Seni & Sukan 21 Dec, 2021

Harimau Malaya jadi lauk! Maruah bagai dipijak-pijak! Masa terbaik Cheng Hoe undur! – Azraai Khor

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Kredit foto: FAM


KEGAGALAN Malaysia pada pertandingan bola sepak Piala AFF kali ini adalah isyarat jelas kepada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk berundur

Pandangan itu disuarakan oleh jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah ekoran kekalahan 1-4 kepada Indonesia pada perlawanan terakhir Kumpulan B, pada Ahad, 19 Disember, 2021, sekali gus menyaksikan Harimau Malaya gagal ke separuh akhir.


 Lagi kisah menarik berkaitan bola sepak


Tan Cheng Hoe dianggap bertanggungjawab atas kegagalan skuad Harimau Malaya pada pertandingan Piala AFF 2020 di Singapura. Kredit foto: FAM


Azraai berkata, sebagai jurulatih, Cheng Hoe perlu berani mengakui  beliau sudah gagal dan mengambil tanggungjawab itu dengan berundur secara ‘gentleman’ dan terhormat.

“Sebagai bekas pemain kebangsaan dan bekas jurulatih skuad remaja negara, saya benar-benar sedih dengan apa yang berlaku kepada skuad kita di Singapura. Bukan sahaja harapan kita hancur malah maruah kita bagai dipijak-pijak.

“Sejak awal kita sudah melakukan kesilapan apabila mengetepikan beberapa orang pemain yang lebih layak sebaliknya menyenaraikan pemain yang kurang minit permainan dengan alasan pemain-pemain yang diketepikan itu letih.”

Antara pemain utama yang diketepikan adalah tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu penjaga gol, Farizal Marlias; pemain pertahanan, Corbin Ong serta Matthew Davies; dan penyerang muda, Arif Aiman Hanapi. 

Walau bagaimanapun Arif kemudian dipanggil pada saat akhir apabila seorang lagi pemain JDT, Mohamadou Sumareh menarik diri.

“Kemudian, kita mengambil risiko dengan membawa hanya 24 pemain walaupun dibolehkan mendaftar 30 pemain. Dalam keadaan COVID-19 dan kemungkinan kecederaan, keputusan ini ternyata tidak bijak.

“Saya pernah katakan, walau apapun keputusan Cheng Hoe, kita perlu hormati kerana beliau tahu apa yang beliau lakukan dan yang akan ‘kena pancung’ adalah kepalanya jika skuad negara gagal.

“Kini pasukan kita gagal, saya berpendapat ini adalah masa terbaik untuk Cheng Hoe berundur secara ‘gentleman’, secara terhormat kerana beliau kena mengakui hakikat bahawa beliau sudah gagal,” kata Azraai.


AZRAAI KHOR ABDULLAH


 Menurut Azraai, walaupun ada cakap-cakap Cheng Hoe menghadapi pelbagai kekangan untuk mendapatkan barisan terbaik namun sebagai jurulatih, beliau perlu mengambil tanggungjawab.

“Mungkin dakwaan itu benar tetapi sebagai jurulatih Cheng Hoe mempunyai hak untuk bersuara serta menyatakan pendiriannya, jika beliau bersetuju dan menuruti, maka beliau perlu bersedia dengan risikonya,” ujar Azraai.

Harimau Malaya ditunjuk jalan pulang lebih awal ekoran kekalahan 0-3 kepada Vietnam dan 1-4 pada tangan Indonesia selepas memulakan kempen dengan cemerlang, menewaskan Kemboja 3-1 dan Laos 4-0.



Pada ketika penyokong mampu menerima kekalahan kepada juara bertahan, Vietnam, diaibkan oleh Indonesia dengan jaringan besar dianggap sebagai bencana kepada Harimau Malaya yang menuntut perhatian serius daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

FAM kena buat satu ‘post mortem’ (pascanilai) besar-besaran untuk cari punca kegagalan ini dan melakukan ‘total overhaul’ (baik pulih secara menyeluruh). Mungkin sudah sampai masanya FAM membabitkan orang-orang berpengalaman dalam bola sepak seperti bekas pemain dan jurulatih untuk mendapatkan ‘input’.

“Malah MFL (Malaysian Footbal League) walaupun hanya sebagai badan penganjur liga perlu turut memainkan peranan untuk membantu skuad kebangsaan.

“Dan yang lebih penting, semua orang yang terbabit dalam bola sepak di negara ini ikhlas untuk membantu memulihkan maruah Harimau Malaya. Ketepikan kepentingan peribadi kerana pada akhirnya, biar sehebat mana pun liga kita, kayu pengukurnya adalah skuad kebangsaan,” ujar bekas jurulatih Kedah itu. - KitaReporters


Arif Aiman yang pada awalnya tidak disenaraikan, dipilih pada saat akhir untuk beraksi di pertandingan Piala AFF di Singapura. Kredit foto: FAM


Syahmi Safari (kiri) dan Faisal Halim cuba menghalang gerakan pemain Indonesia pada perlawanan Ahad, 19 Disember, 2021. Malaysia tewas 1-4. - Kredit foto: FAM

11
11
1
7
2
You will be interested