Seni & Sukan 07 Sep, 2024

Presiden sepak takraw Filipina digantung! 5 pertuduhan terhadap Karen! Cuba langgar tatakelola Istaf!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

KAREN Tanchanco-Caballero bakal disiasat dalam lima pertuduhan cuba merendah-rendahkan taraf dan nama baik Istaf menerusi kenyataan umum dan perlakuannya. 


PERSEKUTUAN Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) mengumumkan tindakan tegas dengan menggantung Presiden Persatuan Sepak Takraw Filipina (PSTA), Karen Tanchanco-Caballero ekoran pelbagai pelanggarannya terhadap perlembagaan badan induk itu dan prosedur tatatertib. 

Dia menghadapi lima tuduhan berbeza berkaitan tindakan-tindakan yang dianggap merendah-rendahkan taraf dan nama baik Istaf termasuk kenyataan umum dan perlakuan yang didakwa menyalahi prinsip tatakelola dan integriti persekutuan, lapor siaran media Istaf pada 6 September 2024 yang dikeluarkan di Korat, Thailand.



“Sebagai sebahagian proses tatatertib yang berjalan, Karen digantung daripada kesemua tugasnya, di dalam negara dan antarabangsa sehingga diberitahu seterusnya. 

“Penggantungan ini bertujuan memelihara integriti tindakan dan mengekalkan piawaian yang tinggi yang dikehendaki terhadap kepemimpinan sepak takraw antarabangsa,” tambah siaran berkenaan. 

Sejajar dengan tanggungjawab Istaf kepada ketelusan, Setiausaha PSTAI, Irene Virginia Ng-Tanchanco  turut telah dimaklumkan secara rasmi mengenai pertuduhan-pertuduhan terhadap Karen. 

Bagi melindungi pendirian PSTAI, sebuah inkuiri telah diutus kepada persastuan itu dalam mendapatkan penjelasan pada kedudukannya berkaitan tindakan-tindakan presidennya, lapor siaran itu. 


KAREN Tanchanco-Caballero (kiri) dan Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader dalam satu majlis sempena sebuah kejohanan antarabangsa.   


“Inkuiri ini dibuat bagi memastikan persatuan itu tidak terjejas dengan perlakuan seseorang dan terus kukuh berdiri dalam Istaf. 

“Jawatankuasa Tatatertib Istaf yang dipengerusikan oleh Yogender Singh Dahiya dari India yang juga Penolong Setiausaha Agung Istaf, telah mengambil langkah-langkah ini bagi menegakkan nilai-nilai dan peraturan persekutuan dan memperkasa kesungguhannya kepada tatakelola dan integriti sukan ini,” lapor siaran berkenaan. 

Istaf menurut siaran itu, tetap mengutamakan penggalakan dan pembangunan sepak takraw serta memastikan kepemimpinan persekutuan itu dan persatuan-persatuan negara anggotanya bertindak dalam kerangka kerja peraturan yang ditetapkan dan garis panduan etikanya.  

Selain itu, Istaf mahu menegaskan semula kepada semua pemegang taruh sepak takraw – atlet, pegawai dan peminat - bahawa persekutuan akan terus bertindak demi kepentingan sukan ini malah memastikan profesionalisme dan keadilan sepanjang proses tatatertib itu. 


ABDUL Halim Kader diapit Pemangku Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat (kanan) dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT), Thana Chaiprasit dalam sidang media Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 di Korat. - Kredit foto: Istaf 


Karen pernah bertanding merebut jawatan Presiden Istaf pada Kongres pemilihan penggal 2022-2026 pada 29 Julai 2022 di Bangkok namun ditewaskan penyandangnya yang juga bekas pegawai kanan tentera Thailand, Charouck Arirachakaran, dengan pengundian 32 berbalas empat undi.

Istaf pada 4 November 2022 memutuskan penggantungan 10 tahun terhadap Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses), Nasri Haron, manakala Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) menggantung Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail selama 15 tahun mulai 5 Mei 2021.

Penggantungan daripada sebarang kegiatan sepak takraw itu berkaitan salah laku mereka dalam Kongres pemilihan Majlis Astaf bagi penggal 2021-2025 pada 1 Mac 2021. - KitaReporters


FILIPINA mara ke separuh akhir acara antara regu Piala Dunia Istaf di Kuala Lumpur pada 25 Mei 2024 namun tidak menyertai King's Cup di Korat. - Kredit foto: ST  

13
11
0
7
0
You will be interested