Seni & Sukan 11 Nov, 2020

PKPB: Bernikah hanya di pejabat agama! Arahan tatacara JHEAT

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

PASANGAN yang ingin bernikah di Terengganu dalam tempoh  Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan sekarang  diberi pilihan untuk mengadakan majlis tersebut di dua premis yang dibenarkan sahaja. Dua premis tersebut ialah di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Pejabat Agama Daerah (PAD) seluruh negeri. : KitaReporters


Gambar hiasan: Pejabat Agama Daerah Besut


Lagi kisah-kisah berkaitan pernikahan:

https://kitareporters.com/search?search=pernikahan


Sehubungan itu, pelaksanaan majlis akad nikah di premis persendirian termasuk masjid, surau dan di tempat awam yang lain adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas daripada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Orang lslam negeri.

Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad berkata, arahan majlis akad nikah hanya di pejabat agama itu bertujuan menjaga keselamatan orang ramai dan memudahkan pemantauan pematuhan tatacara.


Pesuruhjaya JHEAT Mat Azmi Arshad. - Kredit foto: Sinar Harian


Arahan itu dikeluarkan oleh JHEAT susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yag dikuatkuasakan kerajaan mulai 9 November 2020 hingga 6 Disember 2020.

Selain itu, katanya, ahli keluarga dan pasangan juga tidak dibenarkan sama sekali untuk memilih jurunikah, sebaliknya pegawai agama daerah akan menentukan jurunikah dan waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual disusun dengan mengambil kira perbincangan dengan pihak pemohon.


Sesi majlis akad nikah di Pejabat Agama Daerah Besut


"Kehadiran ke majlis akad nikah juga perlu diminimumkan iaitu tidak melebihi 15 orang dewasa dan keutamaan hanya kepada yang berkeperluan termasuk seorang jurunikah, pengantin lelaki, pengantin perempuan, seorang wali, serta dua orang saksi bagi pengantin lelaki dan pengantin perempuan," katanya dalam satu kenyataan pada 9 November 2020.


Kenyataan Media JHEAT berhubung majlis akad nikah dalam tenmpoh PKPB


Beliau berkata, tempoh pelaksanaan majlis akad nikah juga dalam tempoh 30 minit.

Mat Azmi berkata, individu yang mengalami gejala seperti batuk, selesema, demam dan sesak nafas tidak dibenarkan hadir pada majlis akad nikah terutama kanak-kanak dan warga emas yang berisiko.

Katanya, mengikut SOP yang ditetapkan oleh pihak JHEAT semua yang hadir pada majlis akad nikah hendaklah mendaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon dalam borang khas dan perlu diserahkan kepada pegawai agama daerah sebelum serta selepas majlis akad nikah.


Pasangan remaja yang selesai mengadakan majlis akad nikah di Pejabat Agama


Beliau berkata, pegawai agama daerah dan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk diberi kuasa untuk menangguhkan majlis akad nikah jika ada antara ahli keluarga serta pasangan gagal mematuhi tatacara ditetapkan. - KitaReporters

3
2
1
0
2
You will be interested