Seni & Sukan 02 Sep, 2025

Belida bawa tuah kepada Azhari! Muncul juara, naib juara Cabaran Joran KL 2025! Bawa pulang RM7k!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Ikan belida seberat 4.765 kilogram (kg) muncul juara dalam Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang berlangsung di Tasik Metropolitan, Kepong, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 2025.


Kemenangan berganda milik peserta dari Sungai Besi, Azhari Azizol Omar, 28, yang bukan sahaja menjuarai pertandingan tersebut, malah turut merangkul tempat kedua apabila berjaya menaikkan seekor lagi belida seberat 4.120kg, hanya 20 minit selepas tangkapan pertamanya.

Azhari yang bekerja sendiri, membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM7,000, hasil tangkapan menggunakan umpan anak ikan keli.
“Saya memang tidak sangka. Rezeki sempena Hari Kebangsaan ini saya nak kongsi dengan keluarga dan selebihnya akan disimpan,” katanya yang masih bujang.
Tempat ketiga disandang oleh Muhammad Ridzuan Musrafi, 35, dari Ampang, Selangor yang bekerja sebagai pemandu, selepas menaikkan belida seberat 3.995kg pada jam 10.05 pagi dan membawa pulang hadiah RM1,000.


Pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu menyaksikan penyertaan 680 kaki pancing dari seluruh negara termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.
Meskipun spesies patin dan keli mega menjadi buruan utama, tiada tangkapan berjaya dicatatkan. Namun begitu, lebih 300 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan peserta, antaranya ketutu, lampan, tilapia, haruan dan keli.
Rata-rata peserta menyifatkan program ini sebagai satu platform sihat dan berharap ia diteruskan oleh DBKL pada masa hadapan.


Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Wan Noorzuliana Wan Hussin.

Menurut beliau, cabaran joran ini merupakan siri ketiga yang diadakan di Tasik Metropolitan, dan akan diteruskan ke siri keempat di Tasik Danau Kota pada bulan Oktober 2025 ini.
“Program seperti ini dapat memupuk semangat kekeluargaan dan cintakan negara. Tasik-tasik di ibu kota perlu dimanfaatkan warga kota melalui aktiviti berfaedah,” katanya.
Acara ini adalah antara inisiatif DBKL dalam menyemarakkan tasik-tasik di ibu kota sebagai lokasi rekreasi untuk keluarga dan komuniti bandar. - KitaReporters/Kenyataan Media

13
7
0
9
0
You will be interested