Seni & Sukan 10 Jan, 2024

Jejari emas Mehran! Hasilkan beg songket, tudung saji decoupage, tanjak! Kuih, minyak tradisional!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


Era 80-90-an menyaksikan nama Yan Sri Andam (YSA) terkenal sebagai butik pengantin paling popular di Lembah Klang juga di Malaysia. Sebut sahaja YSA pasti ramai yang teringat akan pelbagai jenis pakaian pengantin yang dimiliki butik ini.

Sebut apa sahaja pakaian pengantin yang diingini semua ada termasuk pakaian tukar-tukar yang menjadi fenomena majlis perkahwinan dahulu.

Pendek kata pengantin yang pernah mendapat sentuhan YSA pasti teringat akan hasilnya sampai ke hari ini.



"Tapi masa berlalu, YSA juga berubah perkhidmatan pada tangan orang muda yang lebih berwawasan," kata Mehran Sedit pengasas YSA.

Menurut Mehran atau lebih mesra disapa Yan, anak keduanya, Amir Firdaus Anoir yang menyambung tugasnya mengembangkan YSA Events  sejak 7 tahun lalu.

Namun itu tidak bermakna Yan duduk diam. Wanita yang tidak kenal penat dan jemu ini memilih untuk menghasilkan kraf tangan unik bagi mengisi masa lapangnya.

"Daripada duduk sahaja tak buat apa-apa saya memilih untuk menghasilkan produk kraft seperti tudung saji decoupage, beg tangan songket dan tanjak," ujar isteri kepada Anoir Jalil ini.




Ibu kepada lima anak lelaki ini masih menghadiri pelbagai bengkel dan ceramah berkaitan bisnes, kraf tangan, andaman dan sebagainya. 

Yan menganggap ilmu perlu dituntut selagi kita mahu membaiki diri dan menambah pengetahuan. 

"Saya suka belajar sesuatu yang baharu bagi meningkatkan kreativiti dalam menghasilkan produk. Selain menambah pengetahuan ia juga membuka peluang kepada saya mencari rezeki, " jelasnya lagi.



Pada masa sama, Yan turut memperjuang pakaian tradisional dalam majlis majlis yang dihadirinya. 

“Selain bermain dengan kreativiti saya juga sering memakai pakaian tradisional berasaskan songket semasa menghadiri majlis majlis rasmi atau perkahwinan. 

“Saya juga sering menyertai pertandingan pakaian tradisional yang diadakan dan mengenakan busana tradisional semasa menghadiri majlis yang bertemakan tradisional. 

"Ia memberi kepuasan kepada saya apabila dapat menggayakan pakaian tersebut,“ ujarnya. 

Pernah beberapa kali menang pakaian paling cantik dan busana tradisional terbaik Yan merasa bangga dengan minatnya dan berharap wanita lain juga menggayakan busana yang sama semasa ke majlis majlis rasmi atau keraian. 

“Jika kita tidak menghargai budaya kita siapa lagi. Begitu juga dengan kerja kerja kraf tangan. Jika tidak kita yang mempromosinya, siapa lagi kan?” tambahnya lagi.




Wanita serba boleh ini juga mahir membuat kuih tradisional seperti dodol, bangkit, kuih bakar, bahulu dan sebagainya. Dia juga menerima tempahan untuk biskut moden. 

Pada masa lapang, Yan juga membuat minyak untuk kesihatan yang diwarisi daripada nenek moyangnya. 

“Selagi ada kudrat saya akan terus belajar dan menerima tempahan mereka yang berhajat mencuba kreativiti dan air tangan saya,” jelas Yan. 

Yang berminat menempah hasil kerja tangan Yan boleh hubungi 010 2321753. - KitaReporters


9
7
0
12
0
You will be interested