Seni & Sukan 26 Sep, 2021

Vaksin COVID-19: Orang Asli tidak dipinggirkan! 115 di Sungai Berua, Hulu Terengganu disuntik!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Ahmad Azizi Zulkifli (tengah) meninjau aktiviti suntikan vaksin penduduk Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu pada 25 September 2021.


PENDUDUK Orang Asli di Negeri Terengganu tidak dipinggirkan untuk mendapat pemberian vaksin COVID-19 apabila pelbagai agensi dan pertubuhan sukarela turun padang menjelajah ke perkampungan Orang Asli di seluruh negeri itu.

Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) tidak ketinggalan membantu usaha kerajaan mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada komuniti golongan pribumi itu apabila menganjurkan Program Vaksinasi COVID-19 kepada penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu.

Yayasan tersebut dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Hulu Terengganu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri serta beberapa agensi berkaitan berjaya menarik minat penyertaan Orang Asli di kampung terbabit menyertai program bersepadu itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Orang Asli

Ahmad Azizi Zulkifli


Seramai 115 Orang Asli menyertai program yang yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua pada Sabtu, 25 September 2021 lalu telah menerima suntikan vaksin jenis CanSino sebagaimana yang ditawarkan kepada  penduduk kawasan pedalaman yang sukar diakses. 

Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli yang juga Pengerusi CITF Daerah Hulu Terengganu berkata program itu bertambah meriah dengan kehadiran ramai pemimpin setempat yang ingin melihat sambutan dan sokongan komuniti Orang Asli terbabit.

Mereka yang hadir pada program berkenaan termasuklah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM Datuk Azri Sani Mazlan; Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid; Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong; Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri (Kelantan/Terengganu), Safie Alias; serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Azizulrahim Ahmad Zamri.


Rosol Wahid bertanyakan sesuatu kepada seorang penduduk Orang Asli ketika meninjau program vaksin di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, Hulu Terengganu


Ahmad Azizi berkata, program berkenaan juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan tiada golongan yang tercicir dari program vaksinasi dan seterusnya sasaran imuniti berkelompok dapat dicapai.

Katanya, bagi menjayakan program tersebut, YDSM turut menjemput beberapa orang doktor dan pembantu perubatan swasta bagi membantu pihak JKNT dalam proses vaksinasi tersebut.

“Selain itu turut dilaksanakan sempena program tersebut ialah saringan penyakit tuberkolosis (TB), pemeriksaan kulit untuk mengesan penyakit kusta,  pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk penduduk Orang Asli yang hadir,” katanya. - KitaReporters


Petugas program vaksin di perkampungan Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu bergambar kenangan bersama Rosol Wahid

11
14
1
9
1
You will be interested