Seni & Sukan 18 Jun, 2024

Kejohanan Ragbi 7's Perdana MCKK kembali! ARAS pertahan gelaran! Awasi rempuhan SSTMI, MSAB, MCKK!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV).

Share this

KETUA Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Ramli (tiga dari kiri) menerima cenderamata jersi  berlogo 24 pasukan peserta Kejohanan Ragbi 7's Perdana MCKK 2024 daripada Dzulkifly Mohd. Zain  pada sidang media di Dewan Pernas, Kuala Lumpur hari ini 11 Jun 2024. - Kredit foto: JK MCKK 7's  


JUARA bertahan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga atau Akademi Ragbi Selangor (ARAS) bakal kembali mempertahan gelaran Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah (7's) Perdana Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak pada edisi ke-12 dari 28 hingga 30 Jun 2024 ini.

ARAS akan dicabar tiga lagi bekas juara – Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) Johor Bahru; Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI); dan tuan rumah, MCKK selain tiga pasukan luar negara dari Taiwan, Jepun dan Indonesia, lapor siaran media penganjur pada 11 Jun 2024.

ARAS menewaskan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) 24-0 dalam perlawanan akhir kejohanan pada tahun lalu (2023).  

Turut mengidam piala rebutan, Trofi NJ Ryan selain Anugerah Pemain Terbaik Zaharuddin Alias antara 24 pasukan yang bertanding ialah Maktab Tentera Diraja (MTD), SMK Victoria Institution (VI) Kuala Lumpur dan Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) Putrajaya.


DZULKIFLY Mohd. Zain menyampaikan ucapan alu-aluan pada sidang media Kejohanan Ragbi 7's Perdana MCKK. - Kredit foto: JK MCKK 7's 


Ragbi 7’s Perdana MCKK 2024 ditaja oleh Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), sebuah agensi Kementerian Kewangan (MOF Inc.) dan penyeliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang bertujuan menerajui kemajuan industri francais Malaysia. 

“Kejohanan tahunan bawah 18 tahun ini membuktikan komitmen Pernas dalam mempromosi semangat kesukanan dan kecemerlangan dalam ragbi peringkat belia selain meluaskan skop dan impak pertandingan yang diasaskan pada 2011.   

“Sepanjang tiga hari saingan di padang MCKK di bandar diraja Kuala Kangsar, akan lahirlah bintang-bintang ragbi masa depan yang bersemangat kesukanan tinggi dan tersemai dengan nilai-nilai murni,” lapor siaran berkenaan.


ANTARA tetamu kenamaan yang menghadiri sidang media Kejohanan Ragbi 7's MCKK 2024, Ahmad Faedzal Ramli dan Dzulkifly Mohd. Zain (tiga dan empat dari kiri). - Kredit foto: JK MCKK 7's


Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pelajar MCKK (MCOBA), Datuk Dzulkifly Mohd. Zain dalam ucapan alu-aluan pada sidang medianya di Kuala Lumpur pula berkata, “kepada (24) pasukan yang bertanding, saya ucapkan selamat berjaya. Tiba masanya untuk mempamerkan kejaguhan, kerjasama dan keazaman anda.

“Ingatlah bahawa setiap perlawanan bukan hanya tentang kemenangan tetapi juga persaudaraan, saling hormat dan semangat kesukanan sihat yang ragbi miliki. Beraksilah dengan segenap jiwa dan semangat sejati sukan ini,” katanya. - KitaReporters


JUARA-JUARA LALU : 

2011: Sekolah Sukan Bandar Penawar

2012: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail

2013: Maktab Melayu Kuala Kangsar 

2014: Scots College New Zealand

2015: Sekolah Sukan Hong Kong

2016: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail

2017: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail

2018: Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mersing

2019: Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor

2020: English College

2021-2022: Tiada pertandingan

2023: Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga


 

 

11
11
0
14
0
You will be interested