Seni & Sukan 02 Jul, 2024

Video| Nadi hasil cipta gabungan baharu dan lama! Gandingan rock jiwang Yonnyboii bersama Joe Wings!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Gabungan lama dan baharu mencipta satu ‘Nadi’ yang mampu membangkitkan adrenalin anak-anak muda rockers untuk bangkit bersemangat.

Begitulah mesej yang mahu disampaikan oleh lagu yang dicipta oleh penyanyi muda,Yonnyboii bersama komposer Amy Bong sekali gus memilih bekas pemain gitar kumpulan Wings, Jo Branko atau dulunya Joe wings untuk bersama menggegarkan ‘Nadi’.

Bersama Jo Branko, Yonnyboii serlahkan sisi rock jiwang dalam ‘Nadi’ yang kini sudah boleh didengari dalam semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.

“Lagu ini menggambarkan bagaimana saya dihantui sebuah perasaan tertentu dan mahu bebaskan diri daripadanya. Kesimpulannya, saya cuba mengejar kebebasan,” kata Yonnyboii.

Menurut rapper bernama sebenar, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 26, ini, ‘Nadi’ diilham daripada perasaan peribadi mengenai bagaimana beliau berdepan keresahan dan ketakutan apabila berjumpa dengan orang baharu.

“Saya bimbang dan segan mahu meminta pertolongan daripada sesiapa. Saya mahu mereka yang berdepan situasi serupa dapat bangkitkan kekuatan dalam diri untuk menanganinya,” ulas Yonnyboii.


Jo Branko (kiri) mengiringi Yonnyboii dalam 'Nadi'.


Sehubungan itu, beliau mahu ‘Nadi’ dirasai secara peribadi dalam hati pendengar kerana pasti ramai orang lain di luar sana turut pernah merasai perasaan sama dengannya satu ketika dahulu.

Yonnyboii berkata, mesej utama dalam lagu itu tidak lain untuk menyuntik semangat hidup kepada pendengar. Katanya, sesiapa juga pasti inginkan kebebasan daripada suatu perasaan yang gelap.

“Ia menggambarkan bagaimana saya dihantui sebuah perasaan tertentu dan mahu bebaskan diri daripadanya. Kesimpulannya, saya cuba mengejar kebebasan,” tambah Yonnyboii yang turut teruja apabila mendapat gandingan pemuzik otai seperti Jo Branko.

Dan siapa tidak kenal dengan legenda dari kumpulan Wings itu? Bagi Yonnyboii  ia adalah satu penghormatan besar buatnya dapat sentuhan orang lama. 

"Jo Branko jugalah sebenarnya menjadi kekuatan terpenting dalam 'Nadi'. Mainan gitarnya menghidupkan lagi lagu ini dan membawanya ke tahap tersendiri. Saya bangga apabila gabungan ini tercipta daripada dua generasi berbeza,” ujar Yonnyboii.. 



Memberikan pandangannya dengan kolaborasi tersebut, Jo Branko anggap kerjasama dengan Yonnyboii tidak pernah dijangkakan. 

"Secara jujurnya, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk beraksi dalam lagu 'Nadi' dengan Yonnyboii. 

"Saya sangat menghargai kerana artis muda yang sedang meningkat masih lagi mengenali Jobranko untuk membuat satu kolaborasi bersama- sama,” ujar Jo Branko atau nama penuhnya, Abdul Zamin Abdul Kadir, 54 tahun.

Lebih dikenali dengan panggilan Joe Wings, beliau melahirkan ucapan penghargaannya kepada produser Amy Bong serta semua warga Universal Music termasuk team Yonnyboii dengan kolaborasi tersebut,



Sudah melancarkan muzik video (MV) baru-baru ini, Yonnyboii sangat gembira dengan hasil sentuhan pengarah kreatifnya, Andrew Lim yang disifatkan cukup memuaskan.

Kata Yonnyboii, dia cuma memberikan panduan kepada Andrew bagaimana konsep diinginkan dalam kepala secara asas saja dan jelas kepercayaan itu digalas begitu cemerlang oleh pengarah terbabit.

“Hakikatnya, Andrew yang mencipta keseluruhan jalan ceritanya. Misalnya adegan saya melarikan diri dari kontena, kenapa saya berbuat demikian, dan sebagainya. 

"Disebabkan lagu ini adalah sebuah karya bergenre rock jiwang, cuma beritahu mereka konsep diinginkan iaitu sesuatu yang ‘grunge’ dan rock,” cerita Yonnyboii.



Beliau berharap 'Nadi' mampu mengulang kejayaan lagu-lagu terdahulunya malah mahu agar mesej dalam lagunya itu berjaya berbekas di hati sesiapa juga.

“Saya memang meletakkan harapan yang cukup besar terhadap 'Nadi'. Semoga lagu ini akan digemari ramai dan mesej yang cuba saya sampaikan dapat menusuk hati ramai pendengar,” akhirinya. -  KitaReporters

20
13
0
5
0
You will be interested