Seni & Sukan 01 Apr, 2022

Camna tu? Pangkat sama, pencen berbeza! Veteran ATM rayu selaraskan pencen! Pesara baharu, lama!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this


PERSATUAN Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Labis menyokong sebarang usaha mana-mana pihak khususnya PVATM pusat untuk menyelaras dan mengecilkan jurang perbezaan pencen dalam kalangan pesara tentera yang menamatkan perkhidmatan sebelum dan selepas tahun 2013.

Ketua cawangannya, Idris Abdullah berkata, dianggarkan separuh daripada lebih 300 ahli PVATM Labis merupakan mereka yang menerima pencen mengikut skim gaji lama yang jumlahnya jauh lebih kecil berbanding mereka yang menamatkan perkhidmatan mengikut skim gaji baharu selepas tahun 2013.


Lagi


Sebahagian Ahli Jawatankuasa PVATM Cawangan Labis bergambar kenang bersama ADUN Tenang, Haslinda Salleh (duduk, empat dari kanan) selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PVATM Cawangan Labis di Labis.

"Tuntutan tersebut bukan sesuatu yang keterlaluan bagi menghargai jasa serta pengorbanan veteran ATM memandangkan jurang perbezaan pencen yang diterima oleh veteran baharu dan lama dalam pangkat yang sama begitu ketara ketika ini.

"Usaha ini harus digerakkan segera memandangkan jumlah mereka yang menerima pencen mengikut skim gaji lama lebih ramai berbanding pesara baharu," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan PVATM Cawangan Labis di Dewan Pertubuhan Kawasan (PPK) Labis di Labis, Johor.


Idris Abdullah
Sementara itu, Masnan Sahit, 70, dia yang menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera pada tahun 1992 dengan jawatan Staff Sarjan hanya menerima pencen berjumlah RM1,100 sahaja sebulan ketika ini berbanding pesara baharu dengan pangkat yang sama yang menerima pencen jauh lebih baik.

Menurutnya, yang berkhidmat di Rajimen Gerak Khas di Kem Sungai Udang, Melaka itu, pencen yang diterima selepas menamatkan perkhidmatan pada tahun 1992 hanya RM450 sahaja sebelum kenaikan tahunan sebanyak dua peratus  setahun menjadikan jumlah RM1,100 setiap bulan ketika ini.

Memandangkan rata-rata pesara lama ketika ini sudah berusia lanjut dia berpendapat adalah wajar usaha menyelaraskan pencen kepada pesara tentera dapat disegerakan kerana bimbang ramai dalam kalangan mereka tidak berpeluang untuk menikmati kadar pencen baharu jika mengambil masa terlalu lama untuk dilaksanakan.


Masnan Sahit.

Borhan Sahlan, 68, pula yang menamatkan perkhidmatan di unit Semboyan pada tahun 1994 dengan pangkat terakhir sebagai koperal turut bersetuju dengan pandangan Masnan dan berharap sekiranya kerajaan tidak dapat dapat menyelaraskan pencen dengan kadar sama sekurang-kurangnya mengecilkan jurang sedia ada yang disifatkan terlalu ketara.

Katanya, adalah kurang wajar terdapat perbezaan kadar pencen dalam kalangan pesara tentera memandangkan peranan serta tanggungjawab antara anggota tentera lama dan baharu tiada bezanya.


Borhan Sahlan


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu cepat melemparkan tuduhan negatif sekiranya mendapati ada mereka yang pernah berkhidmat dengan pasukan angkatan tentera tidak menikmati bantuan sebelum mengetahui kedudukan sebenar.

"Sebenarnya ramai yang tidak mengetahui terdapat perbezaan antara veteran tentera dengan bekas tentera di mana bekas tentera adalah mereka yang diberhentikan kerja serta dikenakan tindakan tatatertib, sekali gus tidak menerima manfaat seperti rakan mereka yang berstatus veteran ATM yang berdaftar dengan PVATM.

"Saya difahamkan, walaupun terdapat kes bekas tentera yang  tidak diiktiraf pernah perkhidmat dalam pasukan ATM atas sebab-sebab tertentu, namun bantuan tetap dihulur kepada golongan tersebut dalam bentuk ihsan berbanding mereka yang berstatus veteran ATM," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PVATM Cawangan Labis itu.

Dalam masa sama beliau turut menyeru agar semua pesara tentera di sini agar mendaftar sebagai ahli  persatuan kerana PVATM bukan sekadar satu entiti yang dapat menjaga kebajiukan mereka serta keluarga, malah sebagai platform untuk mereka merapatkan ukhwah dalam kalangan pesara tentera. - KitaReporters


Idris Abdullah menyampaikan cenderahati kepada Dipertua PVATM Johor, Ibrahim Yahya (kiri) sambil diperhatikan oleh  Haslinda Salleh

7
12
0
16
0
You will be interested