, Akademi Fantasia (AF), Akim Ahmad, 30, dan isterinya, Stacy Anam, 31, apabila mereka melahirkan pula sebuah kumpulan baharu yang dinamakan Dunya.

Agak unik dan menepati situasi yang menyerang satu dunia sekarang ini pada nama kumpulan hasil cetusan idea Stacy ini kan? 

Bukan itu sahaja, malah judul single pertama Dunya pula diberi nama ‘Kuala Lumpuh’. Awas! bukan Kuala Lumpur  ya… sekali gus membayangkan ibu kota Malaysia ini yang tidak terlepas daripada serangan wabak koronovirus turut ‘lumpuh’ menyembah bumi.

Menerusi syarikat rakaman Akim dan Stacy, Rhythm & Rhyme Entertainment,  Dunya ditubuhkan tahun ini dengan keanggotaannya terdiri daripada tiga anak muda iaitu Sharul Kamal selaku vokalis, Tuah Johari (bes) dan Odot (dram).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Stacy Anam



“Band Dunya ditubuhkan hasil cetusan idea daripada Sharul sekali gus menonjolkan sisi berbeza bekas peserta Akademi Fantasia 2015 ini,” ujar Akim yang menciptakan lagu bergenre pop rock, ’Kuala Lumpuh’  bersama Bunga Cantik dan Amin.

Menurut Akim, band Dunya lebih kepada genre Pop Rock, jadi single pertama mereka itu bergenre sama apatah lagi ia ditubuhkan atas keinginan Sharul untuk bergerak dengan band, jadi beliau dan Stacy bersetuju dengan keputusan itu.

“Lirik lagu Kuala Lumpuh ini cetusan daripada Bunga Cantik, yang mana sepanjang hampir dua tahun ini kita melalui fasa pandemik Covid-19, perkara ini sedikit sebanyak memberi impak pada semua. 

‘Apa yang berlaku adalah sejarah buat seluruh dunia dan sebagai orang yang melihat proses penulisan lagu ini, saya berasakan sangat teruja dan gembira dapat bekerjasama dengan Bunga Cantik yang mempunyai idea yang dasyat selain bakat dimiliki anggota kumpulan DUNYA,” tambah Akim atau nama penuhnya, Afiq Hakim Ahmad (gambar bawah),


Akim dan Stacy


Sementara itu, Sharul atau nama penuhnya, Muhammad Sharul Amin Kamarozaman, 23, memberitahu,  idea untuk bergerak secara berkumpulan sudah lama dan tidak menjangka ia disambut baik oleh Stacy dan Akim.

“Saya memang teringin nak buat persembahan atas pentas bersama band. Sebab sebelum ini saya pernah ikut Drama Band dan Akim & The Majistret menjadi kru. Jadi banyak saya belajar mengenai band. Dari situ saya mengumpul segala semangat dan ilmu daripada mereka selama beberapa tahun untuk saya nak menubuhkan band.

“Cuma sebelum ini masa tak sesuai dan rezeki pun belum sampai. Alhamdulillah, Allah kabulkan permintaan saya tahun lepas. Ketika berjumpa Stacy, saya cakap nak buat sesuatu yang baru. Lagi pula saya sudah bergerak solo lebih kurang enam tahun sejak keluar AF2015,” cerita Sharul.



Dengan tertubuhnya band Dunya, Sharul menyifatkan impian dan azamnya selama ini sudah tercapai selepas melalui pelbagai dugaan dan rintangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bukan sebab tengok orang lain ada band, saya nak ada band juga, tidak. Sebab saya pernah bekerja dengan band lain, jadi saya dapat rasa kena ada geng. 

"Lagi pun saya ingat lagi kata-kata bekas pengetua AF 2015 dulu, Edry KRU, dia pernah cakap karakter saya lebih sesuai dengan band. Masa itu saya masih lagi kosong dalam bidang ini dan tak faham apa dia cakap,” kenang Sharul.

Pun begitu, katanya, tidak pula bermaksud beliau tidak lagi bergerak solo namun buat masa sekarang ingin fokus kepada band Dunya.

“Andai kata ada projek solo, saya tetap akan buat,” akui Sharul jujur. - KitaReporters


11
11
1
12
0
You will be interested