Seni & Sukan 14 Dec, 2024

Video| Syabas Diana! Perenang kolam ke laut! Baru mula cuba, terus juara! Akuatlon Kuala Langat 2024!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

/


MEMANG tidak disangka-sangka. Seperti pepatah lama Melayu, siapa sangka cempedak boleh menjadi nangka!

Hanya pada percubaan kali pertama, Diana Qistina Redza sudah mampu menakluki arena Akuatlon Kuala Langat 2024 di Pantai Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor tanggal 1 Disember 2024 lalu.

Bekas perenang wanita Selangor ini mencatat sejam 18 minit 44 saat untuk memenangi perlumbaan sukan gabungan renang perairan terbuka 1.5 kilometer dan berlari 10 kilometer itu kategori Jarak Olimpik bagi umur 30 hingga 39 tahun.

Malah Diana mulanya hanya mahu menguji tahap kecergasannya dan tidak menyangka pula akan mampu berdiri di podium utama perlumbaan anjuran anjuran bersama XS Elite Performance dan AMMJB Swimmers ini.


DIANA Qistina Redza di podium nombor 1 selaku juara kategori Jarak Olimpik (Wanita) Akuatlon Kuala Langat 2024 sambil diapit oleh Lee Sing Chee (2) dan Siti Hanisah Linggi, manakala Toto Ong (kiri) dan Ketua Pengarah XS Elite Performance, Nor Aznan. - Kredit foto: AKS


"Inilah juga kali pertama saya berenang di laut. Saya pernah menjalani latihan simulasi tetapi itu sudah dilakukan bertahun-tahun lalu.

“Saya pernah berenang untuk pasukan negeri Selangor (renang akuatik) tetapi itu pun semasa saya masih belajar,” kata kakitangan sebuah firma kewangan ini dalam satu siaran media.

Akui Diana juga, berenang di laut sangat berbeza dengan renang di kolam akuatik, sekali gus mendorongnya lebih bertumpu kepada cabang larian dan mahu menyertai perlumbaan maraton penuh, satu hari nanti.

"Saya langsung tidak menjangka menang," katanya yang mengatasi naib juara, Lee Sing Chee (kategori 18-29 tahun) dengan catatan 1:39.42s dan pemenang tempat ketiga, Siti Hanisah Linggi (30-39) yang mencatat 1:48.45s.


 

YAP Qi Yi megah di podium nombor 1 selaku juara kategori Jarak Olimpik (Lelaki) Akuatlon Kuala Langat 2024 sambil diapit oleh Mohamad Khairil Azhar dan Harith Aiman Adha. - Kredit foto: AKL


Kategori lelaki Akuatlon Kuala Langat 2024 pula menyaksikan Yap Qi Yi mempertahan gelarannya dengan catatan 1:00.18s diikuti naib juara, Mohamad Khairil Azhar (1:00.53s)dan Harith Aiman Adha (1:03.37s).

Ulas remaja anak jati Klang, Selangor ini: “Saya gembira dapat mempertahankan gelaran. Walaupun sukar terutama cabang larian, saya tetap berjaya mengatasinya.

"Harapan saya adalah untuk layak ke Sukan SEA Thailand (Disember 2025). Jika jadual mengizinkan, saya juga mahu mencuba acara triatlon dan duatlon," kata QiYi, 18.


TOTO Ong (memegang Jalur Gemilang) dan Nor Aznan (dua dari kiri) membunyikan hon sebagai pelepasan para atlet Akuatlon Kuala Langat 2024 di Pantai Tanjung Sepat, Kuala Langat. - Kredit foto: AKL


Kata Pengarah Perlumbaan XS Elite Performance, Toto Ong, Akuatlon Kuala Langat 2024 mendapat sambutan yang luar biasa apabila berjaya menarik penyertaan 450 atlet.

"Akuatlon Kuala Langat mahu memupuk gaya hidup sihat dan meningkatkan taraf sukan negara. Cuaca yang baik dan penyertaan kategori remaja 7 hingga 15 tahun juga memberikan harapan masa depan sukan ini di Malaysia," kata Toto.

Akuatlon Kuala Langat 2024 selain sebagai pentas perlumbaan, turut merupakan sebuah acara kekeluargaan yang berwarna-warni dan tepat untuk para peserta dan penyokong meluangkan masa hujung minggu bersama.

Acara ini juga katanya, berjaya menyatukan komuniti melalui sukan dan rekreasi apatah lagi diselang-selikan larian ria demi menyemarakkan suasana pesta selain mempromosi aktiviti pelancongan berasaskan sukan. - KitaReporters


PARA peserta memulakan Akuatlon Kuala Langat 2024 dengan berenang di laut sejauh 1.5 kilometer. - Kredit foto: AKL


KEPUTUSAN KATEGORI LAIN:

LELAKI

Jarak Pecut - 1. Nicholas Buckley 41:51s, 2. Gary John Slade 44:30s, 3. Lee Weng Khong 44:33s

WANITA

Jarak Pecut - 1. Darin Athira Mohammed Azzath 43:01s, 2. Carmen See Thoo 51:32s, 3. Lim Lumae 59:56s


SEORANG peserta Akuatlon Kuala Langat 2024 menamatkan cabaran 'dwisukan darat dan laut' ini dengan larian seperti maraton 10km. - Kredit foto: AKL 

18
12
0
7
0
You will be interested