Sasaran skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara atau Harimau Muda untuk mara ke separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025 mungkin nampak berani, tapi bukan satu khayalan kosong.

Pasukan B-23 Malaysia di bawah kendalian ketua jurlatih Nafuzi Zain ketika meyertai pertantingan Piala AFF U23 2025. - Kredit foto: Malaysia NT.
Ia datang bersama keyakinan, disiplin dan semangat juang anak-anak muda yang mahu mengembalikan maruah bola sepak negara.
Namun, jalan ke separuh akhir bukan laluan permaidani merah.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam, juara Piala ASEAN 2024, serta Laos yang dibarisi pemain berpengalaman di mana sebahagiannya pernah menentang skuad senior Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Asia 2026.
Gabungan dua lawan itu sudah cukup untuk menunjukkan betapa getirnya cabaran menanti skuad kendalian Mohd Nafuzi Zain kali ini.

Ketua Jurulatih skuad muda Harimau Malaya, Nafuzi Zain. - Kredit foto: KDA FC.
Untuk mara, Malaysia perlu menang kedua-dua perlawanan, atau setidak-tidaknya menewaskan Laos dengan jaringan besar sambil mengikat Vietnam bagi muncul juara kumpulan.
Jika gagal menjuarai kumpulan, satu lagi laluan masih terbuka jika mampu menjadi naib juara terbaik daripada tiga kumpulan.
Tapi peluang itu juga bakal direbut sengit oleh pasukan lain seperti Singapura, Filipina dan Myanmar.

Antara tunggak Harimau Muda ketika Piala AFF B-23 yang mungkin akan terpilih menggalas tanggungjawab mempertahankan maruah negara di Sukan SEA Thailand 2025. - Kredit foto:VNexpress.
Di atas kertas, Thailand dijangka mara mudah dari Kumpulan A yang turut dihuni oleh Kemboja dan Timor Leste. Namun, seperti biasa, bola sepak jarang ikut skrip.
Thailand, Indonesia dan Vietnam disebut-sebut antara pasukan pilihan. Malaysia pula kekal sebagai ‘dark horse’ yang mampu menggoncang hierarki Asia Tenggara jika berjaya mengekang Vietnam.

Aksi Mohd Harry Danish Mohd Haizon ketika Malaysia B-23 menentang Filipina pada Pertandingan Piala AFF B-23 pada 2025. - Kredit foto:The Star.
Perlawanan pembukaan menentang Vietnam bakal jadi penentu segala-galanya. Keputusan positif bukan sekadar memberi kelebihan mata, tapi mampu membakar semangat seluruh pasukan.
Format kejohanan kali ini menyaksikan hanya juara kumpulan layak automatik ke separuh akhir, manakala satu lagi tiket menjadi milik naib juara terbaik.
Kumpulan A terdiri daripada Thailand, Kemboja dan Timor Leste; Kumpulan B dihuni oleh Malaysia, Vietnam dan Laos; manakala Kumpulan C menampilkan Indonesia, Singapura, Filipina dan Myanmar.

Pasukan Vietnam B-23 yang menjuarai Piala AFF B-23 merupakan halangan terbesar pasukan B-23 negara untuk lolos ke peringkat separuh akhir Sukan SEA Thailand. - Kredit foto:NewsCN.
Walau undian nampak berat sebelah, semangat pemain muda negara tidak boleh dipandang ringan. Skuad ini sudah biasa melawan arus, dan itu mungkin kekuatan terbesar mereka.
Nafuzi Zain bukan nama asing dalam dunia bola sepak tempatan. Pengalamannya membentuk pasukan berdisiplin tinggi di Terengganu FC membuktikan dia bukan sekadar jurulatih taktikal, tapi juga pembakar semangat pemain muda.

Thailand yang bermain di hadapan penyokong sendiri pasti mempunyai kelebihan untuk menjuarai kumpulan A. - Kredit foto: Thailand NT.
Malaysia pernah berada di puncak bola sepak Sukan SEA. Kali terakhir, pada 2011 di Jakarta, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menewaskan Indonesia dalam penentuan sepakan penalti yang masih segar dalam ingatan peminat.
Dalam 12 pertemuan menentang Vietnam pada peringkat B-23, Malaysia menang tiga kali, seri sekali, dan selebihnya tewas. Statistik itu mungkin berat sebelah, tapi sejarah sentiasa menunggu untuk diubah.

Pasukan B-23 Indonesia mampu menjadi penghalang hasrat Harimau Muda untuk melangkah ke separuh akhir Sukan SEA Thailand sekiranya gagal menewaskan Vietnam pada peringkat kumpulan. - Kredit foto:IG PSSI.
Bola sepak bukan sekadar angka dan formasi. Ia tentang hati, keberanian dan kesungguhan untuk menolak sempadan kemampuan diri.
Malaysia tak perlu takut kepada nama besar. Apa yang penting, setiap pemain percaya mereka membawa lambang maruah negara di dada.
Jika semangat itu terus menyala, skuad B-23 Malaysia mampu mencipta kejutan di bumi Thailand dan menghidupkan semula aura Harimau Muda yang pernah digeruni rantau ini.
Misi mereka bukan sekadar mengejar pingat, tetapi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap masa depan bola sepak Malaysia.
Semoga perjuangan anak buah Mohd Nafuzi Zain dari 9 hingga 20 Disember ini menjadi bukti bahawa semangat Harimau tidak pernah mati. - KitaReporters

Aksi pemain Harimau Muda ketika menentang pasukan U23 Filipina pada Piala AFF B-23. - Kredit foto: Baonghaen.vn.