Seni & Sukan 06 Aug, 2024

Hebat PSSGM Gelanggang Tok Janggut SK Rantau Panjang! Juara Kejohanan Festival Gegar Pendekar Muda!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Iznan Shahme Ab kadir (tengah) bersama-sama pesilat pasukan elit SKRP yang mengharumkan nama sekolah.


HEBAT dan cemerlang Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM), Gelanggang Tok Janggut, Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, Selangor, apabila berjaya merangkul tiga pingat emas dan masing-masing satu perak dan gangsa pada Kejohanan Festival Gegar Pendekar Muda 2024 yang berlangsung di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Selangor, pada 26 hingga 28 Julai 2024.

Kejayaan itu hasil penyertaan pasukan elit silat SKRP menyertai kejohanan berkenaan sehingga melayakkan pasukan silat terbabit untuk dinobatkan sebagai johan keseluruhan kategori kanak-kanak dan membawa pulang tropi berserta wang tunai RM300. 

Gurulatih PSSGM Gelanggang Tok Janggut SKRP, Iznan Shahme Ab Kadir, berkata kejayaan itu dicapai hasil latihan keras, semangat kental dan sokongan semua pihak khusus warga sekolah dan ibu bapa yang mahukan pasukan silat berkenaan gah dalam kejohanan disertai.


Hazi Kadir (belakang, tengah) bersama-sama pasukan elit silat SKRP yang muncul johan pada Kejohanan Festival Gegar Pendekar Muda 2024.


Menurutnya, dia dengan dibantu beberapa guru serta kerjasama padu daripada Guru Besar SKRP, Hazi Kadir yang sentiasa memantau latihan dijalankan membawa kejayaan amat memberangsangkan serta membanggakan semua warga SKRP dan ibu bapa.

Tambahnya, pesilat SKRP pula rajin turun ke gelanggang selepas waktu persekolahan untuk memantapkan tektikal persilatan supaya skil atau kemahiran setiap langkah dan pergerakan tepat yang akan menjadi daya tarikan serta memberi kelebihan dalam penilaian markah.

“Alhamdulillah berkat doa warga sekolah, ibu bapa dan semua anak gayong Gelanggang Tok Janggut SKRP pasukan elit ini berjaya membawa pulang imbuhan kejayaan yang terbaik.

“Selain berjaya dinobatkan sebagai johan kumpulan salah seorang pesilat SKRP yang menunjukkan persembahan cemerlang, Sayed Mohd Aqil dinobatkan sebagai pesilat terbaik karnival ini,” ujarnya.


Sayed Mohd Aqil dinobat pesilat terbaik karnival.


Sementara Hazi pula berkata, beliau menganggap kejayaan itu sebagai satu pencapaian terbaik dalam kemenjadian murid dan mampu menjadi contoh kepada murid lain terutama yang mewakili sekolah dalam pelbagai acara sukan dan sebagainya.

“SRKP mahukan muridnya bukan sahaja setakat cemerlang dalam pelajaran semata-mata malah menjadi insan seimbang dunia akhirat serta berupaya mempertahankan budaya bangsa dalam ilmu pertahanan diri kerana ia berupaya menjaga maruah diri, agama dan bangsa,” katanya lagi. - KitaReporters


Iznan Shahme bersama dua pesilat pasukan elit SKRP.

29
8
0
15
1
You will be interested