

“Ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini dan pihak peguam serta pengurusan kami amat terkejut dengan keputusan tersebut.
“FAM bagaimanapun akan terus teguh memperjuang hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia pada peringkat antarabangsa,” katanya menerusi satu kenyataan.
Di sebalik keputusan tersebut, FAM tidak akan duduk diam apabila akan mengemukakan permohonan butiran dan alasan bertulis kepada FIFA berhubung keputusan rayuan itu.
Malah langkah tersebut tidak terhenti di situ apabila FAM akan membawa rayuan mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Tindakan tersebut selaras dengan tempoh 21 hari yang diberikan oleh FIFA kepada FAM untuk memanjangkan kes berkenaan ke mahkamah tertinggi sukan antarabangsa.
Ia selepas FIFA menjawab keputusan rayuan oleh FAM yang melibatkan dokumentasi tujuh pemain warisan yang didakwa palsu.
FIFA memaklumkan pihaknya mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mendapati FAM dan tujuh pemain berkenaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
Susulan keputusan tersebut, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) kepada FIFA.Tujuh pemain terbabit iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (lebih kurang RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.

Nasib malang tujuh pemain warisan negara apabila FIFA mengekalkan denda dan penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak. - Kredit foto: Astro Arena.
Menurut FIFA, keputusan itu dibuat selepas meneliti dokumen rayuan dan mengadakan sesi pendengaran sebelum memutuskan untuk menolak semua rayuan yang dikemukakan.
“FAM dan pemain telah dimaklumkan mengenai keputusan ini dan mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bersebab.
"Selepas itu, mereka diberi 21 hari untuk mengemukakan rayuan ke CAS,” kata kenyataan itu.
Keputusan tersebut sekali gus mengekalkan hukuman asal yang telah dijatuhkan oleh FIFA sebelum ini.
Mereka sebelum ini disiasat berhubung dakwaan pemalsuan dokumen bagi tujuan pendaftaran sebagai pemain warisan Harimau Malaya. - KitaReporters
