Seni & Sukan 22 Jun, 2020

Bajet lebih RM150k! Bantu pengusaha pelancongan Tasik Kenyir

@fatimah itayah
Mula ceburi dunia kewartawanan sebagai wartawan akhbar. Masih banyak perlu dipelajari!

Share this

MEMAHAMI keperitan pengusaha pelancongan di Tasik Kenyir, Terengganu yang terjejas teruk ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakanan (PKP) kerana pandemik Covid-19, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan RM152,700 membantu golongan berkenaan. Alhamdulillah, terima kasih!! : KitaReporters

Razali Idris (depan, dua dari kiri) sewaktu Majlis Penyampaian Sumbangan Ketengah kepada Pengusaha Pelancongan Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. 


Peruntukan yang disalurkan kepada 86 pengusaha rumah bot, bot laju dan pengusaha kedai itu secara tidak langsung menjadi satu suntikan semangat untuk kumpulan berkenaan bangkit kembali selepas terkesan akibat wabak Covid-19.

Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata setiap pengusaha menerima antara RM400 sehingga RM5,000 seorang bergantung kepada jenis pengusahaan dijalankan termasuk kepada pengusaha rumah bot yang alami kerosakan.

"Penutupan semua sektor ekonomi sejak 18 Mac 2020 lalu beri impak besar kepada pendapatan rakyat. 

"Tasik Kenyir ini dibuka kembali kepada pelancong pada 12 Jun 2020 baru-baru ini dan sumbangan ini sebagai inisiatif membantu sektor pelancongan di sini.

"Kita harapkan sumbangan ini dapat digunakan sebagai suntikan ekonomi bagi menjana pendapatan berterusan kepada penggiat pelancongan Tasik Kenyir dalam era norma (amalan) baharu kini.

"Selepas Tasik Kenyir kembali dibuka ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) didapati sambutan begitu mengalakkan daripada pelancong. 

"Senario ini satu perkembangan yang positif," katanya.

Santuari Kelah merupakan salah satu daya tarikan utama pelancong di Tasik Kenyir. 


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ketengah kepada Pengusaha Pelancongan Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada 21 Jun 2020.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, Datuk Rozi Mamat; Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tenglu Musa serta Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Zalani Endut.

Tambah Razali, buat masa ini juga pelancong yang berkunjung menikmati diskaun sebanyak 20 peratus bagi semua  pakej di Tasik Kenyir dan alternatif itu satu pendekatan dalam usaha rancakkan kembali pusat pelancongan tersebut.

"Selain itu, Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir diminta mengadakan bengkel berkaitan bagi membantu ahlinya merancakkan kembali perniagaan masing-masing.

“Dalam tempoh beberapa bulan yang masih berbaki pada tahun 2020 ini, perlu difikirkan daya tarikan atau produk terdapat di Tasik Kenyir ini bagi diketengahkan agar dapat melonjak lagi kedatangan pelancong,” ujarnya.

Penggiat industri pelancongan di Tasik Kenyir bakal adakan bengkel bagi mencari mekanisme terbaik dalam usaha rancakkan semula kehadiran pelancong. 


Sementara itu, bermula 12 Jun 2020 lalu, Kerajaan Negeri Terengganu telah benarkan semua aktiviti pelancongan termasuk ekopelancongan seperti rumah bot di Tasik Kenyir untuk beroperasi bagi menggerakkan semula sektor pelancongan Terengganu.

Bagaimanapun, pengusaha pelancongan diingatkan supaya sentiasa mematuhi 'standard operating procedures' (SOP) yang bersesuaian dengan norma baharu. - KitaReporters

1
1
0
0
0
You will be interested