Seni & Sukan 18 Feb, 2025

Gajah Putih ke Bihar! Buru Piala Dunia keduanya! Thawisak, Seksan dipertaruhkan! Rimau Rejam menanti!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 dan Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this


THAWISAK Thongsai (24) dan Seksan Tubtong (29) antara yang diutuskan TAT bagi menambah koleksi gelaran dunia Thailand di Bihar. 


THAILAND ternyata memandang serius Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2025 di Stadium Tertutup Patliputra, Kankarbagh Patna-Bihar, India dari 20 hingga 25 Mac 2025 ini.

Setelah kali akhir menyertai dan menjuarai Terbuka China Kerjasama Lancang-Mekong di Nanning pada 27 Oktober 2024 lalu, Si Gajah Putih terus teruja untuk kembali ke arena antarabangsa dengan barisan handalannya.   

Kali ini Kritsanapong Nontakote, Pornthep Tinbangbon, Thawisak Thongsai, Phutawan Sopa, Rachan Viphan dan Seksan Tubtong diutuskan ke Bihar bagi melebarkan koleksi Piala Dunianya selepas membawa pulang Piala Dunia Sepak Takraw Istaf (berpasukan) di Kuala Lumpur tanggal 26 Mei 2024 lalu.

Kecuali Phutawan, kelima-limanya adalah antara tonggak mereka kendalian Supot Tumpracha dan Prawet Intra yang turut mempertahan Piala Raja Thailand dalam Kejohanan Dunia di Korat pada 8 September 2024 lalu.

Kedua-dua kejuaraan itu dirangkul setelah menewaskan musuh tradisi, Malaysia 2-1 (15-9, 11-15, 13-15), (15-8, 15-5), (15-12, 15-12) di Kuala Lumpur dan 2-0 (4-15, 15-3, 15-11), (15-13, 15-9) di Korat.

Hanya acara beregu dan kuadran (berempat) yang dipertanding pada Piala Dunia di Bihar khususnya bagi negara-negara kuasa utama sepak takraw atau Divisyen Perdana (lelaki) manakala kuadran (wajib), regu dan beregu (pilihan) untuk wanita.


KUADRAN dimainkan empat lawan empat dengan servisnya dari luar garisan belakang gelanggang serta mampu mengalakkan permainan rali yang lebih berdaya saing kerana rejaman tidak mudah dimatikan. 


Senarai nama pemain yang dikeluarkan Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) pada 14 Februari 2024 lalu ini turut dijangka mengutamakan gandingan Thawisak dan Seksan bagi beregu dengan Phutawan sebagai simpanan.

Acara ini tanpa apit kanan dan kiri mahupun tekong serta hanya memerlukan seorang perejam dan seorang pengumpan malah pemain simpanannya sudah pasti perejam.  

Selebihnya mereka akan diturunkan bagi kuadran dengan kedua-dua acara ini tidak menetapkan pemain tertentu sebagai tekong bagi menjalankan servis di kawasan bulatan, sebaliknya sepak mula itu dilakukan dari luar garisan belakang gelanggang. 


PUCUK pimpinan TAT (dari kiri), Naib Presiden - Boonchai Lorhpipat, Presiden - Thana Chaiprasit dan Setiausaha Agung - Suprasak Arirachakaran. - Kredit foto: TAT 


Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) memberikan tauliah Piala Dunia kepada tuan rumah, Persekutuan Sepak Takraw India (STFI) setelah kali akhir diadakan di Stadium Gachibowli, Hyderabad, Telangana pada 2017.

Hanya Kritsanapong dan Rachan yang pernah beraksi dan membantu negaranya menjulang Piala Dunia juga setelah menewaskan Malaysia 21-19, 23-21 di Hyderabad dan kali ini mereka masih dipertaruh ke Bihar.

Thailand juga seperti Malaysia, menjadikan aksi di Bihar sebagai pemanas badan menjelang tugasan lebih berprestij -- Piala Sepak Takraw Asia Astaf Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa dari 10 hingga 18 Mei ini.

Selain tuan rumah India yang juga juara Asia Selatan, Malaysia dan Thailand, Piala Dunia Bihar bakal menyaksikan kehadiran Jepun, Myanmar, Iran, Vietnam, Brunei dan Indonesia bagi Divisyen Perdana.

Sri Lanka, Bangladesh, Pakistan, Nepal, Brazil, Perancis, Amerika Syarikat, Poland, New Zealand dan Switzerland pula akan beraksi bagi Divisyen Satu iaitu negara-negara yang baru membangun dalam sukan tradisi ciptaan bangsa Melayu ini.  


KRITSANAPONG Nontakote (jersi merah) turut mampu merejam apabila keadaan mendesak sekalipun dengan peranan utamanya selaku tekong. 


Piala Dunia di Bihar turut menjadi kejohanan  antarabangsa pertama yang akan menggunakan pindaan undang-undang permainan bagi bantahan video berkaitan servis tekong, bola masuk atau keluar, dan rejaman atau adangan di jaring.

Di bawah pindaan ini, setiap pasukan akan kekal dengan dua kali bantahan berkenaan dalam setiap set sekiranya berjaya pada giliran percubaan pertama, manakala yang gagal, bakal berkurangan gilirannya. 

Pindaan bantahan video ini disyorkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) ketika mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengelola Piala Sepak Takraw Asia Astaf KL pada 10 dan 11 Februari 2025 lalu dan bakal diluluskan Istaf pada awal atau pertengahan Mac 2025 ini. - KitaReporters


BARISAN pemain Thailand ke Piala Dunia Sepak Takraw di Bihar termasuk skuad wanita yang akan menyertai acara kuadran dan regu. - Kredit foto: ST

 

8
14
0
13
0
You will be interested