Seni & Sukan 19 Apr, 2021

'Hidup Perlu Diteruskan'! Awie enggan kalah kepada COVID-19! Raikan Cinta Ramadan diteruskan!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


SETELAH beberapa siri persembahan yang dirancang terpaksa dibatalkan gara-gara negara berdepan dengan perang wabak COVID-19, penyanyi rock, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Awie, tidak mahu terus berdiam diri.

Menyedari golongan seni antara yang terjejas teruk berikutan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) sejak setahun yang lalu, Awie berpendapat biar apa pun yang terjadi, hidup harus diteruskan.

Tambahnya, mereka tidak boleh berputus asa sebaliknya perlu terus bekerja kerana mempunyai ahli keluarga yang perlu ditanggung. 


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Awie Wings



“Sebenarnya saya memegang prinsip hidup harus diteruskan. Kami dah ditentukan Allah untuk menjadi pemuzik, penyanyi dan penghibur. Jadi, mahu atau tidak, kami perlu bekerja,” ujar Awie.

Beliau tidak menafikan pendapatan penyanyi khususnya terjejas dengan teruk dalam tempoh pandemik namun kerja perlu diteruskan.

‘Jika hendak diikutkan rasa takut sampai bila-bila kami tidak boleh bekerja. Apa yang penting setiap orang yang terlibat perlu menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dan mengikut SOP,” jelas Awie yang mengambil keputusan mengadakan dua showcase dalam tempoh yang singkat.

Dan mengambil berkat bulan Ramadan, Awie membuat keputusan dalam tempoh yang singkat untuk mengadakan showcase selama dua hari berturut-turut di dua negeri berasingan iaitu Melaka dan Kuala Lumpur.



Showcase pertamanya yang dinamakan “Datuk Awie Raikan Cinta Ramadan’ anjuran Awie Entertainment dengan kerjasama HS Shazliciious Trading bakal berlangsung pada 30 April 2021 di Hotel La Crista, Melaka yang akan diiringi oleh pemuzik undangan. 

Manakala showcase kedua di Hotel Premiera Kuala Lumpur bakal menampilkan Awie bersama-sama kumpulannya, Wings melalui ‘Wings Raikan Cinta Ramadan’ pada 1 Mei 2021. 

“Saya akan menampilkan persembahan yang paling santai dan sedap pada halwa telinga pendengar. Peminat datang untuk menikmati juadah berbuka puasa sambil menonton persembahan, jadi mereka tentunya mahukan muzik yang boleh memberikan ketenangan, bukannya muzik yang boleh membingitkan telinga,” ujar Awie.

Menurut Awie, bagi persembahan di Kuala Lumpur beliau akan tampil secara akustik bersama anggota Wings.

Bagi mengambil keberkatan bulan suci Ramadan,  Awie akan mendendangkan beberapa buah lagu yang berkonsepkan ketuhanan dan kerohanian. 

Sementara bagi membangkitkan suasana menjelang Hari raya, persembahan selama satu jam setengah itu juga akan dimeriahkan dengan rangkaian lagu-lagu raya terbaik.



“Konsep persembahan pada malam itu akan menerapkan ciri kampung bukan saja dari sudut dekorasi tetapi juga pada juadah yang bakal dihidangkan kepada peminat yang membuat tempahan meja,” sambung Pengurus Projek, Mubarak Akhtar atau Hatta.

Tambahnya lagi, selain persembahan, acara pada malam berkenaan juga akan diisi dengan aktiviti kerohanian bermula dengan  sesi tazkirah sebelum majlis berbuka puasa oleh penceramah undangan terkenal.

“Selepas itu ia akan diikuti dengan majlis berbuka puasa, solat maghrib, isyak dan tarawih. Seterusnya persembahan dijangka akan dimulakan kira-kira jam 9.30 malam, “ akhiri Hatta.



Jadi bagi yang merindui persembahan Awie setelah setahun tidak beraksi boleh memilih mana-mana showcase berdekatan.

Harga meja di Hotel Premiera Kuala Lumpur meliputi Pakej ‘Silver RM2800, Kerusi RM 350 (1 Meja 8 Orang); Pakej Emas Meja RM3800, Kerusi RM475 (T shirt percuma) dan Pakej VIP RM5000 + Bag Goodies + T Shirt + 1 Bilik Superior di Hotel Premiera manakala Pakej Super VVIP berharga RM8000 + Bag Goodies + T Shirt + 2 Bilik Superior di Hotel Premiera. 

Sementara harga bagi Hotel La Crista Melaka adalah Pakej Meja ‘Silver’ RM2800, Kerusi RM 350 (1 Meja 8 Orang); Pakej Emas RM3,800, Kerusi RM475 (T shirt percuma), Pakej VIP RM5000 + Bag Goodies + T Shirt + 1 Bilik Deluxe di Hotel La Crista dan Pakej  Super VVIP RM8000 semeja termasuk Bag  Goodies + T Shirt + 2 Bilik Deluxe di Hotel La Crista.

Untuk keterangan lanjut hubungi HS Shazlicious di 019-7695588 atau Hotel Premiera di 03-26151000  atau Hotel La Crista 06-2816868.

Selain itu untuk sebarang maklumat lanjut juga boleh menghubungi Zul Sayap Sayap Wings di 010 2480106. - KitaReporters


6
1
0
0
2
You will be interested