Seni & Sukan 03 Jul, 2025

Atasi Tajikistan, Palestin! Mimpi indah Harimauwati Malaya! Korea Utara bakal bawa igauan ngeri?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: [email protected]

Share this

 KEDUDUKAN mata Kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 selepas setiap pasukan mengharungi dua perlawanan. - Kredit foto: FAM


HENRIETTA Justine (21) bersama rakan sepasukan Harimauwati Malaya antaranya Farahiyah Muhamad Ridzuan (8) dan Intan Sarah Anisah Zulgafli (15) meraikan golnya terhadap Tajikistan. - Kredit foto: FAM 


BUAT seketika Harimauwati Malaya mampu tidur lena sambil dibuai mimpi indah hasil dua kemenangan berturut-turut 1-0 terhadap Palestin dan Tajikistan pada 29 Jun dan 2 Julai 2025 lalu.

Enam mata daripada perlawanan Kelayakan Piala Asia Wanita AFC 2026 di Stadium Pusat Republik, Dushanbe, Tajikistan itu kini meletakkan mereka di anak tangga kedua Kumpulan H.

Namun igauan ngeri dibelasah teruk kian menggamit tim kendalian Joel Cornelli ini menjelang berdepan Korea Utara selepas pilihan utama kumpulan dan juara Piala Asia Wanita tiga kali ini ganas meratah tuan rumah dan Palestin 10-0.

“Menentang Korea Utara satu perlawanan yang berbeza langsung. Mereka juga pada tahap lain. Kami telah melihat mereka menyumbat 20 gol dalam dua perlawanan,” kata ketua jurulatih Harimauwati Malaya kelahiran Brazil ini.

Ujarnya lagi dalam rakaman audio kiriman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), “kami akan buat sesuatu dengan cuba mengubah corak permainan menjadi lebih bertahan dengan konsisten.  

“Kami tidak akan putus asa walaupun tahu betapa getirnya perlawanan penamat kumpulan ini. Kami masih ada peluang dan mata yang sama (enam dengan Korea Utara), apa sahaja boleh berlaku,” katanya.


INTAN Sarah Anisah Zulgafli (15) berjaya merampas bola daripada kawalan longgar Shamsiya Khuseinova (kanan) untuk menembusi kubu Tajikistan. - Kredit foto: FAM


Joel begitu gembira dengan kemenangan Malaysia, penghuni ranking ke-102 dunia terhadap Tajikistan (ke-155) sehingga menanggalkan bajunya ketika meraikan gol tandukan Henrietta Justine.

Penyerang itu menanduk ke gawang ternganga hasil umpanan lambung Intan Sarah Anisah Zulgafli yang berjaya merampas bola daripada kaki pemain tuan rumah, Shamsiya Khuseinova sebaik sahaja masa kecederaan babak kedua mencecah minit kedua.

Rembatan Farahiyah Muhamad Ridzuan pula menundukkan Palestin (ke-134 dunia) pada minit ke-85 setelah menyudahi umpanan Nur Adrienna Zamzaihiri yang melarikan bola dengan deras dari sebelah kanan.

“Dua kemenangan ini amat penting dalam menguatkan keyakinan para pemain,” kata Joel yang baru mencorakkan gaya ‘Samba’ kepada pasukan sejak menggantikan Soleen Al-Zoubi pada 14 Mei 2025 lalu dengan wanita Jordan itu beralih sebagai Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM.


STEFFI Sarge Kaur Sergeant Singh (10) memimpin kesebelasan utama negara sebelum peranan kaptennya diambil alih Intan Sarah Anisah Zulgafli (15). Penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan (23) turut cemerlang ketika menepis sepakan penalti Palestin. - Kredit foto: FAM


Kata Intan, “babak pertama kami agak bergelut tetapi selagi wisel penamat tidak dibunyikan babak kedua, kami masih ada harapan dan berjuang sehabis baik untuk dapatkan enam mata.  

“Kali pertama saya dapat enam mata dalam Kelayakan Piala Asia, satu pencapaian besar saya.  Saya rasa kita perlu terus beri harapan untuk beri terbaik melawan Korea Utara, perlawanan penghabisan kami (5 Julai 2025 di stadium sama).

“Tiada yang mustahil, kami perlu terus meyakini diri kami sepasukan,” katanya yang menyarung lilit kapten, mengambil alih daripada pemain paling senior, Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh, 37, mulai babak kedua.  


JOEL Cornelli, warga Brazil yang berjaya mengubah gaya permainan menyerang dan sentuhan penyudah skuad wanita negara termasuk ketika menentang Hong Kong dan Bhutan serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam siri perlawanan antarabangsa tahap 1 di Thimphu dan Dubai dari Mei hingga Jun 2025. 


Korea Utara yang juga menduduki ranking kesembilan dunia hanya perlu sekurang-kurangnya seri untuk layak ke pusingan akhir 2026 di Australia sebagai wakil tunggal Kumpulan H dengan kelebihan jaringannya yang terlalu besar.

Juara Piala Asia 2001, 2003 dan 2008 ini juga dikatakan mempunyai ramai tonggak skuad juara Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) Perempuan dan Bawah 20 Tahun (B-20) Wanita di Dominica dan Colombia pada 2024. - KitaReporters


KOREA Utara jelas terlalu gagah buat Tajikistan dan Palestin tetapi mampukah tim Cornelli mengekangnya dengan sekurang-kurangnya kejutan seri 0-0 pukul 1 pagi waktu Malaysia, 6 Julai 2025. - Kredit foto: AFC

10
17
0
15
0
You will be interested