
HUANG Kai dan Abdul Halim Kader (empat dan lima dari kiri) saling menunjukkan cenderamata sepak takraw dengan para pengurus dan jurulatih negara yang diundang ke Kejohanan Jemputan Sepak Takraw China-ASEAN 2025 di Huishui ketika pertemuan 10 Mei 2025 sempena Piala Asia Astaf di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. - Kredit foto: ASTAF
BELUM pun kering keringat tubuh pemain dek Piala Asia Sepak Takraw Astaf Kuala Lumpur yang berakhir 18 Mei 2025 lalu, Malaysia dan Thailand dijangka saling berlibas lagi pada 1 hingga 4 Jun 2025 ini.
‘Hutang’ dan dendam kekalahan masing-masing bagaikan masih perlu ditebus setelah Sang Rimau Rejam hanya meraih gelaran regu dan kuadran sedangkan Si Gajah Putih memenangi trofi beregu dan berpasukan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Gandingan Noraizat Nordin/Aidil Aiman Azwawi turut dihampakan Thailand (Phutawan Sopa/Rachan Viphan) 9-15, 17-15, 15-17 dalam separuh akhir acara beregu Piala Dunia Istaf tanggal 23 Mac 2025 lalu di Kompleks Sukan Patliputra, Kankarbagh, Patna, Bihar, India.
Kali ini dua musuh tradisi sepak takraw itu diundang menyertai Kejohanan Jemputan Sepak Takraw China-ASEAN 2025 di Pusat Kecergasan Kebangsaan, Huishui, Guizhou, China yang hanya mempertanding acara regu dan kuadran (berempat).

AKSI apit kanan China (kiri) ketika berdepan Jepun dalam acara regu Piala Asia Sepak Takraw Astaf di Kuala Lumpur. - Kredit foto: ASTAF
Undangan secara bertulis tersebut diajukan oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw China (CSA), Jiang Shicai menerusi Huang Kai yang juga pengurus pasukan China pada Piala Asia Astaf di Kuala Lumpur.
“Turut diundang tuan rumah China untuk beraksi di Huishui ialah Vietnam, Laos, Myanmar, Filipina dan Kemboja,” kata Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Datuk Abdul Halim Kader.
Selain piala dan pingat, kejohanan yang membabitkan kategori lelaki dan wanita ini menawarkan daya tarikan tambahan iaitu hadiah wang tunai oleh penganjur yang berjumlah AS$40,000 (RM168,138).
“Setiap negara peserta termasuk tuan rumah boleh menghantar enam pemain, seorang jurulatih, seorang pengurus pasukan dan seorang pengadil bertaraf Astaf,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

ABDUL Halim Kader (kanan) dan Huang Kai mengalu-alukan kehadiran tujuh negara Asia Tenggara ke Huishui juga sebagai persediaan menjelang King's Cup dan Sukan SEA 2025. - Kredit foto: ASTAF
CSA berharap menerusi kejohanan ini, dapat menggalakkan pertukaran sukan dan budaya dalam kalangan negara yang diundang dan pembangunan ekonomi serta sosial, ujar Halim.
Sekiranya menyahut undangan ini, Malaysia dan negara jiran serantau Asia Tenggaranya mampu menjadikannya medan pemanas badan terbaik menjelang Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand (King's Cup) Ke-38 di sebuah pusat beli-belah di Hatyai dari 22 hingga 28 Julai 2025.
Mereka juga bakal menghadapi misi kemuncak iaitu Sukan SEA Ke-33 di Gimnasium Pusat Sukan Nakhon Pathom, Thailand dari 7 hingga 19 Disember 2025 yang menawarkan 11 pingat emas bagi kategori lelaki dan wanita serta campuran.
Acara-acaranya ialah berpasukan, regu, kuadran, gelung (hoop) dan chinlone perkaitan. - KitaReporters

AZLAN Alias (jersi kuning) membuat libasan gunting yang mengakali Sutthikiart Panseankaew dalam pertembungan final berpasukan Piala Asia Astaf 2025 antara Malaysia dan Thailand di depan lebih 2,500 hadirin Stadium Titiwangsa, 18 Mei 2025 lalu. - Kredit foto: ST