
MOHAMMAD Asmawi ditemui merayau-rayau tanpa berbaju dan tidak berkasut di sekitar Kuantan, Pahang.
TERSENTUH hati melihat video dan gambar serta membaca kisah Mohammad Asmawi Zaidi, 36, seorang bekas pemain hoki kebangsaan yang kini hidup dalam keadaan tidak terurus selepas diuji dengan masalah kesihatan mental.
Asmawi atau lebih dikenali sebagai Mawi dikesan berjalan berkaki ayam, meracau tanpa arah tujuan di sekitar Kuantan sehingga mencetuskan banyak persoalan bagaimana keadaan boleh berlaku hingga sedemikian.
Untung juga ada pihak yang menularkan video itu sehingga ia membuka mata banyak pihak untuk tampil menawarkan bantuan yang mana akhirnya Mawi diselamatkan dan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Bayangkan, jika keadaan Mawi itu tidak ditular serta dihebahkan, penulis percaya Mawi akan terus dibiarkan mengharungi kehidupan sebegitu.
Nasibnya tidak akan terbela walaupun hakikatnya dia dahulunya seorang bekas atlet kebangsaan!
Tidak pasti, apakah selama ini mereka yang berkaitan tidak mengetahui keadaan sebenar Mawi atau ‘buat-buat tak tahu’ serta tidak ambil peduli sebelum isu itu mula diperkatakan menerusi media sosial.

PRESIDEN Persatuan Hoki Terengganu, Mohd Fikri Harun berjaya mengesan Mawi di Kuantan.
Begitupun, kita berterima kasih kepada Persatuan Hoki Terengganu (PHT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang kerana cepat responsif dengan segera menjejak keberadaan Mawi, seterusnya memberi bantuan.
Presiden PHT, Mohd Fikri Harun berkata, bekas penjaga gol remaja kebangsaan itu dijumpai sedang tidur di Taman Kerang, Kuantan di atas lantai tanpa baju.
"Ketika ditemui di Taman Kerang, Kuantan, kami barisan pengurusan persatuan begitu sedih melihat keadaan terkini Mawi. Ketika kami sampai, dia sedang tidur atas simen tanpa alas dan hanya berseluar panjang, keadaan kesihatannya juga nampak lemah dan kurus,” ujar Mohd Fikri seperti dilaporkan media.
Menurut Mohd Fikri, PHT dengan kerjasama JKM Kemaman akan membantu proses pemulihan Mawi agar dia dapat kembali hidup normal.

LAPORAN akhbar Sinar Harian.
Sementara itu JKM Pahang yang turut cakna dengan isu berkenaan apabila bertindak segera mengesan Mawi dan selepas beberapa hari berbuat begitu, mereka menemuinya di Taman Kerang, Kuantan.
Menurut Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad, polis menyerahkan bekas pemain hoki remaja kebangsaan itu kepada HTAA untuk rawatan serta tindakan selanjutnya bagi memastikan keadaanya lebih terurus.
"Jabatan terus memantau perkembangan Mohamad Asmawi yang akan menerima rawatan, diharapkan ada sinar buat dia selepas menerima rawatan yang disediakan HTAA.
"Kita akan berusaha untuk mendapatkan maklumat daripada HTAA membabitkan keluarga lelaki terbabit sebelum tindakan selanjutnya diputuskan," kata Khairul Amri.

HANNAH YEOH
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut tidak lepas tangan dalam menangani isu membabitkan bekas pemain hoki berkenaan dengan memberi jaminan akan turut membantu menerusi saluran berkaitan.
“Saya telah membaca kenyataan bahawa Persatuan Hoki Terengganu sudah tampil memberikan bantuan. Kita beri ruang kepada mereka untuk melaksanakan tanggungjawab terlebih dahulu. Sekiranya ada keperluan tambahan, kementerian sedia membantu,” katanya.
Hannah menegaskan isu kebajikan atlet perlu diberi perhatian bukan saja pada peringkat kebangsaan tapi juga di peringkat negeri.
“Badan seperti Yakeb (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) memang berperanan membantu atlet kebangsaan, namun kerajaan negeri juga memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan atlet masing-masing,” jelasnya.
Malah, beliau menekankan, isu kebajikan atlet perlu dilihat lebih holistik dengan mengambil kira faktor luar sukan termasuk pendidikan dan kesihatan mental.
“Kita tidak mahu atlet berhenti setakat dunia sukan sahaja. Ramai yang tinggalkan pendidikan demi bersukan, tetapi kita perlu tekankan pentingnya jaminan masa depan. Pendidikan tidak sepatutnya diketepikan.
“Bagi kes ini, kita tidak tahu latar belakang sebenar. Mungkin melibatkan faktor peribadi atau keluarga. Biarlah siasatan dijalankan dahulu secara menyeluruh,” kata Hannah.

ASMAWI (duduk dua dari kanan) ketika mewakili skuad hoki remaja kebangsaan.
Kata-Kata Hannah itu sewajarnya diberi perhatian, bukan saja oleh persatuan sukan tapi oleh atlet sendiri.
Pada ketika mereka bersemangat memburu kecemerlangan dalam bidang sukan, atlet tidak seharusnya mengabaikan masa depan mereka kerana kejayaan dalam bidang sukan bukan jaminan kejayaan dalam hidup.
Dalam kes Asmawi, dia boleh dianggap sebagai atlet yang agak cemerlang pada zaman remajanya apabila mewakili negara sehingga ke pertandingan Hoki Remaja Dunia pada 2009 malah pernah beraksi pada kejohanan antarabangsa di Jerman, Pakistan dan India.
Kecemerlangan bakatnya bermula pada usia 12 tahun sehingga dipilih melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Bandar Penawar (sekarang Sekolah Sukan Tunku Ismail) di Johor, ‘kilang’ yang melahirkan atlet-atlet cemerlang tanah air.
Tapi, sayang, selepas itu bakatnya tidak berkembang sehingga dia mengambil Keputusan bersara pada usia 25 tahun dan kembali menetap di kampung halamannya di Kemaman, Terengganu.

M JEGATHESAN
Apa yang menimpa Mawi adalah antara episod duka yang perlu diharungi bekas-bekas ahli sukan di negara ini.
Kita sendiri dapat melihat berapa ramai bekas atlet negara yang hidup dalam kesusahan selepas bersara kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap sehingga pada satu tahap, seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan terpaksa melelong Kasut Emas yang dimenanginya!
Kepada mereka yang terbabit secara langsung dalam bidang ini, sama ada atlet mahu pun persatuan, masalah ini perlu dilihat dengan lebih serius kerana kes yang menimpa Mawi bukanlah kes terpencil.
Untuk atlet pula, seharusnya mereka menjadikan beberapa bekas atlet seperti Tan Sri Dr M Jegathesan, Datuk Zaiton Othman, Datuk Marina Chin dan beberapa ahli sukan sebagai atlet contoh yang menggapai kegemilangan sukan seiring dengan pencapaian hidup kerana anda tidak boleh hidup hanya dengan bergelar juara sukan!
Moga ada sinar untuk Mohammad Asmawi Zaidi @ Mawi. Pada ketika ini, dia bukan sekadar memerlukan simpati dan doa tapi lebih daripada itu adalah bantuan, sokongan dan keprihatinan yang tidak berbelah bahagi dengan harapan dia kembali pulih. -KitaReporters