Seni & Sukan 09 Jan, 2024

Video| Mohon maaf sangat-sangat! Tak berdaya tambah hari konsert! Hampiri Ramadan! - Siti Nurhaliza

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this



Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza begitulah semakin canggihnya judul yang dipilih penyanyi nombor satu negara, Dato Seri Siti Nurhaliza Tarudin sekembalinya ke pentas Axiata Arena, Bukit Jalil, selepas lima tahun tidak beraksi di lokasi itu, pada 9 Mac 2024 nanti.

Barangkali tidak semua yang faham apa itu ‘epitome’ khususnya mereka di pedalaman tetapi masih mengenali penyanyi kesayangan yang mereka lebih mesra disapa dengan panggilan Tok Ti ini.

Sebuah epitome membawa maksud orang atau benda yang menjadi contoh atau teladan dari segi kualiti, kelas dan sebagainya. Saya Siti Nurhaliza adalah satu bentuk penzahiran tentang diri dan jati diri beliau yang sebenar.



Itulah secara ringkas makna dan mesej yang mahu disampaikan di sebalik judul konsert anjuran Yayasan Nurjiwa, sebuah pertubuhan amal yang diasaskan oleh Siti Nurhaliza dan suami, Dato’ Seri Khalid Muhamad Jiwa ini.

Pun begitu, yang menjadi kekecewaan apabila tiket konsert habis dijual dalam tempoh 2 jam selepas penganjurannya diumumkan pada 21 Disember 2023 yang lalu waima rata-rata peminatnya memohon agar ia ditambahkan sehari lagi bagi memberi peluang lebih ramai daripada kapasiti 10,000 yang disasarkan dapat hadir berikutnya.

“Saya mohon berbanyak maaf, memang hasrat untuk menambah hari sebelum atau pun selepas 9 Mac (2023) ada terfikir tetapi kita hanya dapat merancang Allah SWT jua yang menentukan. Ia tidak dapat dilaksanakan kerana melibatkan kerja teknikal dan produksi akhir dilakukan pada 8 Mac,” jawab Siti Nurhaliza  pada majlis sidang media 'Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza' yang berlangsung di The Face Suites pada Isnin, 8 Januari 2024.


Siti Nurhaliza menghargai rakan baiknya, KC Hoe  dari Cuckoo yang sentiasa menyokong kerjayanya. - Kredit foto: FAS.


Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo International (Mal) Sdn Bhd, K.C. Hoe sebagai penaja utama konsert yang turut menghadiahkan sejambak bunga kepada Siti Nurhaliza yang bakal menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-45 pada 11 Januari  depan.

Dengan wajah yang membayangkan dirinya juga sedih tidak dapat melayan permintaan peminatnya, plantun lagu ‘Menyapa Dunia’ ini sekadar boleh menyapa ringkas dengan permohonan maaf berkali-kali.

“Tarikh 10 Mac pula sudah menghampiri bulan Ramadan, jadi saya dan pasukan yang sudah fikir masak-masak hal ini terpaksa batalkan hasrat untuk sebarang penambahan hari. 

"Maaf sangat, insya-Allah selepas ini untuk konsert seterusnya akan saya pertimbangkan untuk dua hari,” tambah Siti sambil mengumumkan rakan baiknya dari Indonesia, penyanyi Judika akan menjadi artis undangannya pada malam konsert.



Menurut Siti, beliau akan memberikan sebuah persembahan yang sesuai dengan keadaan semasa, memahami pergolakan dan krisis yang sedang berlaku, namun konsert ini adalah salah satu platform yang digunakan untuk memberi semula kepada masyarakat sama ada di dalam negara atau di Gaza, Palestin.

Sejajar dengan objektif penubuhan Yayasan Nurjiwa, badan amal ini memfokuskan lima misi utama bantuan iaitu kebajikan, kemanusiaan, agama, pendidikan dan bantuan khas Palestin.

Siti mengakui beliau memilih dan mencerna idea yang bersesuaian untuk konsert kali ini serta mempunyai mesej tersendiri tanpa mengetepikan nilai komersial sebuah persembahan berskala besar.

Konsert ini adalah platform atau wadah yang signifikan dengan karier Siti namun keutamaan beliau adalah untuk menyalurkan semula hasil kutipan tiket ke pelbagai aktiviti kebajikan yayasan.


Barisan penaja-penaja yang hadir sempat meraikan hari jadi Siti tiga hari lebih awal dari tarikh ulang tahunnyya pada 11 Jan 2024 ini.


Untuk rekod, tiket-tiket yang terjual sepenuhnya dalam. masa dua jam itu berharga RM799, RM499, RM399, RM299 dan RM129.

Barangkali jualan tiket terlaris dalam tempoh dua jam ini boleh dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai tiket konsert paling laju dijual sehingga ‘sold out’, sekali gus mencetuskan fenomena tersendiri dalam dairi anak kelahiran Temerloh, Pahang, berusia 45 tahun ini yang bakal menunaikan umrah tidak lama lagi. - KitaReporters

15
12
0
14
0
You will be interested