KENYATAAN Pemangku Sultan Johor, Tengku Mahkota, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Seri Pahang FC (SPFC) tidak akan beraksi dalam Liga Malaysia musim depan memeranjatkan penyokong kedua-dua pasukan.
Ia muncul
ketika KDA FC kelihatan sedang berusaha keras untuk mengatasi kemelut yang
melanda pasukan itu terutama berhubung isu tunggakan gaji.
Pahang pula sedang gigih mempersiapkan pasukan menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) FC untuk perlawanan akhir Piala Malaysia pada April ini.
Perkara itu didedahkan oleh Tunku Ismail dalam satu sesi soal jawab bersama penyokong JDT pada Rabu, 12 Mac 2025.
KDA FC mengalami kekalahan kepada Kuching FC.
“Saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada sahabat saya, bapa saudara saya, Tengku Muda, dan juga kepada pasukan legenda yang penuh sejarah, Sri Pahang kerana musim depan mereka tiada lagi... bubar terus.
“Sebab ada masalah dalam Pahang. Jadi, ini adalah berita yang sangat sedih. Macam Kedah, mereka juga pasukan bersejarah, tetapi musim depan tiada dalam liga,
“Masalahnya ialah salah siapa? Ini semua kerana pengurusan dana yang tidak teratur... apabila ada RM10 juta, belanja RM15 juta.
"Ini yang
berlaku. Saya sedih kerana mereka tidak ada lagi, dan saya harap mereka akan
mencari jalan untuk menyelesaikan masalah kewangan serta hutang mereka,” ujar Tunku
Ismail.
Baginda yang merupakan pemilik JDT, menegaskan bahawa
antara punca utama kejatuhan sesebuah kelab adalah kerana ia dikendalikan oleh individu yang tidak mempunyai minat serta
pengetahuan mendalam dalam bidang bola sepak.
“Ini adalah masalah terbesar dalam bola sepak Malaysia. Orang yang menguruskan liga dan pasukan bola sepak tidak mempunyai minat serta pengetahuan yang cukup,” kata baginda lagi.
FARIDZUAN CHE HAMID
Memberi reaksi kepada kenyataan itu, bekas penyerang pasukan Kedah dan skuad kebangsaan, Faridzuan Che Hamid berkata, jika apa yang diungkapkan oleh Tunku Ismail itu benar, ia merupakan episod malang kepada bola sepak Malaysia.
“Kedah dan
Pahang adalah pasukan yang memiliki tradisi serta sejarah panjang dalam bola
sepak Malaysia. Mereka pernah mencatat pelbagai kejayaan.
“Jika kedua-dua
pasukan itu mengundur diri atau disingkir daripada Liga Malaysia, hilanglah seri bola
sepak Malaysia. Liga akan menjadi semakin hambar kerana pasukan yang boleh
dianggap pencabar utama hanya tinggal JDT, Selangor, Terengganu, Sabah dan
Kuala Lumpur.
“Saya sangat sedih terutama bila memikirkan Kedah dulunya sebuah pasukan yang sangat gah tapi kini berdepan dengan pelbagai masalah.
"Saya bersimpati dengan nasib pemain dan kesian melihat jurulatih Victor Andrag yang terpaksa membentuk pasukan dalam keadaan serba kekurangan,” kata Faridzuan.
PENYANYI Black Hanifah dan dua pempengaruh media sosial, CEO Bieziy dan CEO Batu sebagai duta KDA FC.
Akibat kemelut yang melanda, prestasi KDA FC merudum dengan beberapa siri kekalahan dalam Liga Super.
Terbaharu, Sang Kenari terpaksa akur dengan kekalahan 0-3 kepada Kuching FC pada perlawanan di Stadium Negeri Sarawak pada Rabu, 12 Mac, 2025. Pasukan itu kini menduduki tangga ke-11 liga.
Walaupun KDA FC
dilaporkan berusaha pelbagai cara untuk memulihkan krisis yang melanda, namun
beberapa langkah diambil oleh kelab itu menimbulkan persoalan kepada Faridzuan
terutama pelantikan duta yang terdiri daripada tiga selebriti.
“Saya
sebenarnya tidak faham apa sumbangan yang mampu diberikan oleh tiga duta itu
kepada pasukan terutama dalam menyelesaikan masalah kewangan kelab.
“Sejarah
membuktikan, Kedah mencapai zaman kegemilangan tanpa perlu menggunakan sebarang
duta. Kami dulu main stadium sentiasa penuh kerana waktu itu Kedah hebat.
“Pada zaman Datuk Basri (Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil) dulu Hijau Kuning menjadi fenomena. Ke mana-mana pergi kita nampak hijau kuning sehinggakan tiang lampu, pokok-pokok, papan tanda semua dicat hijau kuning. Sebenarnya itulah 'duta' pasukan Kedah,” katanya lagi.
Faridzuan merujuk kepada pelantikan penyanyi, Black Hanifah dan dua pempengaruh media sosial, CEO Bieziy dan CEO Batu sebagai duta KDA FC.
DR DAUD BAKAR
Beliau berkata sesuatu
yang drastik perlu dilakukan oleh pihak pengurusan terutama pemilik kelab itu, Tan
Sri Dr Mohd Daud Bakar, demi menyelamatkan pasukan Hijau Kuning.
“Jika Tan Sri
sudah tak mampu, eloklah berundur dan serah pasukan kepada orang lain,” tegas
Faridzuan.
“Saya tak rela lihat pasukan Kedah berkubur. Jika Kedah sudah tidak wujud dalam bola sepak Malaysia, bagaimanakah nasib generasi bola sepak negeri itu pada masa depan.
“Kita boleh lihat apa yang berlaku kepada bakat-bakat muda negeri Perlis selepas pasukan itu tidak wujud lagi dalam Liga Malaysia.
"Begitu juga harapan peminat.
"Bola sepak adalah satu-satunya hiburan untuk rakyat Kedah. Tanpa bola sepak, sepilah negeri Kedah. Oleh itu, saya mohon, selamatkan bola sepak Kedah! ,” katanya. - KitaReporters