Seni & Sukan 22 Aug, 2024

Jadikan sukan golf lebih inklusif, boleh diakses oleh semua! Champions Golf mahu ubah imej eksklusif!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

Senibong Golf Club di Iskandar Puteri


Dalam langkah yang berani dan inovatif, Champions Golf mahu merombak landskap sukan golf di Malaysia dengan menjadikan sukan ini lebih inklusif dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat. 
Menerusi transformasi kelab-kelab golf persendirian kepada padang golf awam, syarikat ini bertekad menghapuskan imej eksklusif yang lama dikaitkan dengan sukan golf, membuka peluang kepada golongan kurang berkemampuan dan mereka yang baru ingin mencuba sukan ini.
Senibong Golf Club, terletak strategik di Iskandar Puteri dan dahulunya dikenali sebagai Poresia Golf Club, kini menjadi padang golf awam terdekat dengan Singapura. 

Pembukaan rasminya kepada orang ramai pada 1 Januari 2024 menandakan titik perubahan penting dalam usaha menjadikan golf milik semua, tanpa mengira latar belakang atau tahap kemahiran.

Pengarah Urusan Champions Golf, Matthew A. Murray, menjelaskan visi syarikat yang jelas dalam menjadikan golf sebagai sukan yang inklusif. 

“Kami mahu setiap individu, tidak kira siapa mereka, merasai keseronokan bermain golf. Melalui Senibong Golf Club dan Permas Jaya Golf Club, kami menunjukkan bahawa sukan ini bukan lagi milik eksklusif golongan tertentu,” katanya.

Champions Golf bukan sahaja membuka pintu padang golf kepada umum, tetapi juga merancang pelbagai inisiatif masa depan yang merangkumi pembangunan water driving range awam pertama di Johor Bahru dan memperluas penglibatan dengan padang golf lain di Johor. 

Langkah ini dijangka memberi impak besar kepada komuniti, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, dan meningkatkan ekonomi tempatan.


Matthew A. Murray


Dengan rekod cemerlang mengubah kelab golf persendirian kepada kemudahan awam di beberapa negara seperti Australia dan Singapura, Champions Golf terus memperkukuh komitmennya dalam menjadikan golf sukan yang boleh dinikmati oleh "golongan ramai". 

Model ‘bayar dan main’ yang diperkenal, disertai dengan pelbagai program latihan dan pelajaran, memastikan bahawa setiap orang berpeluang untuk mempelajari dan bermain sukan ini dengan cara yang seronok dan mengikut kemampuan mereka.

Champions Golf juga aktif dalam membangunkan bakat tempatan, memberi tumpuan kepada latihan dan pembiayaan untuk bakat-bakat muda seperti Syed Nor Ismail Sha Syed Hussein. 

Di Johor Golf Expo yang akan datang, syarikat ini akan memperkenal program-program inovatif seperti Footgolf, Glamping, dan Memancing, yang direka untuk menarik lebih ramai pengunjung ke padang golf.

Dengan pelbagai inisiatif yang bakal diperkenal dan transformasi kelab-kelab golf yang sedang dijalankan, Champions Golf tidak hanya mengubah sukan ini menjadi lebih inklusif tetapi juga membina masa depan sukan golf yang lebih cerah di Malaysia. 

Ini adalah langkah besar ke arah menjadikan golf bukan sahaja sebagai sukan, tetapi juga sebagai gaya hidup yang boleh dinikmati oleh semua orang. - KitaReporters/Kenyataan Media

16
13
0
9
0
You will be interested