
KESEBELASAN utama B-23 Malaysia pimpinan bek tengah, Ubaidullah Shamsul Fazili (3) di samping Fergus Tierney (15) dan Aliff Izwan Yuslan serta Muhammad Abu Khalil (belakang, dua dan tiga dari kiri) antara yang berpengalaman senior Harimau Malaya. - Kredit foto: MNT
BEGITU acap media dan warganet Vietnam malah Indonesia mempertikai kesahihan kemenangan Harimau Malaya terhadap Vietnam 4-0 dengan penampilan sehingga tujuh pemain warisan baharu pada 10 Jun 2025 lalu.
Diperkasa antaranya Facundo Garces, Jon Irazabal, Hector Hevel, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado, Malaysia barulah mampu meruntuhkan tembok kekalahan kepada Pahlawan Bintang Emas atau sebelumnya Sang Naga Emas sejak 2014.
Iri hati dan dendam mereka pasti semakin membara dengan lonjakan enam anak tangga milik tim negara ke ranking ke-125 dunia pula pada 10 Julai 2025 lalu, berbanding ke-131 sebelumnya.
Kini pesta gol di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Kumpulan F itu juga bakal ‘memperisakan’ perseteruan sekalipun pada peringkat belia - Kejohanan Bola Sepak Bawah 23 Tahun (B-23) ASEAN 2025 dari 15 Julai hingga 29 Julai 2025 di Jakarta, Indonesia.
Apatah lagi tim B-23 Malaysia kendalian Nafuzi Zain diundi dalam Kumpulan A dengan tuan rumah, Filipina dan Brunei dengan hanya juara atau sekurang-kurangnya naib juara terbaik antara tiga kumpulan peringkat awal, akan mara ke separuh akhir.

B-23 MALAYSIA berdepan Filipina, Brunei dan Indonesia pada 15, 18 dan 21 Julai 2025 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta dalam saingan Kumpulan A Kejohanan B-23 ASEAN 2025. - Kredit foto: AU
Kumpulan B mengandungi juara dua kali kejohanan belia Asia Tenggara anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) ini - Vietnam, Kemboja dan Laos, manakala Thailand, Myanmar dan Timor-Leste membarisi Kumpulan C. Hanya Singapura yang tidak menyertainya.
Juga bukan rahsia lagi bahawa setiap kali pertembungan Malaysia-Indonesia terutama di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, kontroversi mampu tercetus di dalam mahupun luar padang, sama ada kalangan pemain sebenar atau pemain ke-12-nya.
Piala AFF, Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia dan Sukan SEA bertahun-tahun lalu telah merekodkan segala siri perseteruan itu yang Nafuzi perlu jangkakan episod baharunya apabila Harimau Malaya Muda berdepan Garuda Muda di stadium itu pada 21 Julai 2025 ini.

FERGUS Tierney (15), penyerang berdarah kacukan Malaysia-Scotland bergandingan dengan Aliff Izwan Yuslan di barisan depan B-23 Malaysia. - Kredit foto: MNT
Lima tonggak seperti Ubaidullah Shamsul Fazili, Fergus Tierney, Muhammad Abu Khalil, Haqimi Azim Rosli dan Aliff Izwan Yuslan wajar diharap untuk membimbing dan memperkasa barisan utama B-23 negara hasil pengalaman senior Harimau Malaya mereka sama ada ketika dibimbing oleh Peter Cklamovski, Pau Marti Vicente dan Kim Pan-gon sejak 2023 lagi.
Inilah detiknya juga buat Shafizan Arshad, Aiman Hakimi Othman, Alif Ahmad dan Haykal Danish Zainon yang hanyar dicungkil daripada Piala MFL dan Piala Presiden, memanfaatkan apa sahaja ilmu dan pengalaman berlatih dengan Harimau Malaya dan Peter di Johor Bahru, Johor selama seminggu pada Mei 2025 lalu.
Tim B-23 negara ke Jakarta dengan cuma bermodalkan pemanas badan dengan tiga kelab Liga Super 2025-2026 yang merakamkan kemenangan 1-0 dan 4-1 terhadap PDRM FC dan Melaka FC selain ditewaskan Negeri Sembilan FC 1-0 di Bukit Jelutong dan Kuala Lumpur pada 5, 8 dan 12 Julai 2025 lalu.

HAQIMI Azim Rosli (tengah) mampu diharapkan menggempur kubu lawan dengan ketinggian dan kepantasannya. - Kredit foto: MNT
“Kelebihan pasti kepada tuan rumah dengan sokongan kuat peminat mereka. Menentang Indonesia juga bakal lebih sensasi kerana jadual perlawanan penamat yang mungkin menentukan siapa juara kumpulan.
“Kami tetap bersedia dengan apa sahaja rintangannya dan saya cuba ambil satu persatu perlawanan terlebih dulu biarpun tetap sasarkan final.
“Titik tolak kami juga adalah dengan Filipina yang menjadi misi wajib menang dalam mencerahkan peluang ke saingan kalah singkir,” kata Nafuzi, 46, yang mula mengemudi B-23 negara pada 1 Januari 2025 lalu, menggantikan jurulatih dari Sepanyol, Juan Torres Garrido.

NAFUZI Zain (kiri) mempunyai tiga misi besar antarabangsa sepanjang 2025 dengan tim B-23 Malaysia . - Kredit foto: FAM
Harapan dan tekanan tinggi daripada para penyokong di tanah air untuk pasukan sentiasa berjaya, merupakan sesuatu yang lumrah dalam bola sepak namun kerjasama, keyakinan dan perancangan rapi pasukan turut mampu menyerapnya, akui beliau.
Aksi sulung Nafuzi & Co. di Jakarta juga merupakan kayu pengukur awal menjelang dua misi lebih besar, Kelayakan Piala Asia B-23 AFC pada 1 hingga 9 September 2025 dengan berdepan tuan rumah Thailand, Lebanon dan Mongolia dalam Kumpulan F.
Hanya juara 11 kumpulan dan empat naib juara terbaik kelayakan ini akan layak ke pusingan akhir 2026 di Arab Saudi, manakala Sukan SEA Ke-33 juga di tanah Gajah Perang Muda itu berlangsung pada awal Disember 2025 ini. - KitaReporters

UBAIDULLAH Shamsul Fazili (3) digalas tugas sebagai kapten B-23 negara, pernah dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Antarabangsa Tahap 1 ketika Harimau Malaya mengikat Cape Verde 1-1 pada 29 Mei 2025 lalu. - Kredit foto: MNT

NAFUZI Zain (kanan) bersama-sama dua pegawai pasukan Indonesia dan Brunei (kiri) dalam sidang media praperlawanan Kejohanan B-23 ASEAN 2025 di Jakarta. - Kredit foto: MNT