Seni & Sukan 22 Nov, 2024

Kena peka, jangan lewa! Perlu urus aktiviti rafting arus deras ikut SOP! Bagi elak tragedi berulang!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Gambar hiasan... Aktiviti 'rafting' arus deras sering menjadi pilihan pelbagai pihak yang mengadakan program 'team building' dan sebagainya.


PAKAR rekreasi luar yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata  tragedi di Sungai Jahang, Gopeng yang meragut nyawa tiga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah menjadi bukti jelas betapa bahayanya situasi berkenaan jika risiko tidak diurus dengan baik.

Insiden tragis berkenaan berlaku pada satu program 'team building' membabitkan aktiviti 'rafting' arus deras pada 15 November 2024. 


 

Prof Md Amin Md Taff


Sungai yang menjadi lokasi insiden itu bukanlah dilanda kepala air sebagaimana yang disangka, tetapi peningkatan taburan hujan yang luar biasa pada bulan November 2024 menjadikan aliran air lebih ganas dan mencabar.

Justeru, menurut beliau, aktiviti yang bertujuan untuk merapatkan hubungan sesama manusia akhirnya bertukar menjadi pengalaman tragedi yang penuh kesedihan dan kehilangan.

Insiden itu, katanya, bukanlah yang pertama pernah berlaku, malah sepatutnya menjadi iktibar kepada semua pihak penyedia perkhidmatan, penganjur program serta pihak berkuasa bahawa keselamatan harus menjadi keutamaan bagi mengelak nyawa peserta terkorban.


Aktiviti 'water rafting' yang dikendalikan oleh Pusat Kokurikulum UPSI. 


Beliau yang pernah mewakili negara dalam acara kayak, berkata sememangnya 'rafting' arus deras semakin mendapat tempat sebagai salah satu tarikan utama dalam industri ekopelancongan Malaysia.

“Sukan rekreasi ini menawarkan pengalaman unik bagi pencinta alam dan penggemar cabaran, malah berperanan sebagai medium pembinaan diri dan pengukuhan kerjasama dalam kalangan peserta tetapi sepatutnya tidak membahayakan nyawa.

‘Bagaimanapun kebelakangan ini jumlah kemalangan membabitkan aktiviti rafting arus deras semakin meningkat, mendedahkan kelemahan ketara dalam pengurusan risiko. 

“Kegagalan menilai keadaan semasa seperti cuaca, arus sungai dan kemampuan peserta seringkali menjadi punca utama kepada kejadian tragis. 

"Selain itu, kecuaian sesetengah penyedia perkhidmatan yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) turut menyumbang kepada risiko ini,” ujarnya.

Tambah beliau, jika situasi itu dibiarkan, ia bukan sahaja menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan eko, tetapi juga akan meninggalkan kesan trauma yang berpanjangan kepada peserta dan keluarga mangsa. 


Prof Mazuki Mohd Yasim


Sementara itu Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Prof Madya Mazuki Mohd Yasim, berkata penyedia perkhidmatan rafting arus deras memikul tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan peserta, malah kejadian malang di Gopeng mungkin dapat dielakkan jika beberapa langkah asas dipatuhi.

Menurut beliau, aspek penyelenggaraan peralatan seperti 'life jacket', 'helmet' dan 'raft' perlu memenuhi piawaian keselamatan tertentu, malah pemeriksaan dan penyelenggaraan berkala wajib dilakukan untuk memastikan peralatan berada dalam keadaan baik.

Penyedia juga, katanya, mesti peka dan menjadikan ramalan kaji cuaca dan taburan hujan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia sebagai panduan wajib sebelum memulakan aktiviti seperti tanda-tanda hujan lebat atau peningkatan paras air.

Selain itu, katanya, jurupandu perlu melalui latihan yang merangkumi kemahiran mengendalikan 'raft', bantuan kecemasan (first aid), pengurusan risiko dan kemahiran membuat keputusan serta pertimbangan yang tepat.

Jelasnya, penyedia perkhidmatan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan, termasuk menghadkan jumlah peserta, memastikan mereka memahami risiko selain memberi taklimat keselamatan sebelum aktiviti bermula.


Langkah dan ciri-ciri keselamatan amat perlu dititikberatkan dalam aktiviti 'rafting'.


Beliau berpendapat kerajaan perlu mewujudkan sebuah badan pentadbir yang bertanggungjawab mengawal selia aktiviti 'rafting' arus deras di negara ini dan memastikan setiap penyedia perkhidmatan mematuhi standard keselamatan bagi memastikan hanya jurupandu dan penyedia perkhidmatan yang kompeten dibenarkan beroperasi, selain membantu membina keyakinan pelancong terhadap keselamatan aktiviti lasak berkenaan.

Gopeng, terkenal dengan pelbagai produk pelancongan lasak, kejadian seperti itu boleh menjejaskan kepercayaan pelancong untuk kembali dan mungkin mencari destinasi lain yang lebih selamat.

Dengan pendekatan yang sistematik dan bertanggungjawab, industri itu bukan sahaja boleh terus berkembang, tetapi juga menjadi contoh kepada pengurusan pelancongan eko yang selamat dan berkualiti. Keselamatan pelancong bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi. 


Gambar hiasan... Sungai Jahang, Gopeng turut menjadi tumpuan pengunjung untuk berkelah dan melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama-sama keluarga. 


UPSI, tambahnya, melalui Adventure Leadership and Outdoor Recreation Academy (AURORA) bersedia untuk membantu kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi merealisasikan penstrukturan semula kawal selia berkaitan pengurusan 'rafting' arus deras di Gopeng.

“Akademi ini berperanan dalam menyediakan khidmat nasihat, penyelidikan serta latihan profesional bagi memastikan pelaksanaan kawal selia yang lebih sistematik, selamat dan mampan.

“Dengan kepakaran dalam bidang kepimpinan pengembaraan serta rekreasi luar, akademi ini dapat menjadi rakan strategik dalam membangunkan garis panduan, modul latihan dan piawaian keselamatan baharu yang sesuai dengan keperluan semasa.

“Usaha ini tidak hanya menyokong matlamat kerajaan dan PBT dalam meningkatkan kawal selia aktiviti rekreasi, tetapi turut memperkasa masyarakat untuk menikmati manfaat pelancongan eko secara bertanggungjawab dan lestari,” terang beliau. - KitaReporters


Gambar hiasan... Gopeng semakin mendapat perhatian ramai khususnya mereka yang ingin beriadah bersama-sama ahli keluarga di sungai. 

15
15
0
14
0
You will be interested