
POSTER ucapan salam takziah MSN kepada keluarga Allahyarham Mazlan Ahmad. - Kredit foto: MSN
BELIAU cukup prihatin dengan ketewasan kontinjen Malaysia kepada Singapura dalam pungutan pingat keseluruhan Sukan SEA Vietnam 2022 apatah lagi dengan negara jiran kecil selatan itu hanya mengutus 476 atlet.
Mereka mengaut 47 pingat emas sedangkan kontinjen kita pimpinan Datuk Paduka Nur Azmi Ahmad yang membawa lebih ramai dengan 584 atlet, sekadar beroleh 39 butirnya dari Hanoi.
Datuk Wira Mazlan Ahmad dengan tegas mengulas pencapaian hambar di tempat keenam temasya serantau dwitahunan ke-31 itu dalam program bicarawara sebuah portal dalam talian, “Bicara Sukan” tanggal 30 Mei 2022 lalu.

MAZLAN Ahmad amat dikenali atas kejayaan Program Jaya '98 Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2001. - Kredit foto: MSN
Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dari 1 Mac 1993 hingga 23 Ogos 2005 - paling lama dalam sejarah - diberikan penghormatan sebagai tetamu sulung apabila program berkenaan yang dipengacarakan oleh penulis ini, ke udara.
Ada sebab yang memang kukuh mengapa Mazlan diundang bagi mengulasnya.
Siapa lagi yang lebih layak kalau bukan Ketua Kontinjen negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 ini yang buat kali pertama muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 111 pingat emas, 75 pingat perak dan 85 pingat gangsa?
“Itu (pencapaian Sukan SEA Vietnam) berkaitan kualiti kontinjen. Kita banyak atlet tetapi kurang kualiti. Singapura memang lebih bersedia. Kalau tak nak kalah, kenalah usaha lagi,” tegas anak jati Jasin, Melaka yang lahir pada 23 Ogos 1949 ini, dalam “Bicara Sukan”.
Kepada penulis juga Mazlan sempat mengimbas semula memori skuad sepak takraw negara memenangi pingat emas berpasukan Sukan Asia Beijing 1990 - kali akhir sehingga hari ini, “saya menyaksikannya ketika itu (Malaysia menang 2-1). Kita kini sudah jauh ketinggalan dengan Thailand.”

MAZLAN Ahmad (kanan) mengetuai kontinjen Malaysia pada perarakan sempena majlis pembukaan rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang mencatat sejarah apabila muncul juara keseluruhan buat kali pertama dengan 111 pingat emas, 75 pingat perak dan 85 pingat gangsa. - Kredit foto: AR
Mazlan telah kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 3.55 petang 14 April 2025 dalam usia 75 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur setelah lebih setahun bertarung nyawa dengan penyakit angin ahmar (strok).
Dari PPUM, jenazahnya dibawa pulang ke kediaman Allahyarham di Kelana Jaya, Selangor.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Junaidah Md. Som dan sepasang anak Najwa Mazlan dan Saiful Ezane Mazlan.
Beliau pernah dimasukkan ke PPUM pada Februari 2024 lalu dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat pendarahan dalam kepala serta diberikan bantuan pernafasan kerana jangkitan paru-paru.

MAZLAN Ahmad (kanan) bersama isteri, Junaidah Md. Som pada majlis ASN 2022 di Subang. - Kredit foto: IS
Pengalaman lain Mazlan termasuk sebagai kakitangan awam bersama Kementerian Kerja Raya dari 1971 hingga 1978 diikuti Kementerian Perusahaan Awam hingga 1981 sebelum menyertai MSN sejak 1983 sebagai Timbalan Ketua Pengarah.
Beliau kemudian dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah MSN iaitu penyandangnya yang kelima, menggantikan Datuk Kamalul Ariffin Abd. Rahim.
Mazlan menimba pendidikan awal di Sekolah Menengah Alam Shah, Cheras sebelum bergelar Sarjana Muda Pengajian Melayu dan Ekonomi Universiti Malaya pada 1971 dan berkelulusan Sarjana Pengurusan Sukan dari Universiti Drake, Amerika Syarikat pada 1983.
Beliau juga dianugerahkan sebagai Tokoh Sukan Kebangsaan 2022 pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022 pada 17 Julai 2023 di Subang, Selangor.
Beliau turut paling dikenang sebagai arkitek kejayaan Program Jaya Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 sehingga kontinjen negara menghimpun 10 pingat emas, 13 pingat perak dan 12 pingat gangsa iaitu yang kedua terbanyak dalam sejarah selepas Sukan Komanwel Delhi 2010 (12-10-14).
Sepanjang Mazlan menerajui MSN, pencapaian terbaik kontinjen negara pada Sukan Olimpik ialah sebutir pingat perak dan sebutir pingat gangsa badminton menerusi beregu Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock dan perseorangan, Rashid Sidek di Atlanta 1996.
Bagi Sukan Asia pula ialah enam pingat emas, lapan pingat perak dan 16 pingat gangsa di Busan 2002. - KitaReporters

MAZLAN Ahmad (dua dari kiri) menerima anugerah Tokoh Sukan Kebangsaan 2022 daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena ASN di Subang. - Kredit foto: MSN