Seni & Sukan 12 Jan, 2021

Chapter 42: My IVF Story! Siti Nurhaliza siar video hamil kaedah IVF! Tonton MV Takhta Dunia!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

PADA 11.01.2021 genapnya  42 tahun usia penyanyi tersohor negara, Dato Seri Siti Nurhaliza. Dan sempena ulang tahunnya itu, Siti yang lebih mesra disapa Tok Ti  memuat naik secara eksklusif sebuah video menceritakan persediaan, pengalaman dan perjalanan beliau sebagai seorang wanita, isteri dan ibu untuk memperoleh anak ke-2 menerusi prosedur rawatan persenyawaan in-vitro  (IVF) untuk ditonton 917,000 pengikut YouTube rasminya Siti Nurhaliza. : KitaReporters



Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Siti Nurhaliza:

https://kitareporters.com/search?search=Siti+Nurhaliza


Diberi tajuk ‘Chapter 42: My IVF Story (Exclusive)' (Bab 42: Kisah IVF-ku), video yang cukup bermakna dan bersejarah bagi Tok Ti itu berdurasi 16 minit 32 saat mendapat tontonan lebih 150,000 dengan tanda suka sebanyak 9,000 berbanding lebih 50 yang tidak suka. 

Biasalah kan, tak semua suka seperti kata seorang netizen ‘yang dislike mesti geng-geng yang hati tak berapa nak putih’ ….wallahualam. 

Itu pendapat dia, yang pasti sebagai insan yang dicipta Allah, rambut sahaja sama hitam tetapi hati lain-lain kan?




Pun begitu, rata-rata peminat yang menyaksikan video berkenaan mengucapkan tahniah kepada Tok Ti malah turut berkongsi rasa sedih apabila melihat babak terakhir Siti yang mengalirkan air mata kesyukuran atas kehamilan yang dimakbulkan Allah SWT itu.

Bukan sahaja kaum wanita yang meluahkan perasaan sedih menonton bahkan peminat lelaki tidak kurang juga  menulis perasaan sebak  kepada artis kesayangannya yang digelar sebagai ‘Mak Iti’. 

Komen-komen yang dilontarkan turut mengucapkan selamat hari jadi kepada Siti dengan harapan semoga kandungan beliau dipelihara dan selamat melahirkan bayi dengan selamat, sihat dan sempurna.




Dalam pada itu, menjengah ke laman instagramnya, Tok Ti mengambil kesempatan membuat video live bersama anaknya, Siti Aafiyah pada hari jadinya bagi mengucapkan terima kasih kepada peminat yang melayangkan ucapan Selamat Hari Jadi kepadanya.

Menariknya antara yang turut menonton serta mengucapkan tahniah di atas kehamilan dan ulang tahun ke-42nya adalah penyanyi terkenal Indonesia, Hetty Koes Endang.



“Ibu Hetty pun ada juga. MasyaAllah, Subhanallah, Ibu Hetty apa khabar, assalamualaikum, rindu…kagen bangat  sama ibu Hetty. Doakan Siti Ibu Hetty biar sentiasa sihat walafiat…” ujar Siti melalui slot  video yang bermula pada durasi 7:48 saat.

Ternyata Siti kelihatan agak terkejut mendapat respons daripada ibu Hetty sehingga ingin mengajak plantun lagu ‘Kaulah Segalanya’ ini turut serta secara live namun tidak kesampaian memandangkan penyanyi Indonesia itu tidak bersedia.

“Jangannnnn… “ kata Ibu Hetty kepada Siti.

Melalui perbualannya, ibu Hetty berharap agar Siti melahirkan anak pada 1 April 2021 memandangkan memang tarikh bersalin Siti dijangka pada bulan empat itu namun dibalas Siti mungkin belum cukup bulan lagi sambil ketawa.



Sesungguhnya. selain hamil, tahun 2020 meninggalkan seribu satu kenangan manis kepada isteri Dato Seri Khalid Mohamad Jiwa ini di atas beberapa pencapaian dan anugerah yang diperoleh beliau termasuk kejayaan menerusi album ManifestaSITI2020.

Antara kejayaan yang beliau capai ialah Artis Paling Banyak Distrim di platform Spotify dan Joox, 100 Asia Digital Star, Most Admired Women 2020, 500 Influential Muslim 2021, Nona Homegrown Award dan Individu Tergempak (Astro Gempak).

Selain itu, dua buah lagu dari album ManifestaSITI2020 iaitu ‘7 Nasihat’ dan ‘Aku Bidadari Syurgamu’ layak ke pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu ke-35 yang bakal berlangsung pada 7 Februari 2021 ini di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, manakala video muzik ke-7 dari album tersebut, ‘Kuasa Cintamu’, telah mendapat lebih 2 juta tontonan.



Terbaharu, sebagai pembuka tahun baharu 2021, sebuah lagi video muzik daripada penyanyi ini dilancarkan iaitu ‘Takhta Dunia’ ciptaan komposer terkenal Indonesia, Ryan Kyoto.

Lagu ini mempunyai keunikan tersendiri dari segi melodi dan cara penyampaian Siti Nurhaliza, namun inti pati lirik yang dihasilkan sangat memberi makna. 

Bersesuaian dengan maksud liriknya, video muzik kali ini digarap istimewa dengan elemen minimalis teater muzikal. 

Pengarahnya, Azhar dari Rasa Film telah menonjolkan peranan penari serta pelakon sebagai medium penyampai mesej teguran secara simbolik.

Sebagai contoh, Azhar menterjemahkan mesej simbolik menerusi lakonan menggunakan telefon bimbit dan pelekap mulut yang membawa maksud, jasad  terperangkap di zaman lampau namun kelakuan tetap wujud pada zaman sekarang.



Video muzik ini berlatarbelakangkan tahun 1970-an di sebuah stesen kereta api yang dinamakan Lipis Sentral. 

Lokasi penggambaran diadakan di ruang pameran luar Muzium Sultan Alam Shah yang menempatkan kepala dan gerabak kereta api lama.

Bagi mengupas lirik lagu ini, 'Takhta Dunia' sarat nilai moral kerana mengingatkan supaya setiap orang bersikap baik, menjauhi hasad dengki serta menjaga tutur kata.  Apabila ini menjadi amalan, hati seseorang akan bersih dan tidak tercela.

Visual lakonan dalam video muzik ke-8 menerusi album ManifestaSITI2020 ini banyak mengaitkan isu semasa masyarakat iaitu vandalisme, berebut kerusi atau tidak bertolak ansur dalam pengangkutan awam, buli siber dan juga mencuri.

Penggambaran video muzik 'Takhta Dunia' terbitan Universal Music Sdn Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd ini merupakan antara kerja terakhir Siti sebelum berehat untuk memberi fokus kepada persediaan kehamilan. 

Selamat Hari Jadi Tok Ti. - KitaReporters

0
0
0
0
0
You will be interested