
Lampu berkelip, muzik berirama rancak dan suasana penuh glamor bakal menghidupkan kembali era kegemilangan muzik klasik tanah air menerusi Malam Pesta Ronggeng yang akan berlangsung pada 15 dan 16 Ogos 2025 ini di Saloma Kuala Lumpur.
Acara istimewa ini menjanjikan satu malam yang memukau, menyatukan irama nostalgia dengan elemen moden menerusi persembahan eksklusif kumpulan Aruel & The Fasola.
Dengan konsep yang diinspirasikan daripada era 40-an sehingga 60-an, malam penuh pesona yang dianjurkan HS Event & Entertainment ini dijangka menjadi platform yang menyentuh jiwa penggemar muzik klasik serta menarik minat generasi baharu.
Lebih istimewa, persembahan ini bakal menghidupkan semula karya-karya agung seniman tersohor negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Saloma, dalam susunan muzik baharu yang segar dan eksklusif.
Menurut penyanyi utama kumpulan tersebut, Aruel, peluang untuk mengadakan persembahan berskala besar ini sangat bermakna buat mereka.
“Kami, Aruel & The Fasola, mula aktif membuat persembahan sejak 2022 hanya secara ‘private’ dan ‘underground’. Namun, kini dengan sokongan ramai dan peluang besar ini, kami sangat terharu.

“Saya amat bersyukur dengan peluang yang diberikan oleh pihak penganjur. Kami sangat bersemangat dan ingin memberikan persembahan yang terbaik kepada semua yang hadir. Ini bukan sekadar malam hiburan, tetapi malam penuh kenangan dan penghargaan terhadap warisan seni negara,” katanya pada majlis sidang media Malam Pesta Aruel & The Fasola bertempat di Saloma Kuala Lumpur pada 18 Julai 2025, semalam.
Persembahan Aruel & The Fasola malam itu akan diiringi oleh sepuluh pemuzik termasuk penyanyi latar, dengan konsep persembahan yang menampilkan suasana ala Buloh Inn -- lokasi ikonik yang sinonim dengan muzik klasik dan keanggunan tempo dulu.
Gabungan elemen klasik dan moden dalam susunan muzik dijangka memberi nafas baharu kepada lagu-lagu lama agar lebih relevan dengan selera masa kini.
Meskipun menggunakan tema ‘ronggeng’, Aruel menjelaskan bahawa persembahan mereka bukan semata-mata menampilkan tarian tradisional. Sebaliknya, ia adalah tentang membawa kembali suasana pesta tari menari, diiringi irama jazz Melayu yang disuntik dengan elemen latin seperti Cha Cha, Rumba, Bossa Nova, dan Twist.

“Dalam sudut kebudayaan, memang wujud istilah ‘tarian ronggeng’. Namun bagi kami, Aruel & The Fasola, ronggeng itu kami gambarkan dengan suasana tari menari yang mana muzik kami mempunyai elemen Malay Jazz dan klasik serta suntikan latin seperti Cha Cha, Rumba, Bossa dan Twist pasti akan menukarkan malam itu menjadi malam tari menari untuk semua yang hadir,” katanya.
Aruel turut berharap persembahan mereka mampu mengembalikan nostalgia dan memberikan kepuasan sepenuhnya kepada tetamu yang hadir.
“Semestinya kami akan cuba membuat semua tetamu bangun dan menari bersama pada malam itu. Kami mahu menghidupkan semula kenangan manis dengan lagu-lagu klasik yang sudah sebati dalam jiwa ramai penggemar,” tambahnya.
Dengan gabungan warisan, gaya moden dan persembahan penuh emosi, Malam Pesta Ronggeng di Saloma Kuala Lumpur dijangka mencipta detik indah buat para pencinta muzik tanah air -- satu malam di mana kenangan lalu kembali bergema, diiringi senyuman dan alunan irama yang meresap ke jiwa.

Kumpulan Aruel &The Fasola.
Sementara itu, penganjurnya, Datin Riza Che Umar berharap "Malam Pesta Ronggeng" bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menjadi platform untuk memperkenal semula keindahan muzik klasik dan tradisi tari menari kepada generasi muda.
“Objektif utama penganjuran acara ini adalah untuk mengembalikan memori indah muzik klasik kepada generasi baharu sambil meraikan peminat muzik lama.
“Jadi, Malam Pesta Ronggeng ini diadakan untuk mencipta ruang hiburan yang bukan sahaja eksklusif tetapi juga mengekalkan elemen seni budaya tempatan yang semakin dilupakan. Kami ingin semua tetamu merasai keunikan muzik klasik dengan sentuhan moden dalam suasana penuh gaya,” sambungnya.

Menurut Riza (dua dari kiri) pihaknya optimis persembahan yang diadakan selama dua malam itu mendapat sambutan menggalakkan.
"Alhamdulillah, setakat ini, sambutan jualan tiket amat memberangsangkan dengan sasaran 50 meja untuk dua malam persembahan. Kami optimis untuk melihat kehadiran penuh bagi kedua-dua malam ini," ujarnya.
Pada masa sama, Riza berkata, pihaknya bercadang menjadikan "Malam Pesta Ronggeng" sebagai acara berkala.
"Insya-Allah, kami merancang untuk mengadakan acara seperti ini setiap empat bulan sekali di Saloma KL supaya hiburan berkonsep klasik terus mendapat tempat di hati penggemar seni tanah air, Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian dari malam yang tidak akan dilupakan ini!, akhirinya. - KitaReporters.