REMBATAN kaki kiri Safawi Rasid yang membolosi gawang Shandong Luneng buat Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Juara Asia (ACL) 2019, tersenarai antara 10 calon pusingan akhir ‘Gol ACL Dekad Ini’ pada 5 September 2020. Tahniah Safawi!! Semga raih kemenangan dan mengharumkan nama negara!! : KitaReporters
SAFAWI Rasid mencipta gol hebat bertaraf Asia pada penampilan sulung JDT dalam Liga Juara Asia (ACL) 2019. - Kredit foto AFC.
Lagi cerita-cerita JDT:
https://kitareporters.com/search?search=JDT
Jaringannya dari jarak 22 meter itu akan berentap bagi pengiktirafan popular para pelayar the-afc.com, laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila pengundiannya secara dalam talian, ditutup 11 September 2020 ini.
Sayap kanan Sang Harimau Selatan itu memperoleh 14 peratus atau 15,313 daripada jumlah keseluruhan 109,381 undi atau ketiga terbanyak antara 10 calon pusingan separuh akhir ketika pengundian pada 22 Ogos 2020 lalu.
SAFAWI (depan, dua dari kiri) ketika menentang Vissel Kobe, Jepun dalam ACL 2020 lalu. - Kredit foto JDT
Gol sepakan deras berbisa Safawi yang juga tonggak Harimau Malaya, menewaskan penjaga gol Wang Dalei tanggal 9 April 2019 setelah mendapat umpanan jauh Afiq Fazail pada minit ke-59 perlawanan Kumpulan E ACL.
Dia sempat melarikan bola sambil disaingi pemain tuan rumah, Wu Xinghan sebelum memukau 11,602 hadirin Pusat Sukan Olimpik Jinan, Shandong, China dengan jaringannya biarpun JDT akhirnya terpaksa akur untuk tewas 2-1.
Pada 16 Mei 2020 lalu, gol ini turut dinobatkan the-afc.com sebagai ‘Penjaring Melengkung Daripada 5 Terbaik’ yang menewaskan empat pencabar setelah memperoleh 79,751 undi secara dalam talian atau 50 peratus daripada jumlah 159,502 undi.
MENJARINGKAN gol tunggal penalti menentang Vissel Kobe yang membenam JDT 5-1 di Kobe dalam saingan Kumpulan G ACL 2020, 12 Februari 2020 lalu. - Kredit foto JDT
Namun bagi pengundian separuh akhir ‘Gol ACL Dekad Ini’, gol Safawi diatasi Shojae Khalilzadeh (Persepolis, Iran) dan Andranik Teymourian (Esteghlal, Iran) yang masing-masing memungut 51 dan 27 peratus atau 55,784 dan 29,352 undi.
Gol libasan gunting kaki kanan Khalilzadeh daripada lontaran jauh ke dalam membantu Persepolis menewaskan Al Ahli 2-0 pada 9 April 2019, sementara rembatan lebih 30 meter Teymourian, menumpaskan penjaga gol Buriram United tanggal 18 September 2013.
Dua puluh gol separuh akhir dan akhir ini dinilai sepanjang saingan ACL sejak 2010 hingga 2019 dengan para pengunjung laman sesawang ini turut disajikan dengan sorotan semula rakaman videonya untuk memudahkan mereka mengundi.
Walau bagaimanapun AFC sebenarnya masih tidak memiliki kategori tertentu dalam Anugerah Tahunan AFC yang secara tradisinya berlangsung setiap Disember dalam mengiktiraf gol tercantik sepanjang pertandingan kelolaannya.
Berbeza dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang pernah mengiktiraf jaringan pemain Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri ketika menewaskan Pahang dalam Liga Super 2016 sebagai pemenang Anugerah Puskas di Zurich, Switzerland pada 2017.
SAFAWI diberitakan bakal berhijrah ke kelab Liga Perdana Portugal, Portimonense SC. - Kredit foto: JDT
Anugerah Tahunan AFC sepatutnya mengiktiraf pencapaian para pemain, pegawai dan persatuan ahli gabungan mahupun kelab bola sepak di seluruh benua Asia menurut kaca mata panel pakar terpilih dan berwibawa serta melalui saringan yang lebih teliti.
Ayuh rakyat Malaysia, undilah gol Safawi pada pautan ini https://www.the-afc.com/competitions/afc-champions-league/latest/news/best-acl-goal-of-the-decade-final.
Pastikan #KitaMestiMenang!! - KitaReporters
Calon-calon gol lain Gol ACL Dekad Ini:
Abdulaziz Al Dawsari (Al Hilal lawan Al Ittihad, 24 Mei 2011),
Wesley (Al Hilal lawan Al Ain, 23 April 2013)
Mahmoud Khamis (Al Nasr lawan Tractorsazi Tabriz, 17 Mei 2016)
Abdulmajeed Al Swat (Al Taawoun lawan Lokomotiv, 25 April 2017)
Mame Thiam (Esteghlal lawan Zobahan, 15 Mei 2018)
Romarinho (Al Ittihad lawan Al Rayyan, 7 Mei 2019)
Mehdi Torabi (Persepolis lawan Al Sadd, 20 Mei 2019)