Namun bagi pasangan penyanyi Bad Indigo dan Ashira, mereka gembira dengan perpisahan setelah 14 bulan berumah tangga dan mengharungi pahit manis dalam tempoh itu.
Kedua-duanya mengumumkan perpisahan mereka secara bersama tidak lama setelah melafazkan cerai dalam keadaan gembira di dalam kereta yang dipasang dengan perakam video pada Rabu, 23 Jun 2022.
Rakaman video itu kemudian disiar dalam laman IG masing-masing. Walaupun sudah bercerai tetapi aksi mereka seperti masih ‘suami isteri’.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Bad Indigo dan Ashira
Rakaman video itu dibuat bagi meluahkan tujuan perpisahan yang terpaksa dibuat agar tidak timbul cerita tidak benar daripada pihak-pihak lain.
Pasangan penyanyi ini seperti tidak sedih dengan perpisahan mereka dan menyatakan mereka sah bercerai selepas masing-masing mencapai kata persetujuan untuk berpisah setelah 14 bulan menjadi suami isteri. Malah membuat pengumuman bersama dalam rakaman video dari dalam kereta.
Menurut mereka pengumuman bersama itu dilakukan agar tidak akan muncul perkara tidak baik disebarkan oleh orang ramai.
Menerusi rakan video tu, Badrul Izhan Yep Abdullah, 47, dan Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 38, sepakat untuk terus menjalin hubungan sebagai rakan baik selepas bukan sebagai suami isteri.
Namun kedua-duanya enggan mendedahkan punca perpisahan mereka kerana tidak mahu mendedahkan aib masing-masing.
Malah kedua-dua penyanyi ini meminta pihak media agar tidak lagi menghubungi mereka selepas ini untuk bertanya lanjut tentang perceraian yang berlaku.
Dalam perkongsian video itu, Bad menerusi kapsyen menulis coretan tentang perpisahan yang berlaku.
“Telah tertulis di Luh Mahfuz akan setiap langkah perjalanan hidup kita. Dengan siapa kita kenal, berkawan, jumpa jodoh dan bila ajal kita tiba.
“Jadi usah risau akan perjalanan hidupmu. Kita hanya merancang. Tetapi Allah SWT sebaik-baik perancang,” tulis Bad.
Hubungan cinta terjalin apabila Bad dan Ashira ketika mereka menyertai pertandingan Gegar Vaganza (GV) musim 8 hujung 2020.
Bad dan Ashira kemudian mendirikan rumah tangga pada 11 Mac 2021 dan hanya sebentar merasai nikmat hidup berumah tangga bagi pasangan yang masing-masing sudah mempunyai cahaya mata bagi perkahwinan terdahulu.
Dua minggu selepas diijabkabulkan, pasangan ini diuji apabila Bad dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menjalani pembedahan memotong satu jari kaki kirinya.
Anggota kumpulan Indigo ini sekali lagi dimasukkan ke hospital pada 9 Mei 2021 menjalani pembedahan memotong tiga lagi jari kaki bagi mengelakkan bakteria daripada merebak. Keadaan itu menyebabkan Bad terpaksa bertongkat dan berat badannya pula semakin susut kerana tiada selera makan.
Bagaimanapun pada September 2021 pula, semua jari kaki sebelah kiri Bad terpaksa dipotong akibat kencing manis kronik. Malah dia memerlukan wang yang banyak untuk rawatan susulan.
Ketika diuji dengan suami yang sakit kritikal, Ashira turut melalui kehidupan mencabar apabila impiannya mewakili negara ke pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) yang berlangsung di Amerika Syarikat pada Julai 2022 lebur kerana gagal menyediakan dana sebanyak RM30,000.
Ashira terpaksa menjadi penyanyi pub sebagai menambah sumber pendapatan.
Ketika Ramadan tidak lama dahulu, pasangan ini dikunjungi beberapa tokoh terkenal untuk menyampaikan sumbangan. Antaranya pendakwah bebas Ebiet Lew dan usahawan Datuk Seri Vida. - KitaReporters