Seni & Sukan 14 May, 2025

Semoga Allah cucuri rahmat dan hidayah-Nya! Perginya tiga insan seni pada tarikh sama! 30 April!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

.


TANGGAL 30 April mungkin tarikh biasa yang datang dan pergi setiap tahun. Tetapi dalam dunia seni ia adalah tarikh signifikan melibatkan tiga insan seni, iaitu dua pelakon filem dan seorang penyanyi.

Mereka ialah pelakon Allahyarham Salmah Ibrahim, Allahyarham Julie Dahlan dan penyanyi Allahyarham Kartina Dahari. Kesemua mereka menyahut seruan Ilahi pada tarikh sama 30 April, cuma berlainan tahun.

Salmah Ibrahim, isteri kepada seniman dan pengarah terkenal Nordin Ahmad, lahir di Bukit Tinggi, Sumatera pada 1931. Salmah menghembuskan nafas terakhir pada 30 April 2009 di Singapura dalam usia 78 tahun kerana sakit jantung.

Tahun 2025 juga genap 10 tahun pemergian pelakon dan penerbit filem Junaidah@Julie Dahlan. Lahir pada 1953, Allahyarham meninggal dunia pada hari Jumaat mulia 30 April 2015 pada usia 62 tahun di Hospital Ampang, Selangor, akibat sakit buah pinggang dan kencing manis.

Penyanyi popular Kartina Dahari pula sudah 11 tahun pergi ke alam abadi. Allahyarham yang lahir di Geylang, Singapura pada 1941 meninggal dunia di rumahnya di Singapura pada 30 April 2014 pada usia 73 tahun akibat barah payu dara.

Ketentuan Allah dua pelakon dan seorang penyanyi terkenal, ramai peminat di Malaysia dan Singapura, meninggal pada tanggal sama, cuma berlainan tahun.


Pelakon Salmah Ibrahim meninggal dunia di Singapura pada 30 April 2009 dalam usia 78 tahun kerana sakit jantung.


Penyanyi Kartina Dahari meninggal dunia di Singapura pada 30 April 2014 kerana barah payu dara.


Pelakon dan penerbit filem Julie Dahlan meninggal dunia pada 30 April 2015 di Ampang kerana kencing manis dan komplikasi buah pinggang.

Salmah Ibrahim ialah pelakon di Studio Cathay, Keris, East Coast Road, Singapura. Ketika itu Cathay Keris ialah saingan kepada Shaw’s Malay Film Productions (MFP) di Jalan Ampas Singapura.

Salmah juga ialah isteri pelakon dan pengarah hebat Nordin Ahmad, yang juga artis naungan Cathay Keris. Dalam kebanyakan filem terbitan studio tersebut Nordin sering memegang peranan hero.

Allahyarham sering berpasangan dengan Latifah Omar, seperti dalam filem ‘Hang Jebat’, ‘Gurindam Jiwa’, ‘Lanchang Kuning’, ‘Chuchu Datuk Merah’ dan ‘Laila Majnun’.

Juga dengan Maria Menado dalam ‘Sultan Mahmud Mangkat di Julang’, ‘Siti Zubaidah’ dan ‘Tun Fatimah’ yang turut menampilkan Roseyatimah.

Dalam filem ‘Dang Anom’, Nordin berpasangan dengan dengan Fatimah Ahmad dan Rosyetimah. Juga dengan Roseyatimah dalam ‘Hutang Darah DiBayar Darah’.

Nordin yang lahir di Pulau Pinang pada 4 Ogos 1929 meninggal pada 15 Jun 1971 di Singapura, dalam usia 41 tahun akibat demam kuning.


Pasangan bahagia pelakon dan pengarah Nordin Ahmad serta Salmah Ibrahim.  


Sepanjang terbabit dalam filem sejak 1951, isterinya Salmah Ibrahim membintangi banyak filem. Antaranya ‘Takdir Ilahi’, ‘Sedarah’, ‘Nilam’, ‘Sejoli’, ‘Yatim Mustapha’, ‘Permata di Perlimbahan’, ‘Hati Iblis’ dan ‘Juwita’ Salmah sering membawa watak jahat.  

Allahyarham Salmah juga aktif sebagai penari, selain giat dalam muzik selaku pemain dram Kumpulan Seni Wanita.

Allahyarham meninggalkan anak, Asmah, Norman Shah dan Asnor. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bedok, Singapura.


Salmah Ibrahim (kiri) dalam satu adegan filem 'Sejoli' keluaran tahun 1951.


Julie Dahlan ialah pelakon yang kemudian menubuhkan syarikat perfileman JD Productions. Antara filem lakonan Julie ialah ‘Si Badol’, ‘Idola’, ‘Cicakman 2 Planet Hitam’, ‘Detik 12 Malam’, ‘Penyamun Tarbus’, ‘Dendang Perantau’ dan ‘Si Jantung Hati’.

Allahyarham merupakan penerbit filem wanita disegani di Malaysia. Julie bertanggungjawab membawa beberapa nama ke layar perak hingga jadi terkenal, termasuk Nasha Aziz, Ziela Jalil, Sofia Jane, Eizlan Yusof dan Hairie Othman.


Julie Dahlan dan AR Badul dalam satu adegan filem 'Si Badul' keluaran Sabah Film Productions tahun 1979.


Filem 'Kad Cinta' keluaran JD Productions tahun 1995, diarahkan sendiri oleh pemilik syarikat, Julie Dahlan.


Melalui beberapa filem terbitan syarikatnya, Julie berjaya mencipta nama apabila filem keluarannya mendapat sambutan hangat di pawagam. Antaranya ialah ‘Wira Angkasa’, ‘Harry Boy’, ‘Driving School’, ‘Cinta Metropolitan’ dan ‘Kad Cinta’ yang mana Julie sendiri bertindak sebagai pengarah.

Allahyarham disifatkan sebagai ‘Iron Lady’ dalam industri filem dan seni hiburan tanah air kerana sikap dan pendiriannya yang sentiasa tegas dalam memajukan filem tempatan.

Julie menghidap tekanan darah tingi, kencing manis dan masalah buah pinggang tahap serius sehingga perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Julie meninggal di Hospital Ampang. Allahyarham meninggalkan tiga orang anak, Nur Haslinsa Zainuddin, Hairi Harmi dan Hanny Harmi. Jenazah Julie dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate, Hulu Kelang, Selangor.


Kartina Dahari mendapat gelaran 'Ratu Keroncong' kerana kehebatannya membawakan lagu-lagu berirama keroncong.


Kartina Dahari ialah penyanyi pujaan ramai di Singapura dan Malaysia. Kerana kehebatannya menyanyikan lagu keroncong, Allahyarham mendapat jolokan ‘Ratu Keroncong’.

Lagu keroncong ‘Sayang Disayang’ nyanyiannya tetap malar segar. Lagu dicipta oleh Zubir Said, pencipta lagu kebangsaan Singapura, ‘Majulah Singapura’. Album keroncong Kartina termasuk ‘Keroncong Rindu’, ‘Tina Bersama Dendang Perindu’ dan ‘Memori Hit’. Dendang Perindu ialah band pengiring dalam persembahan pentas dan rakaman.

Allahyarham mencipta rekod sebagai penyanyi Melayu pertama merakam lagu berbahasa Inggeris di Singapura. Keseluruhannya Allahyarham menghasilkan empat album EP, dua album LP dan empat singles lagu Inggeris.

Lagu duetnya ‘Budi Setahun Segunung Intan’ bersama Allahyarham Ahmad Jais tetap segar diminati hingga kini. Mereka mendengkan lagu ini dalam ‘cameo appearance’ filem ‘Aksi Kuching’ (1966) arahan Omar Rojik. Lagu ini ciptaan Kassim Masdor, lirik Omar Rojik.

Kartina pernah menerima anugerah Perdana Emas pada 2009 daripada Presiden Singapura, S.R. Nathan. Juga Anugerah Artis Gemilang daripada Persatuan Penggubah dan Karyawan Singapura pada 2010. Kartina mencatat rekod sebagai penghibur pertama disenarai dalam Singapore Women’s Hall of Fame.



Kemunculan terakhir Kartina di khalayak ialah di Esplanade, Singapura pada 2013. Allahyarham tampil di pentas menzahirkan penghargaan terhadap sokongan peminat  sepanjang karier. Kemunculan dibuat pada akhir konsert penghargaan oleh rakan-rakan artis kepadanya.

Kartina meninggalkan anak, Shah Reza, Adlin Adnan dan Noor Indera. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Lim Chu Kang, Singapura.

Salmah, Julie Dahlan dan Kartina Dahari telah lama pergi. Namun nama mereka tetap diingati, legasi seni yang ditinggalkan tetap jadi kenangan abadi. Semoga Allah cucuri rahmat dan ampuni dosa mereka. - KitaReporters

13
10
0
10
0
You will be interested