Seni & Sukan 13 Apr, 2022

Video| Jersi 'gol tangan ajaib' dilelong!! Kontroversi Dalma-Hodge! Pemilik sebenar jersi Maradona?

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Diego Maradona dikatakan menggunakan tangan untuk menewaskan penjaga gol England, Peter Shilton dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia 1986 di Mexico City. - Kredit foto : AFP

Dalam kesibukan komuniti bola sepak dunia memperkatakan lelongan jersi yang dipakai Diego Maradona ketika menjaringkan 'gol tangan ajaib'  dalam perlawanan suku akhir antara Argentina dan England pada temasya Piala Dunia 1986 di Mexico pada bulan April 2022 ini, timbul persoalan siapakah pemilik sebenar jersi tersebut.

Persoalan timbul apabila anak sulung mendiang Diego Maradona, Dalma Maradona tiba-tiba tampil menafikan dakwaan bekas pemain tengah England, Steve Hodge bahawa beliau merupakan pemilik sebenar jersi tersebut.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Diego Maradona

Bekas pemain tengah England, Steve Hodge (kiri) mendakwa memiliki jersi yang dipakai oleh Maradona (kanan) ketika menjaringkan 'gol tangan ajaib' sewaktu menentang England pada Piala Dunia 1986 di Mexico City. - Kredit foto: NewsBeezer.



Hodge mendakwa beliau bertukar jersi dengan legenda bola sepak Argentina itu semasa melalui terowong pemain Stadium Aztec di Mexico City selepas tamat permainan yang menyaksikan Argentina menewaskan England 2-1 untuk melangkah ke peringkat  separuh akhir Piala Dunia 1986.

"Saya sedang berjalan menyusuri terowong pemain dan Maradona datang kepada saya dari arah bertentangan, ketika itu saya hanya menarik dan membuka baju saya di mana selepas itu kami bertukar jersi.

"Saya menjadi pemilik jersi tersebut selama lebih 35 tahun dan gembira memilikinya kerana ianya mempunyai nilai sentimental yang luar biasa

"Namun kini saya bersedia untuk melelongnya walaupun sebelum ini saya tidak pernah sekali pun mencuba untuk menjualnya," kata bekas pemain England berusia 56 tahun itu kepada BBC Radio Nottingham.


Jersi Argentina yang dikatakan dipakai oleh Maradona ketika menjaringkan 'gol ajaib' semasa menentang England di pusingan suku akhir Piala Dunia 1986 di Mexico City akan dilelong pada bulan ini. Kredit foto : my news online


Menurutnya jersi tersebut pernah dipinjamkan kepada Muzium Bola Sepak Kebangsaan England di Manchester untuk dipamerkan kepada peminat bola sepak di negara tersebut selama 20 tahun

Sebelum ini beberapa media antarabangsa melaporkan secara meluas bahawa jersi yang dipakai oleh Diego Maradona ketika menjaringkan 'gol ajaib' pada perlawanan suku akhir Piala Dunia 1986 antara Argentina menentang England akan dilelong dengan harga sekurang-kurangnya RM22 juta oleh syarikat lelongan Sotheby pada bulan April 2022 ini.


Anak perempuan sulung Diego Maradona, Dalma Maradona (kanan) bersama bapanya. Kredit foto : Marca.com.

Namun Dalma  yang merupakan anak perempuan sulung legenda bola sepak Argentina itu pantas tampil mendakwa jersi yang akan dilelong itu bukan jersi yang dipakai oleh bapanya ketika menjaringkan 'gol ajaib', sebalik jersi tersebut adalah jersi yang dipakai oleh Maradona ketika separuh masa pertama perlawanan tersebut sedangkan 'gol ajaib' dijaringkan enam minit selepas wisel sepak mula separuh masa kedua.

Menurutnya, semasa perlawanan tersebut bapanya memakai dua helai jersi yang  sama masing-masing sehelai bagi separuh masa pertama dan sehelai lagi untuk separuh masa kedua di mana ketika memasuki stadium untuk memulakan separuh masa kedua perlawanan jersi yang dipakai bapanya bersih dan tidak dibasahi peluh.

"Itu bukan jersi yang dipakai oleh ayah. Tapi saya tidak mahu mengatakan siapa yang memiliki jersi yang dikenakan oleh ayah semasa perlawanan itu. Ayah saya pernah memberitahu saya bagaimana dia boleh memberi jersinya kepada orang lain.


Pertembungan udara antara Maradona dan Peter Shilton yang menyaksikan Maradona didakwa menjaringkan gol menggunakan tanggan. - Kredit foto: AFP


"Bekas pemain itu memikirkan beliau memiliki jersi babak kedua bapa saya, tetapi sebenarnya bukan. Beliau memiliki jersi yang dipakai pada babak pertama. Saya mahu perkara itu dijelaskan supaya orang yang membelinya tahu perkara sebenarnya," katanya dalam satu kenyataan dalam televisyen Channel 13.

Selepas mendengar kenyataan dari kedua-dua mereka, apa yang berlegar pada fikiran kita siapakah sebenarnya pemilik jersi yang dipakai oleh Maradona ketika menjaringkan 'gol ajaib' tersebut selain apakah motif dakwaan mereka berdua yang ternyata bertentangan.

Apakah Dalma sengaja mahu menimbulkan keraguan terhadap ketulenan jersi yang bakal dilelong itu nanti semata-mata kerana hasil lelongan jersi tersebut tidak dimilikinya sebaliknya akan pergi ke poket orang lain. 

Jawapan kepada semua persoalan yang timbul hanya diketahui Dalma Maradona dan Steve Hodge sahaja. - KitaReporters


Tangan Maradona kelihatan seperti menyentuh bola ketika menjaringkan gol pertama Argentina menentang England dalam perlawanan suku akhir Piala dunia 1986. - Kredit foto: HistoryVille

10
15
0
9
0
You will be interested