Seni & Sukan 27 Jun, 2024

Sultan Selangor tarik keluar pasukan? Murka! Tempelak Hamidin! Hukuman tak masuk akal, tiada ihsan!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC).

Share this

SULTAN Sharafuddin Idris Shah (kanan) dan Raja Muda Selangor yang juga Presiden FAS, Tengku Amir Shah ketika satu perlawanan Liga Super 2024-2025 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. - Kredit foto ROS


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah amat murka dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang mendenda Selangor FC RM100,000 dan membayar pampasan, memotong tiga matanya dalam Liga Super 2024-2025 dan mengarahkan perlawanan pusingan kedua dengan Johor Darul Ta’zim FC dijalankan tanpa penonton di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Menyifatkan hukuman yang dikenakan pada 25 Jun 2024 itu tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku, baginda turut terkejut dan kecewa khususnya terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin.

“Beta berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan (JDT FC) menang 3-0 dan tiga mata Liga Super dalam Perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah pada 10 Mei 2024).



“Datuk Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) daripada beta,” titahnya dalam kenyataan akhbar menerusi laman sosial Facebook Pejabat Diraja Selangor.    



Sultan Sharafuddin yang juga Penaung FAS bertegas, tidak teragak-agak untuk menarik keluar Selangor FC daripada Liga Super bagi tempoh tertentu jika baginda menerajui FAS dan kelab yang digelar Gergasi Merah ini.   

Titahnya, satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa telah menimpa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 5 Mei 2024 lalu yang disebabkannya, perkenan diberi kepada Selangor FC untuk memohon penangguhan perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor itu.

“(Permohonan itu) kerana para pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan, (walau bagaimanapun) MFL telah menolaknya dan memberikan kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah kepada pihak lawan,” titah baginda.



Sultan Sharafuddin menjelaskan baginda telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak 1968 ketika zaman FAS diterajui Allahyarham Datuk Seri Harun Idris sehingga bersara pada 1990 yang sepanjang tempoh itu, belum pernah baginda menyaksikan keadaan seperti sekarang.

“Bola sepak yang sepatutnya menjadi sukan yang digemari dan platform perpaduan rakyat berbilang kaum berasaskan semangat kesukanan tinggi, kini telah dicemari dengan keganasan (yang lebih teruk), MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai keganasan dan kezaliman terhadap pemain-pemain,” titahnya.


FAISAL Halim (kiri), sayap kiri utama Gergasi Merah yang menjalani pemulihan akibat serangan simbahan asid, bersama-sama bapa dan anaknya. - Kredit foto: SFC


Baginda juga amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini malah harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini malah boleh membunuh semangat dan hala tuju Selangor FC. - KitaReporters


HAMIDIN Amin, Presiden FAM yang pernah menjadi Setiausaha Agung FAS. - Kredit foto: FAM


SULTAN Sharafuddin Idris Shah (kanan) pernah menerajui FAS sebelum bersara pada 1990 ,manakala puteranya, Tengku Amir Shah kini Presiden persatuan itu. - Kredit foto ROS 

17
14
0
12
0
You will be interested