RUPA-RUPANYA apabila Covid-19 melanda seluruh dunia, ada juga hikmahnya kepada sesetengah pihak, terutama bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.
Bila
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai pasangan pengantin baharu
yang diijabkabulkan secara dalam talian dan tidak memerlukan kos yang banyak.
Malah apabila akad nikah dijalankan secara maya menerusi persidangan video, secara tak langsung majlis tersebut hanya diketahui oleh keluarga terdekat saja jika tidak diuar-uarkan kepada orang lain.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perkahwinan
Azlee dan Dhiya, masing-masing pernah mendirikan rumah tangga sebelum mereka disatukan sebagai pasangan suami isteri, Januari 2021.
Salah seorang pasangan yang diijabkabulkan secara maya ialah pelakon Azlee Khairi yang kembali bergelar suami buat kali kedua pada Januari 2021.
Menurut pelakon drama bersiri Love You Mr. Arrogant itu, dia bukan sengaja merahsiakan pernikahannya dengan Nurul Hidayah atau Dhiya, cuma tidak suka kisah peribadinya menjadi perhatian berbanding kerjaya.
"Ya,
saya sudah bernikah buat kali kedua. Ini juga perkahwinan kedua buat isteri dan
kami memiliki dua anak. Cuma saya tak boleh berkongsi butiran tepat mengenai
isteri kerana dia tak gemar akan hal itu.
"Alhamdulillah
perkongsian hidup kami kini turut dikurniakan anak lelaki berusia lima bulan.
"Majlis nikah kami pun secara dalam talian secara sederhana dan dibuat membabitkan ahli keluarga serta sanak saudara masing masing," jelasnya.
Dhiya dan Azlee dikurniakan seorang anak lelaki berusia lima bulan.
Terdahulu,
entri perkongsian gambar sambutan hari lahirnya yang ke-33 tahun dimuat naik lima
hari lalu dalam Instagram turut mengundang pelbagai spekulasi.
"Saya
rasa ini waktu yang terbaik untuk menjelaskan perkara sebenar. Lagipun saya
jenis yang tak suka menggembar-gemburkan hal peribadi.
"Cuma ada yang netizen salah faham dan mengandaikan saya sudah ada dua anak. Salah seorang itu, anak tiri saya sebenarnya," katanya.
Mungkinkah ini momen Azlee dan Dhiya sedang berbulan madu?
Sebelum entri ini, pada 2 Februari 2021, Azlee pernah memuat naik gambarnya dari sisi belakang berpegangan tangan dengan seorang wanita di tepi pantai.
Melihat pada komen, ada yang seolah-olah sudah tahu bahawa Azlee ketika itu bergelar suami kepada Dhiya. Bagai yang tidak tahu kisah sebenar, menganggap gambar tersebut adalah sebahagian daripada adegan drama.
Azlee
sebelum ini pernah berkahwin dengan wanita dari Brunei sekitar tahun 2014 ketika
namanya berada di puncak populariti. Ketika itu dia memilih menetap di sana dan
tidak lagi aktif berlakon.
Bagaimanapun
sekitar November 2019, Azlee kembali ke Malaysia dan berlakon semula. Pada
2020, dia turut mengesahkan yang dirinya bukan lagi suami orang.
Azlee atau nama sebenarnya Azlee Khairi Zulah Hainee berkata, dia dan Dhiya sepatutnya mengadakan majlis persandingan pada Mac 2021 lalu. Bagaimanapun kerana situasi semasa Covid-19, perancangan itu tergendala.
Azlee diraikan oleh ahli keluarga sempena sambutan hari lahirnya, baru-baru ini.
"Selepas
setahun juga, majlis yang ditunda itu akan diadakan pada 18 Mac (2022) depan di sebuah
lokasi di ibu kota.
"Masa
itu, saya akan berkongsi juga gambar pernikahan kami. Saya kena hormat
permintaan keluarga masing-masing," katanya.
Ditanya
mengenai kisah perkahwinannya yang terdahulu dan kedua-dua kelihatan penuh misteri
dan rahsia, Azlee percaya semua yang terjadi sesuatu yang tak terduga.
"Saya percaya soal kahwin ini paling penting keluarga tahu sudah memadai. Selepas itu, apa juga percaturan atau kesudahannya kita ikut rentak saja. Saya 'just go with the flow'.
"Seperti mana manusia dan lelaki lain yang mendambakan kebahagiaan, saya tidak terkecuali. Cuma ada kalanya apa yang kita harap dan impikan tidak berakhir dengan kemanisan.
"Macam perkahwinan pertama saya yang tidak kekal. Sebelum berjumpa isteri pun saya ada kenal dan bercinta dengan orang lain. Tapi putus di tengah jalan. Ia proses kehidupan yang semua kena lalui.
"Apa pun, saya harap ikatan perkahwinan kali ini akan dirahmati dan kekal sampai bila-bila," kata pelakon drama Hari Kita Jatuh Cinta ini. - KitaReporters
Azlee mohon cintanya dengan Dhiya kekal hingga jannah.