Seni & Sukan 15 Nov, 2024

Video| Satu Sejarah! Tahniah Siti Nurhaliza! Terima gelaran Biduanita Negara! Tampil single terbaharu!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this



Semua sudah maklum pada 13 November 2024 merupakan hari keramat dan bersejarah buat penyanyi tersohor negara, Dato Seri Siti Nurhaliza apabila dianugerahkan sebagai artis ketiga  menyandang gelaran Biduanita Negara selepas Puan Sri Saloma (1978) dan Datuk Sharifah Aini (2006) pada malam Anugerah Seni Negara 2024 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Tahniah Tok Ti, panggilan yang mesra disapa oleh para peminatnya.

Terbaharu, tidak disangkalkan lagi single terbaharu terbitan SN Legacy Sdn Bhd dan Universal Music Sdn Bhd, berjudul ‘Sejarah’ menambah gelaran yang disandang sepanjang hampir 30 tahun berkecimpung dalam industri muzik.

“Sejarah’ sekali gus merupakan buah tangan istimewa Siti Nurhaliza sebelum menutup tirai 2024 setelah sibuk mengadakan beberapa siri konsert sepanjang tahun ini.




Ia diciptakan oleh maestro muzik Indonesia, Erwin Gutawa bersama anak perempuannya Gita Gutawa selaku penulis lirik, khusus buat Siti Nurhaliza dengan membayangkan keindahan nyanyian serta personaliti yang ada pada penyanyi tersebut.

Erwin meminta Gita menulis lirik berkisarkan seseorang yang kaya dengan pengalaman hidup dan memaknakan kesyukuran di dalam setiap bait kata yang diungkapkan.

Lebih istimewa, Erwin menggunakan khidmat Czech Symphony Orchestra untuk mengiringi susunan muzik yang digarap indah khusus untuk Siti Nurhaliza.

“Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi saya apabila menyanyikannya. Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,’’ ujar Siti.



Katanya, ‘Sejarah’ merupakan sebuah lagu yang sangat istimewa apabila beliau kembali dapat berganding bahu dengan Erwin Gutawa dalam sebuah lagu.

“Saya  sendiri meminta Erwin menghasilkan sebuah lagu khusus yang menceritakan tentang perjalanan seni saya,” ungkap Tok Ti yang turut mengucapkan terima kasih kepada Aubrey Suwito yang telah membantu proses rakaman vokal lagu ini di Kuala Lumpur.

Pendek kata, dengan gelaran Biduanita Negara yang diterima  bersamaan lancarnya lagu ‘Sejarah’ sehari selepas majlis penganugerah, ia tidak syak lagi merupakan satu memori indah bagi penyanyi nombor satu ini menutup kalendar seninya sepanjang tahun 2024.



Siti berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormat, dijaga, dihargai kerana inilah warisan yang ada dan perlu dipelihara. 

Paling menarik apabila dalam meraikan detik paling manis dan bermakna dalam hidupnya itu, Biduanita Negara ini terkenang  bait-bait kata Allahyarham ayahnya, Tarudin yang sering mengibaratkan dirinya sepertti ‘bunga melur’ iaitu lagu kegemaran arwah. 

Ibarat gadis desa bunga melur, sederhana...Walau kering tak bercahaya bunga melur... Baumu memikat jiwa...” kenang Siti sambil mengakui bait-bait lagu itu mengingkatkan dirinya bahawa apabila setiap kali meraih sesuatu kejayaan, rezeki itu adalah berkat doa dan sokongan semua pihak yang selama ini menjadi tulang belakang kerjaya seninya.


Ketika menerima Anugerah Biduanita Negara daripada Khairul Firdaus baru-baru ini.


“Semoga penghargaan ini menjadi inspirasi dan motivasi buat saya untuk terus menghasilkan karya-karya terbaik dan membawa keindahan seni muzik Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi,” lapor Siti Nurhaliza ketika menerima Anugerah Khas Biduan Negara yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan pada Malam Anugerah Seni Negara 2024 baru-baru ini.

Dengan hati yang luhur, Siti melihat anugerah  yang diterima  bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seninya, namun merupakan lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuang keindahan budaya dan muzik tanah air. 

“Amanah dan kepercayaan ini juga merupakan satu tanggungjawab buat saya secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman,” ungkapnya. - KitaReporters

9
1
0
1
0
You will be interested