Seni & Sukan 04 Oct, 2024

Dron berlumba, bermain bola? Festival, Kejohanan Sukan Udara 2024! Jom joyride pesawat, belon panas!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

MOHAMAD Fadzli Abd. Aziz (tengah) menjawab soalan para wakil media dalam sidang media mengenai Festival dan Kejohanan Sukan Udara Malaysia 2024 di Wisma MOM, Kuala Lumpur. - Kredit foto: MASF


PERNAHKAH anda melihat perlumbaan dron dan perlawanan bola sepak dron? Macam pelik sahaja tetapi tetap unik dan tersendiri serta kreatif!

Kedua-dua sukan dron dan aeromodelling yang mempertanding dan memperagakan jet dan helikopter kawalan radio (radio-controlled atau RC) dapat dikenali lebih dekat apabila anda menyaksikan Festival dan Kejohanan Sukan Udara 2024 pada 10 hingga 13 Oktober 2024.

Terdapat dua kategori perlumbaan sukan dron itu, Pro dan Sukan, manakala hanya kategori individu bagi peragaan jet dan helikopter RC.  

Gelanggangnya ialah ruang angkasa Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor dengan inilah kejohanan yang julung kali diadakan di negara ini, kata Timbalan Presiden Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF), Mohamad Fadzli Abd. Aziz.



“Kejohanan ini juga menandakan permulaan usaha MSAF ke arah menjadikannya bertaraf antarabangsa sekali gus Malaysia sebagai hab sukan udara Asia menjelang 2027,” katanya dalam siaran media selepas pengumuman kejohanan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kuala Lumpur pada 30 September 2024.

MSAF katanya, menjangkakan Festival dan Kejohanan Sukan Udara Malaysia 2024 mampu menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung yang juga bersempena sambutan Hari Sukan Negara 2024 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada 11 hingga 13 Oktober 2024.  


MOHAMAD Fadzli Abd. Aziz (tengah) menjelaskan pengisian Festival dan Kejohanan Sukan Udara Malaysia 2024 anjuran MASF di Wisma MOM, Kuala Lumpur. - Kredit foto: MASF


“Festival Sukan Udara menyajikan para pengunjung dengan pengalaman joyride (terbang ria) menaiki pesawat kecil dua tempat duduk, mahupun dengan belon panas untuk menikmati pemandangan indah,” katanya.

Paramotors (Luncur Udara Bermotor) Classic, Sesayap Delta, Payung Terjun, Pameran Inovasi Sukan Udara dan Zon Penyertaan Awam (Mari Mencuba) juga menanti para pengunjung festival yang benar-benar mencari kelainan pengalaman hidup, kemeriahan dan pertandingan sukan.  

“Festival dan kejohanan ini juga sebagai platform memperkenal dan mempopularkan sukan udara kepada orang ramai justeru akan lebih memudahkannya diakses,” katanya.

Pelaksanaan protokol keselamatan yang ketat untuk memastikan keselamatan para peserta dan pengunjung festival dan kejohanan ini terjamin juga diambil perhatian serius, tegas Penasihat Operasi dan Keselamatan acara, Datuk Mohd. Nawawi Awang.

“Antaranya permohonan penggunaan ruang udara, prosedur penilaian risiko terhadap semua aktiviti dan pemantauan secara berterusan kawasan operasi penerbangan,” jelasnya. - KitaReporters


 

 

 

10
15
0
12
0
You will be interested