DRAMA bersiri ‘Perempuan Itu’ yang dijangka trending apabila mula ditayang di TV3 sebanyak 30 episod sepanjang Ramadan 2022 ini akan kehilangan beberapa babak penting dan panas yang dinanti-nantikan penonton.
Antara babak yang dijangka terpaksa dipotong ialah yang membabitkan babak berani dan berunsur lucah membabitkan pelakon Zul Ariffin dan Siti Hariesa.
Kehebohan dan kontroversi berikut babak promosi drama tersebut yang dimuat naik oleh Zul Ariffin (dan kini telah dipadamkan) mengundang reaksi daripada pengarah drama berkenaan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan drama bersiri
Menurut pengarahnya, Ain Sharif, video yang dipapar dalam IG @zulariffin adalah 'director's cut' yang dipasti tidak akan muncul apabila ditayangkan di TV.
Ain juga berharap penerbit drama, Erma Fatima tidak dipersalahkan dalam soal ini.
Sementara itu, Erma dalam posting dalam akaun Instagramnya hanya memberi komen pendek terhadap kontroversi yang berlaku.
"Insya-Allah... kebenaran akan terdedah nanti," tulisnya berserta kata-kata semangat dan gambar yang menyebut: "Pejuang terbaik tak pernah marah."
Dalam pada itu, kehebohan babak-babak yang dianggap keteraluan itu mendapat perhatian serius Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Idris Ahmad.
Kenyataan itu dimuat dalam laman Facebooknya pada Sabtu, 19 Mac 2022.
Mengakui terkejut dengan babak dalam drama tersebut, menteri itu tidak menyangka babak drama tular itu akan ditayangkan pada bulan Ramadan.
Tambahnya, hiburan tidak dihalang dalam Islam namun jika ia melampaui batas dan boleh mencemarkan agama ia tidak boleh dibiarkan.
Dia memaklumkan akan menghubungi segera pihak terbabit untuk memberikan nasihat supaya perkara itu dapat ditegah.
Menerusi entri itu, Ustaz Idris sempat menitipkan nasihat kepada umat Islam untuk bersiap sedia menghadapi bulan Ramadan yang mulia.
Drama bersiri ‘Perempuan Itu’ mengisahkan kehidupan wanita yang mempermain atau dipermainkan.
Ia membariskan sejumlah pelakon popular popular seperti Mimi Lana (membawa watak Khalisa), Zul Ariffin (membawa watak Emir), Siti Hariesa, Erysha Emyra, Elfriena A., Eman Manan dan Amar Asyraf.
Malah lebih sensasi apabila turut memperkenalkan usahawan kontroversi, Iqbal Zulkefli.
Drama ini bercorak keagamaan, namun penerbitnya, Erma Fatima memasukkan beberapa unsur komersial yang menurut sejumlah pihak sebagai ‘keterlaluan’.
Setelah menerima keteguran Menteri Hal Ehwal Agama itu, jika pihak syarikat penerbitan tidak melakukan tapisan sendiri, ia akan dilaku oleh pihak penapisan TV3 sendiri.
Trending adalah perkara yang disukai stesen TV swasta untuk sumber iklan. Dan ‘Perempuan Itu’ sudah trending sebelum tayangan. Ia pasti menjadi drama tontonan ramai sebelum berbuka puasa nanti. - KitaReporters
/