.
Bergelar ‘ibu tunggal’ bukan penghalang untuk terus menyepi apatah lagi jika menjadi kecaman dan perhatian netizen, lebih-lebih lagi bagi seorang selebriti seperti Nur Fazura Sharifuddin, 41, setelah mahligai yang dibina selama 7 tahun bersama Fattah Amin, 34, berkecai apabila sah bercerai pada 7 Oktober 2024.
Terkini, Fazura bangkit dengan semangat baharu sebagaimana lapornya terdahulu bahawa perceraian yang diperoleh adalah satu pengakhiran dan permulaan untuk segalanya.
Dan lahirnya lagu single duetnya bersama bekas anggota kumpulan Dolla iaitu Syasya Rizal berjudul ‘Raya Pum Pang’ membuktikan kata-katanya untuk berjuang demi kebahagiannya dan anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya, 5 tahun.
Tidak syak lagi pertaruhannya melalui ‘Raya Pum Pang’ memperlihat kebahagian yang dikecapinya kini dan ironinya di sebalik lagu ini ia seolah membangkitkan mesej penuh makna agar netizen usahlah lagi bergosip sewaktu menyambut raya.
Cukup cukuplah ya tak Fazura? Yang lepas jadikan ‘sempadan’ bak kata orang putih ‘Life Must Go On… Move On…”

"Saya sangat teruja dan bersyukur diberikan peluang untuk bekerjasama buat pertama kali dengan beberapa individu berbakat dalam single raya ini. Ini adalah pengalaman baharu buat saya dengan persekitaran kerja yang berbeza,” ujar Fazura atau lebih mesra disapa Faz ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Pum Pang Bersama Fazura dan Syasya sekali gus bertemu peminatnya bagi promosi lagu ‘Raya Pum Pang’ di pusat beli-belah Sunway Putra baru-baru ini,
Selepas berbuka bersama media dan segelintir peminat bertuah, Faz dan Syasya menghiburkan pengunjung dengan lagu raya mereka, ‘Raya Pum Pang’ dan ternyata mendapat sambutan hangat apatah lagi lagu tersebut telah mendapat lebih 1 juta tontonan sebaik ia dilancarkan dalam laman YouTube Universal Music pada 7 Mac lalu.
Diterbitkan dengan kerjasama Faithful Music dam Fazura Studios, ‘Raya Pum Pang’ menggabungkan melodi rancak di sebalik mesej penuh makna mengenai kebersamaan dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri.
Hasil ciptaan Mage, Ja’a, Glowrush dan Nick Ariff, lagu tersebut disifatkan Faz sebagai satu keistimewaan bagi dirinya yang buat pertama kalinya juga berduet dengan artis wanita.
“Memang ia cukup istimewa, lebijh-lebih lagi ia adalah buah tangan khas untuk Aidilfitri. Tidak kira sama ada perayaan itu kecil atau besar, yang paling penting ialah menghargai detik-detik bersama insan tersayang,” tambah Fazura.
Beliau berharap peminat dapat menikmati lagu dan video muzik ‘Raya Pum Pang’ selain menjadikan ia sebagai sebahagian daripada kemeriahan perayaan mereka.

Dalam perkembangan lain, Fazura menjangkakan tahun ini (2025) adalah tahun yang sibuk dengan pelbagai komitmen dalam bidang perniagaan, lakonan dan muzik.
“Tahun ini akan menjadi tahun yang sibuk kerana saya banyak memberi fokus kepada kerjaya dalam perniagaan, lakonan, dan juga muzik bersama pasukan saya yang sangat menyokong dan berkongsi visi serta nilai yang sama untuk terus maju ke hadapan,” akhirinya sebelum bergambar dengan peminat yang membeli produk jualannya di butik beliau,
Pada majlis sama, Faz mengedarkan baucer bernilai RM50 kepada peminatnya di mana mereka berpeluang mendapatkan potongan harga tersebut dengan pembelian minimum RM100, yang mana Kak Fas yang turut berpangkalkan huruf F pada nama tidak terkecuali membelinya.

Sementara itu, berkongsi mengenai kerjasama dengan Fazura, Syasya, 24, menyifatkan Faz seorang yang penyayang dan kelakar.
“Saya suka Kak Faz. Dia sangat penyayang dan dalam masa yang sama sangat kelakar. Walaupun penggambaran dah selesai, kami masih saling berhubung.
"Pada awalnya, saya risau kalau kami tidak serasi, tetapi ternyata ‘vibes’ kami memang kena sangat. Dia macam seorang kakak yang sangat kelakar dan penyayang,” ujar pemilik bernama penuh, Nursyasya Afiqah Shahrizal.
Bagi Syasya, penggambaran video muzik ‘Raya Pum Pang’ memberi pengalaman yang berbeza kerana buat pertama kali, dia perlu mengawasi bayi tunggalnya, Muhammad Yassir Hayyan, 3 bulan.
“Pengalaman menjalani penggambaran video muzik lagu ini memang sangat berbeza. Sebelum ini saya fokus untuk nampak cantik depan kamera seorang diri, tapi sekarang ada si kecil yang perlu saya pantau juga.

"Yassir sangat ‘friendly’ dan suka mendengar bunyi bising, jadi dia sangat ‘enjoy’ sepanjang sesi penggambaran. Satu pengalaman yang sangat berharga buat saya dan juga Yassir sendiri,” cerita Syasya yang baharu setahun jagung bergelar isteri pada 20 April 2024.
Seperti Faz, Syasya juga tidak terlepas daripada ditimpa gosip namun lebih teruk lagi apabila didakwa hamil sebelum mendirikan rumah tangga dengan Nasrullah Mohd Sapie pada 20 April 2024. Beliau melahirkan Yassir pada 23 Disember 2024.
Apa pun, itu adalah asam garam yang perlu dihadapi apabila bergelar selebriti, yang penting raya ini harus ‘happy happy’ ya tak sambil mendengar pesanan daripada Faz mahu pun Syasya yang berkata, ’ingat ingat jangan sampai membawa fitnah…” secebis bait lirik lagu ‘Raya Pum Pang’. - KitaReporters
