Seni & Sukan 01 Jul, 2023

Impak Maksima| Video| Siti Nurhaliza tetap sopan! Tak terkesan kritikan kasar terhadap album Sitism!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this




Dalam usia 44 tahun, angka yang sering menjadi perbalahan kata orang tua-tua dahulu kala seperti ‘simpang malaikat 44 ’, penyanyi tersohor Dato Seri Siti Nurhaliza turut menerima tempiasnya apabila ada netizen yang menyifat kulit album terbaharunya “Sitism’ tidak sepadan umurnya.

Sepanjang mengenali Tok Ti, (sapaan mesranya), ketika mula diperkenal melalui single pertamanya ‘Jerat Percintaan’ selepas menjuarai pertandingan nyanyian Bintang HMI anjuran RTM pada 1995, barangkali inilah antara album studionya yang dilihat memberikan Impaks Maksima terkesan pada dirinya.



Sebelum ini rasanya Kak Fas tidak nampak Siti begitu terkesan dengan komen umum sebagaimana yang dibalasnya terhadap dua netizen yang memperlekeh konsep dan judul yang dipilihnya kali ini.

Antara komen yang tertera:

“Kau dah level penyanyi senior yang dah ada nama, bukan level awak keluar album dengan imej dan visual yang macam ini”…

“Sitism katanya. Bila search dekat Google keluar autism. Imej dan visual cyber, retro futurism”…

Malah ada yang menganggap Siti mempunyai masalah mental sebab menggunakan fon kepala dalam foto kulit album ‘SItism’.  

Memang  kenalah seperti kata orang tua-tua ' minta simpang malaikat  44' ya tak? Suka-suka hati je kata seseorang itu bermasalah mental apatah lagi bagi seorang penyanyi popular seperti Tok Ti yang terbukti sebagai penyanyi bergelar 'Voice of Asia', gelaran yang diterimanya selepas memenangi Grand Prix Champion' anjuran Voice of Asia di Almaty, Kazakhstan pada tahun 2002 lalu.



Apabila menerima komen seburuk itu berbanding komen negatif netizan lainnya, rasanya insan mana yang tidak hangat hatinya, tidak terkecualilah Siti namun sebagai seorang penyanyi yang Kak Fas kenali memiliki hati lembut dan bersopan santun,  apa yang dijawab Siti tetap melambangkan budi pekertinya yang masih ‘bersabar’ dan tidak melenting sakan.

Siti hanya berkata, ‘cantiknya bahasa kakak-kakak ini @kakwanlebor @bonda_putehkundor. Kita bagi SKMM periksa kejap’.

Memang halus bahasa digunakan Tok Ti, tidak kasar tetapi tersirat apa yang tersurat dalam hatinya melambangkan keperibadiannya sebagai seorang wanita TImur berbudi bahasa.

Kak Fas rasa jika orang lain tentu melenting dengan lemparan jawapan kasar terhadap individu-individu terbabit.

Apa pun ramai yang memuji konsep ditampilkan Tok Ti sehingga dua pemilik IG yang mengutuk Tok Ti tiba-tiba ‘hilang dari radar’.



Kak Fas pun mahu juga melihat siapakah gerangan yang berani berkata-kata itu tetapi nampak gayanya mereka hanya berani ‘lempar batu sembunyi tangan’. Kelibat IG kedua-duanya sudah hilang seketika.



Apa pun membuka lembaran baharu dan sempena bulan Zulhijjah, sehari selepas umat Islam menunaikan ibadah Haji, Tok Ti memilih 30 Jun 2023 untuk melancarkan secara digital album 'Sitism' yang mengandungi 8 buah lagu, sebelum kemunculan album penuh atau ‘deluxe album’ sebanyak 12 lagu dalam format digital dan fizikal.

Judul 'Sitism' dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan `ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album. 

Apabila nama Siti dan imbuhan `ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 beliau ini.

Khabarnya,  penerbit dan komposer Aubrey Suwito adalah individu bertanggungjawab menggunakan Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana menurut beliau, apabila Siti menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza.




Dan menurut Siti, 'Sitism' sangat bertepatan sebagai judul album kerana selama lebih 27 tahun bergiat dalam industri muzik, beliau sudah menghidupkan jenama Siti Nurhaliza dengan ciri beliau yang tersendiri.

Tambah Siti, album 'Sitism' adalah diri beliau yang tersendiri seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan beliau.

Fokus Siti adalah untuk membolehkan para peminat beliau dapat mendengarkan 8 buah lagu terlebih dahulu sebelum penambahan 4 buah lagu lagi akan menjadi lebih istimewa apabila dikeluarkan dalam bentuk fizikal selain digital kelak.

Setelah berjaya dengan single pertama 'Menjaga Cintamu' yang dilancarkan pada 18 Mei 2023, menerusi album ini,  Siti mempertaruh lagu berentak rock balada ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Rozisangdewi, berjudul ‘Romansa Kita’.



Romansa Kita’ membawa tema  kehebatan kisah percintaan yang berawal dengan sekadar impian namun menjadi kenyataan apabila sepasang individu menanam keyakinan untuk bersama-sama sehingga ke akhir hayat mereka.

Selain 'Romansa Kita' (Sharon Paul/Rozisangdewi), lagu-lagu lain yang terdapat dalam album ini ialah 'Menyapa Dunia' (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), 'Tanpa Diri-Mu' (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), 'Sehebat Matahari' (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), 'Ganti' (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), 'Teratas' (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), 'Menjaga Cintamu' (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan 'Magis' (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King).



Album 'Sitism' diterbitkan oleh Universal Music Sdn Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd ini  kini boleh didapati di pelantar digital manakala album penuh atau album `deluxe’ dijangka akan berada di pasaran pada awal Ogos 2023 nanti.

Kita nantikan Impak Maksima lagu-lagu terbaharu Siti kali ini, yang mana satu kegemaran dan menjadi ‘hit’ sebagaimana meletupnya lagu-lagu beliau sebelum ini.

Pedulikan kata-kata netizen, yang penting Siti antara penyanyi yang disifatkan sebagai penyanyi lama tetapi mampu mengikut trend semasa seperti kata beberapa netizen selama ini. - KitaReporters



10
12
0
17
0
You will be interested