.

Industri hiburan tanah air sekali lagi dikejutkan dengan kejayaan luar biasa syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment yang berjaya mencetuskan fenomena Aidilfitri 2025 melalui tiga buah lagu Raya popular terbitan mereka.
“Meriah Lain Macam” dendangan Hael Husaini dan Nadeera; “Nyam Nyam Ketupat” yang menampilkan kolaborasi Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan Miss Alvy, serta lagu solo Nadeera, “Dam Dim Dum Raya”, telah mengumpulkan lebih 1.7 bilion strim dan tontonan secara kumulatif di platform digital, sekaligus mengukuhkan kedudukan Rocketfuel Entertainment sebagai peneraju dalam penghasilan kandungan muzik yang menarik dan mendapat sambutan hangat.
Pendedahan angka yang dicapai itu dipertontonkan di layar perak kepada para tetamu yang hadir bersama artis-artis Rocketfuel bagi memeriahkan majlis 'Last Kopek Raya Bersama Rocketfuel' bertempat di Rumah Abang Jamil Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lagu “Meriah Lain Macam” terus membuktikan impaknya apabila berjaya merajai pelbagai carta muzik utama di Malaysia dan Brunei, termasuk Carta RIM (Lagu Melayu) yang kini dikenali sebagai Official Malaysia Chart, Billboard Malaysia, YouTube Music Malaysia dan YouTube Music Brunei.
Dengan lebih 16 juta tontonan di YouTube, lagu ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh ini juga berjaya menduduki tangga teratas “trending” dalam platform tersebut selama 33 hari berturut-turut, menggambarkan sambutan luar biasa terhadap lagu yang berkisar tentang kegembiraan persiapan pulang ke kampung untuk menyambut perayaan Aidilfitri.

Hael Husaini meluahkan rasa syukur dan terharunya atas penerimaan yang melangkaui jangkaan terhadap “Meriah Lain Macam”.
Beliau bersama Nadeera pada awalnya hanya berniat untuk menyebarkan kemeriahan dan semangat raya melalui lagu ini, namun sambutan yang diterima amatlah membanggakan.
Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua peminat dan pendengar yang telah menjadikan lagu ini sebagai sebahagian daripada senarai putar wajib mereka pada musim perayaan tahun 2025 ini.

Tidak kurang hebatnya, lagu “Nyam Nyam Ketupat” yang dibawakan oleh Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan Miss Alvy telah dinobatkan sebagai lagu raya paling ceria tahun ini (2025) dan berjaya mencetuskan trend tarian yang tular dalam media sosial.
Melodi yang ceria dan lirik yang menghiburkan lagu ini telah menarik hampir 8 juta tontonan dalam YouTube dan menduduki posisi ketiga dalam carta “Most Streamed Malay Singles In Malaysia”.
Lebih menarik lagi, tarian unik yang diperkenal dalam klip video lagu ini telah menjadi ikutan ramai, termasuk bintang badminton antarabangsa dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris, Victor Axelsen, yang turut menggunakan lagu ini sebagai latar muzik dalam salah satu hantaran TikToknya.
Wani Kayrie turut berkongsi kegembiraannya atas sambutan luar biasa terhadap “Nyam Nyam Ketupat”.
Beliau tidak menyangka kolaborasi bersama rakan-rakan artis dalam menghasilkan lagu yang penuh dengan keceriaan dan semangat raya ini akan mendapat sambutan yang begitu meluas.
Melihat orang ramai berinteraksi dengan lagu ini melalui tarian dan nyanyian dalam media sosial merupakan satu pencapaian yang amat bermakna buat dirinya.
Dalam pada itu Wani Kayrie turut memperdengar lagu baharu yang bakal dikeluarkannya, "Cak Cak Cekuk", sebuah lagu yang mengingkatkan kita pada zaman kanak-kanak apabila ibu bapa bermain buka tutup jejari tangan dengan melagukan 'Cak cekuk udang gamit.., minta kapur bagi kunyit..." gitu...tapi lagu ini setekat 'cak cak cekuk ... je dengan menggabungkan lirik lain.

Nadeera juga membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi solo dengan lagu “Dam Dim Dum Raya” yang telah meraih lebih 800,000 tontonan di YouTube.
Beliau melahirkan rasa syukur atas sokongan yang diberikan terhadap lagu Raya solo pertamanya ini. Meskipun sedar akan persaingan yang sengit dalam dunia lagu-lagu perayaan, penerimaan positif terhadap karyanya ini amatlah dihargai.
Berikutan kejayaan besar projek raya 2025 ini, Rocketfuel Entertainment menegaskan komitmen mereka untuk terus menghasilkan karya-karya berkualiti tinggi dan inovatif bagi menghiburkan para peminat muzik.
Syarikat ini juga menjanjikan pelbagai kejutan menarik lain yang akan diumumkan pada masa terdekat.

Barisan artis-artis dan karyawan Rocketfuel Entertainment yang hadir pada majlis 'Last Kopek Raya'.
Sebagai tambahan kepada kejayaan lagu-lagu raya, Rocketfuel Entertainment turut memenuhi permintaan ramai dengan melancarkan single “Bukan Lagi Kita” versi Anugerah Juara Lagu (AJL39) nyanyian Nadeera, serta lagu “Diam” versi AJL39 oleh Hael Husaini dalam semua platform digital utama bermula, 1 Mei 2025.
Langkah ini dijangka akan terus mengukuhkan lagi kehadiran Rocketfuel Entertainment dalam industri muzik tanah air.

Penulis merakamkan gambar bahagian hadapan rumah yang dinamakan "Rumah Abang Jamil'. Gambar kiri; Wani Kayrie menyampaikan lagu 'Cak Cak Cekuk'

Ruang dalaman dan persekitaran Rumah Abang Jamil yang boleh dihias mengikut kehendak pelanggan.
Sementara itu menghayati persekitaran Rumah Abang Jamil, penulis percaya rumah ini turut memainkan peranan mewarnai lagi tujuan acara.
Bijak rasanya pemilik rumah ini menamakannya 'Rumah Abang Jamil' iaitu nama watak yang dilakonkan oleh Seniman Agung Allahyarham P. Ramlee dalam filem arahannya,'Madu Tiga', sebuah filem komedi romantik hitam putih terbitan 1964 .
Dan apabila ia menjadi pilihan lokasi untuk majlis hiburan sebegini memang impaknya kena dan tepat dengan situasi acara persekitaran. - KitaReporters