Dengan penyertaan seramai 1,150 atlet, kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Thailand 2025 bakal menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penyertaan di luar tanah air, sekali gus menimbulkan persoalan besar: Mampukah edisi kali ini mengatasi pencapaian emas Korat 2007?


Acara olahraga khususnya acara pecut 100 meter lelaki sentiasa mendapat perhatian peminat sukan yang ingin tahu siapakah Raja Pecut Asia Tenggara pada Sukan SEA Thailand pada Disember 2025 nanti. - Kredit foto: Sabah post.
Temasya dwitahunan itu akan membuka tirai pada 9 Disember 2025, dengan Malaysia menyertai hampir semua 50 disiplin utama yang dipertanding nanti.
Walaupun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) belum mengumumkan secara rasmi sasaran pingat serta senarai akhir atlet yang terlibat, angka penyertaan yang besar memberi isyarat jelas bahawa negara mahu tampil lebih garang berbanding edisi terdahulu.
Untuk rekod, pada Sukan SEA Korat 2007, kontinjen Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Sri Subhan Kamal meraih 68 pingat emas, 52 perak dan 96 gangsa menjadikan jumlah keseluruhan 216 pingat yang meletakkan Malaysia di tempat kedua keseluruhan di belakang tuan rumah Thailand.
Pencapaian tersebut kekal sebagai pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaan di luar Kuala Lumpur, sekali gus menjadi penanda aras bagi setiap kontinjen selepas itu.


Datuk Pandelela Rinong masih menjadi sandaran negara untuk megutip emas dalam acara terjun di Sukan Sea Thailand 2025 nanti. - Kredit foto: Fuh.my.
Kali ini, kontinjen negara diterajui Nurul Huda Abdullah, bekas jaguh renang era 1980-an, yang dilantik sebagai Chef de Mission (CDM) membawa semangat baharu serta pendekatan seimbang antara pembangunan dan prestasi.
Daripada 1,150 atlet yang akan beraksi, 624 akan bertanding dalam acara individu, manakala 545 lagi dalam acara berpasukan dan lebih separuh daripada jumlah itu iaitu 672 atlet merupakan penampilan sulung pada temasya Sukan SEA.
Penyertaan kali ini bukan sekadar mahu mengejar pingat, tetapi membina asas kukuh untuk jangka panjang.
Namun dalam masa sama, kontinjen kali ini dilihat cukup kompetitif untuk mencabar kedudukan podium keseluruhan.

Bowling merupakan salah satu acara sandaran untuk mendapatkan emas negara memandangkan pasukan bowling negara tidak pernah gagal menyumbang emas dalam temasya Sukan SEA. - Kredit foto: WhatApps Image.
Gabungan pengalaman dan tenaga muda ini menjadi taruhan Malaysia dengan pendekatan dua hala yang diharap dapat mencipta keseimbangan antara keinginan mengekalkan tradisi kemenangan dan membina generasi pelapis.
Malaysia dijangka menumpukan perhatian kepada enam sukan utama penyumbang pingat emas iaitu terjun, badminton, berbasikal trek, boling, pelayaran (sailing) dan wusyu.
Sukan terjun kekal sebagai lubuk emas dengan kehadiran atlet berpengalaman seperti Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, dengan dibantu penerjun muda yang semakin menyerlah.
Mungkinkah boleh mengharap lebih daripada lima pingat emas melalui acara ini?

Acara basikal trek yang memiliki atlet bertaraf dunia sudah pasti mampu membutirkan beberapa pingat emas untuk negara ketika Sukan SEA Thailand nanti. - Kredit foto: Utusan.
Dalam sukan badminton pula, skuad negara yang dibarisi Ng Tze Yong, Goh Jin Wei, dan pasangan beregu lelaki utama, diyakini mampu menyaingi kuasa besar serantau Indonesia dan Thailand.
Sukan berbasikal trek juga dijangka mampu menyumbang sekitar empat emas melalui Shah Firdaus Sahrom, dan pelumba muda Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, yang kini menunjukkan prestasi meningkat di pentas Asia.
Boling tenpin, silat, dan wusyu turut diletakkan sebagai sandaran besar untuk menambah pungutan emas, manakala renang dan pelayaran diharap menyumbang kejutan berdasarkan peningkatan prestasi dua tahun kebelakangan.
Dari segi struktur persediaan, sokongan teknikal dan saintifik daripada Institut Sukan Negara (ISN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijangka memainkan peranan penting memastikan atlet kekal pada prestasi optimum.

Sukan perahu layar merupakan antara acara yang mempunyai peluang cerah untuk menyumbangkan pingat emas buat negara. - Kredit foto: Mstar.
Namun saiz kontinjen yang besar juga membawa cabaran logistik, termasuk soal penyelarasan latihan, pemantauan kecergasan, dan kesediaan mental menjelang temasya yang bakal berlangsung di pelbagai lokasi di Thailand.
Pada masa sama, kita juga perlu pastikan pengurusan kontinjen seiring dengan kekuatan atlet di lapangan. Saiz besar memberi potensi pingat lebih tinggi, tetapi perlu disokong dengan perancangan yang tersusun.
Menariknya, kontinjen kali ini turut menampilkan atlet termuda berusia sembilan tahun dalam sukan catur, serta atlet tertua berumur 64 tahun dalam acara menembak yang secara tidak langsung memperlihat kepelbagaian dan semangat luar biasa dalam pasukan negara kali ini.
Dengan kekuatan jumlah, keseimbangan pengalaman dan pelapis muda, serta fokus ke arah acara tumpuan, Malaysia diyakini mempunyai potensi mengatasi rekod 68 emas dan 216 pingat keseluruhan di Korat 2007/
Namun segala-galanya bergantung kepada keberkesanan strategi di lapangan dan semangat juang atlet di bumi Gajah Putih pada Disember 2025 nanti. - KitarReporters

Acara perasmian Sukan SEA Korat 2007 yang penuh gemilang di mana pencapaian terbaik negara dalam penyertaan di luar Kuala lumpur semasa Sukan SEA 2007 ini masih kekal selama 18 tahun ketika ini. - Kredit foto: Myblog.com.