Bermula daripada minat untuk menghasilkan kraf tangan degan membentuk burung enggang daripada bahan sabut serta tempurung kelapa dan kayu, ia kini menjadi satu kebanggaan kepada Mohd Nor Ahmad, 51 tahun.

Tinggal di Kampong Tengah, Pekan Kupang, Baling, kini hasil kraf tangan Mohd Nor mendapat perhatian daripada orang ramai.
Menurut Mohd Nor minatnya bermula sejak 15 tahun lalu secara suka suka, tetapi kini diusahakan hampir setiap hari, di samping mengusahakan sebuah kedai makan di Pekan Kupang.
Burung enggang yang sering dapat dilihat berterbangan di kawasan hutan di daerah Baling kini menjadi hiasan di banyak rumah di daerah Baling dan sekitarnya.
Malah hasil kraf tangan buatan Mohd Nor dibeli oleh pelancong dari luar yang singgah di Pekan Kupang.

Menurut Mohd Nor, bahan yang digunakan mudah terdapat di sekitar kampung di Baling ini seperti sabut kelapa, tempurung kelapa dan ranting kayu hutan yang sesuai diukir menjadi kepala burung enggang yang dihasilkannya.
Jelas beliau, peminat seni kraf tangan hasil buatannya digantung di dalam rumah, di kawasan yang ada pokok di halaman rumah atau taman.
Katanya kepada KitaReporters, sejak mula diminati sehingga kini, beliau sudah menghasilkan kira-kira 5,000 kraf tangan berbentuk burung enggang.

Tinjauan KitaReporters, hanya Mohd Nor seorang sahaja di Kedah yang menghasilkan kraf tangan berbentuk burung enggang untuk hiasan di rumah.
Menurutnya lagi, minat beliau menghasil kraf tangan ini akan diteruskan selagi mampu dan mendapat perhatian peminat.
Sementara itu, mereka yang meminati untuk mendapatkan kraf tangan ini boleh menghubungi Mohd Nor menerusi talian 01135306703. - KitaReporters

Tags: